oleh: zizi hashim
“Superb!” Sepatah kata terluah dari bibir saat pertama kali merasa keenakan daging wagyu yang sungguh menggiurkan. Rasa premium yang ‘cair di mulut’ itu memberikan nuansa fun-dining yang unik dan tiada tandingan. Memang tidak disangkal lagi daging wagyu ini diperakui daging yang mempunyai rasa tersendiri dan sangat berbeza dari daging lembu yang lain. Maka tidak hairanlah jika ianya dijual sangat mahal sehingga mencecah ribuan ringgit. Meskipun mahal, para peminat daging wagyu tidak kisah demi kelazatan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Berpeluang berbuka puasa di Aburii Yakiniku baru-baru ini, memberi satu pengalaman dan kepuasan yang cukup berbeza. Lebih-lebih lagi sekiranya anda adalah pecinta makanan berasaskan ‘daging’, inilah antara restoran yang mendapat rekomendasi tertinggi dan pilihan terbaik untuk menikmati rasa autentik daging serta makanan dari negara matahari terbit. Ia terletak di Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr. Ismail diilhamkan oleh pemilik restoran, Lin Chi dan rakan kongsinya. Restoran yang telah berusia lebih 2 tahun beroperasi ini ingin menghulur ‘salam perkenalan’ kepada masyarakat tempatan.
Kesempatan bertemu empat mata dengan Lin Chi dan Chef Zeniq yang cukup peramah dan mesra bagaikan sudah kenal lama mencetuskan suasana nyaman serta menyenangkan. Begitu fasih berbahasa melayu dalam memberi penerangan tentang produk jualan mereka, mastermind operasi yang memastikan kesuksesan Aburii begitu menitik-beratkan kepuasan pelanggan. Ini dapat dilihat ketara pada perbualan genuine mereka serta pengalaman puluhan tahun mengasah selera dalam memastikan citarasa paling terbaik, gabungan kedua-duanya mencipta pengalaman bersantap yang begitu indah di Aburii.
Kecemerlangan masakan dan komitmen jitu ditawarkan kepada pelanggan yang datang jelas tercermin pada setiap hidangan serta menjanjikan perjalanan gastronomi yang tidak terlupakan. Sebagai perintis dan pakar dalam kulinari Wagyu Yakiniku di Malaysia, Aburii turut menawarkan Japanese Seafood yang segar bugar. Kredibiliti Chef Zeniq dalam menerajui Wagyu Omakase wajar diberi pujian, berdasarkan pengalaman hebat beliau dalam bidang ini. Wagyu Omakase disajikan di tempat hidangan countertop yang tinggi dimana pelanggan dilayan khas oleh Chef.
Sudah pasti status halal daging import menjadi topik utama dalam masyarakat Muslim, oleh itu Lin Chi menjelaskan “Aburii hanya menawarkan Miyazaki A5 Wagyu yang disahkan 100% Halal, diimport setiap 2 minggu dalam memastikan hanya BMS11 atau BMS12 Miyazaki A5 Wagyu sahaja yang dihidangkan.” Rangkaian seleksi Sushi segar, Yakiniku yang berapi-api dan Omakase yang dipilih teliti, kesemuanya disajikan oleh Aburii dengan sangat baik. “Kami merasakan lokasi di TTDI ini sangat strategik dan kami yakin Aburii dapat memenuhi keinginan craving makanan Jepun anda pada tahap paling memuaskan.” sambungnya lagi.
Berbeza dengan restoran Jepun yang lain, pesona Aburii dapat dilihat dari rekabentuk dalaman ruang makan mereka yang memberi privasi, vibrant dan selesa. Diperkukuhkan lagi dengan layanan pekerja yang sopan dan penuh perhatian. Selain Wagyu, antara lain yang membuat teringat-ingat ialah Ayam Goreng Arang yang crispy, sangat sedap, juicy dan sedikit pedas, meskipun terlihat sekali imbas seperti cekodok pisang. Begitu juga halnya dengan sup panas Wagyu yang sungguh menyelerakan.
Tidak ketinggalan bersempena bulan Ramadhan ini, Aburii telah menambah senarai menu mereka dengan Kombo Set Ramadhan pada harga RM388 untuk 4 orang makan. Promo ini akan berakhir pada penghujung April nanti. “Promo ini termasuklah Rendang Wagyu A5 yang sangat digemari pelanggan kerana rasa dan teksturnya yang cair di mulut.” cerita Chef Zeniq membuatkan terliur. Kombo klasik yang membangkit nostalgia ini WAJIB CUBA!
“Kami memang ingin cuba mempelbagaikan menu klasik dari Malaysia seperti Rendang Wagyu ini. Mungkin di masa akan datang siapa tahu ada Nasi Lemak Wagyu pula?” ujar Chef Zeniq tersenyum sambil membayangkan rancangan masa depan Aburii. “Masih dalam perancangan lagi, kita lihat nanti.”
Merasai sendiri daging wagyu dan beberapa hidangan lain, ternyata daging yang dibakar tanpa diletakkan sebarang bahan seperti garam atau rempah ratus sudah mampu menbuatkan kita jatuh cinta kepada rasanya. Dekorasi dan suasana restoran yang menggabungkan elemen tradisional dan moden sangat menenangkan bersesuaian dengan konsep Aburii yang menampilkan pengalaman makanan Jepun mewah serta menyeronokkan.
Apa tunggu lagi, jom kita terokai Aburii – sebuah restoran Jepun kelas atasan yang menawarkan sizzling Wagyu Yakiniku dan Sushi Omakase kontemporari. Kedatangan anda akan disambut oleh Samurai Musang yang diterangi cahaya neon di pintu hadapan. Jom selami seni gastronomi Jepun kerana Aburii mahir menggabungkan tradisi dan inovasi. Jom berseronok dalam dunia masakan Jepun yang kaya variasi dan menawan selera.
Waktu operasi Restoran Aburii adalah pada setiap Selasa hingga Ahad bermula jam 6 petang hingga 11 malam, manakala pada hujung minggu bermula jam 12 tengahari hingga 2:30 petang bersambung semula pada jam 6 petang hingga 11 malam. Tutup setiap Isnin.