oleh: zizi hashim
Pertama kali berkunjung ke sini, meski sedikit jauh dari rumah, namun sangat berbaloi. Lokasi terletak di Sungai Tangkas Kajang dan agak tersorok, tak hairanlah Bidadari Turun Malam Café (BTMC) ini diklasifikasikan sebagai hidden gem kawasan Selangor. Bercirikan nuansa café dalam taman, suasana sejuk dan tenang kerana terletak di kawasan berbukit memberi vibes yang sangat menyenangkan. Ketika saya tiba sekitar jam 8:30 malam, hari ahad yang lalu, tidak begitu ramai pengunjung namun masih meriah. Saya jangkakan pasti café ini padat dan sarat pengunjung pada malam minggu.
Dengan ditemani bulan dan bintang diiringi alunan seruling dan petikan gitar akustik sambil menikmati makan malam bersama keluarga tersayang. Meski sedikit tersorok, tapi tidaklah sukar menjejak lokasi menggunakan waze. Lokasi terpencil yang jauh dari hiruk pikuk kebisingan kota itu yang memberi nilai tambah pada mereka yang mahukan suasana damai sambil makan sedap dapat bonus healing dan santai berhibur oleh residen buskers. Terdapat juga kemudahan ruang solat dan tandas untuk lelaki dan perempuan yang dijamin selesa.
Saya tidak pasti bagaimana terinspirasi-nya nama Bidadari Turun Malam, namun firasat saya mengatakan mungkin benar di kawasan lapang yang indah, luas dan cantik mata memandang, nun jauh di hujung kampung ini, benar-benar ada ‘bidadari’ yang turun malam namun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Siapa tahu kan? Tidak mustahil. Satu nama yang unik melambangkan keindahan café itu sendiri bak cantiknya bidadari. Kalau tak percaya, wajib kena datang sini check it out sendiri.
Ramai juga yang menjadikan kafé ini sebagai port selepas balik kerja. Janji dengan kawan-kawan jumpa di sini, lepaskan lelah penat bekerja sambil menikmati kopi dan pelbagai hidangan dari masakan tradisi hinggalah ke masakan western. Dengan konsep urban outdoor, waktu beroperasi dari 5 petang sehingga 11 malam setiap hari kecuali selasa. Selain itu, BTMC sangat sesuai untuk dating kerana suasana yang sangat privacy dan boleh juga sambut acara istimewa seperti harijadi dan anniversary di sini. Rekomendasi tertinggi dari saya berdasarkan keindahan lokasi yang membuat saya terpesona pada kunjungan kali pertama.
Ada juga disediakan aktiviti lain yang mengundang keseronokan dan keterujaan bagi mengisi kekosongan malam seperti memanah (archery) dan kanak-kanak boleh bermain ‘giant bubbles’ yang disediakan percuma sepanjang malam. Sangat kids friendly café! Namun tiada wi-fi percuma disediakan kerana BTMC ingin menggalakkan pengunjung untuk benar-benar menikmati suasana nyaman sambil bersembang dengan keluarga dan sahabat handai dan menghayati alunan muzik dari buskers yang merdu dan mesra telinga. Peralatan memanah turut disediakan, bagi yang belum mahir BTMC sedia memberi tunjuk ajar, caj dikenakan dengan harga RM5 sahaja untuk 20 batang.
Hidangan juadah enak masakan dari variasi menu yang disediakan membuat saya rambang mata mahu pilih yang mana satu. Akhirnya saya telah memesan Smoke Beef Creamy Alfredo untuk saya manakala suami memilih Nasi Goreng Chicken Grilled dan anak memilih untuk makan Nasi Goreng Cina. Saya turut memesan Loaded Cheesy Fries. Memang sedap dan licin pinggan. Minuman pula saya pesan Lychee Blossom Mocktail, Two Pretty Sunset Mocktal dan Mocha Latte. Saya dapat tahu di BTMC turut menawarkan hidangan Buffet Berbuka Puasa pada bulan Ramadhan dengan kemeriahan lauk-pauk pada harga serendah RM49 sahaja. Bolehlah kami datang lagi nanti tahun hadapan.
Antara menu utama dan istimewa yang menjadi trademark di BTMC ini ialah Shellout Lambak, Kari Kambing Garing Ala India, Sup Kambing Pekat Mamak Style, Kambing Panggang, Daging Salai Masak Lemak Ori Negeri Sembilan, Roti John Cheese Banjir, Ayam Masak Merah, Udang Harimau Masak Lemak, Mee Sup Kaw, Air Balang Aiskrim Teh Chai, Rojak Buah Thai, Yong Tau Foo, Colek Kelate dan banyak lagi. Daya tarikan konsep urban yang diperkenalkan sangat sesuai untuk seisi keluarga. Ada juga hidangan panas dan variasi goreng-gorengan yang lazat dan dijamin puas hati, pasti akan datang lagi. Ditambah pula dengan suasana eksotik yang romantis, kepuasan pelanggan yang diutamakan sememangnya berhak mendapat double thumbsup.
Kemudahan tempat meletak kereta disediakan, banyak juga tempat menarik untuk selfie dan bergambar beramai-ramai. Atmosfera persekitaran yang diterangi lampu-lampu menjadikan BTMC unik dan menarik. Malah kalau menurut saya, sinaran lampu neon inilah yang menjadi tarikan utama dan memberi nilai berganda untuk datang bertandang ke sini. Rasa damai dan tenteram makan di sini adalah antara sebab kenapa perlu datang healing di BTMC. Satu hal yang pasti, Bidadari Turun Malam Cafe benar-benar memenuhi ekspektasi dengan pencahayaan yang memanjakan mata.
Mana tahu jika bernasib baik, benar-benar boleh lihat ‘bidadari turun malam’. Datanglah ke sini untuk merasai keunikan-nya, setidaknya sekali seumur hidup.