oleh: zizi hashim
Buffet Ramadhan di Kuala Lumpur Convention Centre adalah diperakui amat digemari dan popular setiapkali menjelang Ramadhan. Bermula dari 18 Mac sehingga 5 April 2024, para tetamu akan dapat menikmati hidangan istimewa berinspirasi citarasa kampung yang mengekalkan perisa familiar dalam mengutamakan kesihatan. Ini merupakan kraf signatur di Buffet Ramadhan KL Convention Centre. Hampir setiap tahun mengekalkan tema ‘Tradisi Semarak Rasa’, sekali lagi tahun ini menawarkan variasi jenis masakan klasik yang menjadi kegemaran ramai sempena kembalinya Musim Iftar di sana sini. Meski terdapat sedikit rombakan pada menu asal, namun ianya bertujuan untuk menaik-taraf dari segi kesihatan dan kelestarian.
Pengolahan-semula resepi telah dilakukan oleh barisan chef-chef ternama dengan menggabungkan lebih banyak bahan-bahan segar, menitikberatkan nutrien kesihatan demi menjamin kesejahteraan diri dalam keseronokan berbuka puasa. Terinsipirasi dari kekayaan budaya sejarah Malaysia, bertambah padu dengan hidangan fusion kegemaran samada tradisional atau moden, antaranya ialah Ayam Masak Rendang Minang, Gulai Daging Tetel bersama Rebung Madu, Udang Goreng Butter, Kerabu Ayam Panggang, Ubi Kayu Sira, Daging Phadprik Cili Burung, Kerutub Ayam, Ayam Olek-Olek Bumbu Cekur, Orh Luak, ‘Bubu Ikan’ – Ikan Bakar bersama sos pilihan dan banyak lagi.
“Pasukan kulinari kami yang kreatif, datangnya dari seluruh pelosok negeri di Malaysia. Kami sangat pakar dan mahir dalam menciptakan hidangan istimewa signatur inspirasi kampung yang di idam-idamkan oleh masyarakat Malaysia ketika berbuka puasa.” ujar Hisham Jaafar selaku Chef Eksekutif KL Convention Centre, menghuraikan tentang perubahan menu. “Apa yang dilakukan secara berbeza pada tahun ini ialah kemaskini resepi dan pelaburan tambahan dengan fokus pada produk segar sambil mengekalkan rasa dan perisa tradisional yang kita semua tahu dan suka.” Turut terinspirasi dengan perkembangan menu yang lebih sihat khas buat tetamu menikmati buka puasa tanpa makan secara berlebihan.
Tidak perlu khuatir, KL Convention Centre ada menyediakan kemudahan menunaikan ibadah di bulan suci Ramadhan. Sebuah surau disediakan lengkap dengan sejadah, selipar untuk kemudahan berwuduk, dan seorang Imam untuk mengetuai solat Maghrib, Isyak dan Tarawih. Ini membolehkan tetamu menunaikan kewajipan agama dengan selesa, sebelum dan selepas berbuka puasa. “Tetamu Muslim dapat menjamu selera dengan selesa dan penuh ketenangan kerana segala sajian yang dihidangkan oleh kami disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).” tambah Chef Hisham lagi.
Selain dari itu, bagi menyelaraskan komitmen KL Convention Centre terhadap kelestarian, kesemua menu Ramadhan terdiri daripada 70% produk dan ramuan sumber tempatan. “Kami ingin membantu pembekal tempatan serta mengurangkan impak alam sekitar dari segi transportasi. Kami juga telah mempraktikkan penggunaan Winnow (sistem analisa sisa makanan berkomputer) bagi mengelakkan pembaziran makanan dengan memperhalusi corak kedatangan para tetamu dengan anggaran makanan yang ditawarkan.” ujar Chef Hisham bersungguh-sungguh menekankan tentang perkara itu.
Yakinlah dengan aneka hidangan lazat bertaraf 5 bintang disokong kuat kredibiliti cemerlang Kuala Lumpur Convention Centre yang sememangnya terkenal, rekomendasi tertinggi dengan harga RM198 (dewasa) adalah berpatutan. Diskaun khas diberikan bagi tempahan awal ‘early bird’, warga emas dan kanak-kanak. Terdapat pilihan tawaran istimewa buat organisasi korporat untuk menu custom yang boleh disesuaikan mengikut citarasa sendiri dengan tambahan extra bagi acara masing-masing iaitu ‘Stesen Aksi Chef’ yang terdiri dari Mee Goreng Mamak, Ayam Tandoori, Laksa Johor dan lain-lain.