oleh: zizi hashim
Masih bermain-main dalam kotak ingatan, malam 25 Mei 2024 yang lalu melakarkan banyak momen manis dan magis yang tercipta dalam intimasi tahap paling eksklusif melalui pertunjukan mahakarya seorang Ziana Zain. Tidak boleh move-on dari konsert yang di nanti-nantikan 22 tahun lamanya. Kuasa vokal mantap yang dilontarkan masih kekal padu dan tak tercapai oleh pengganti yang lain. Tiada duanya, hanya satu. Lunak dan lantang kotak suaranya cukup dikenali sejumlah 5,000 fanatika Ziana Zain Folks yang membanjiri Mega Star Arena Kuala Lumpur seawal jam 6 petang didasari batas teruja paling maksima.
Tidak pernah puas, meski persembahan lara puncak kasih Ziana Zain meleret tiada kepastian sehingga berdurasi 3 jam itu dipenuhi celoteh mesra dan perkongsian cerita yang membuat kita semua berasa dekat dengannya. Ziana Zain meraikan posisi kekal-nya dengan menghimpun pengalaman, perjalanan suka duka dan jerih payah anak seni pastinya membuatkan penonton larut dalam perkisahan dan aura seorang lagenda. Kemuncak karier seninya pada sekitar tahun 90an masih disebut-sebut peminat setia sehingga kini 40 tahun kemudian, membuktikan setiaku masih disini.
Ziana Zain memukau audiens bukan sahaja dengan kemantapan vokal dan lagu-lagu balada malar segar-nya, malah saya turut menyelami sisi lain beliau iaitu seorang yang sangat peramah dan penuh kasih sayang. Semua yang hadir tidak menafikan terkesan dengan impak puncak kasih yang menyelubungi seluruh ruangan Mega Star Arena KL. Lebih-lebih lagi titip pesan yang sering ditekankan agar sentiasa menghormati kedua Ibu Bapa kita, terpancar comel ketika ‘Video Call’ bersama Abah tersayang. Pada usia 56 tahun, masih diambil-berat bagaikan remaja 16 tahun, seluruh ruang bergema menghadiahkan tepuk sorak buat seorang Abah.
Berdirinya Ziana Zain di tengah pentas, dengan 3 kali menukar persalinan gah, tatarias wajah yang sangat matching tona warna kulit dan padanan busana, jelas menyerlahkan aura cukup luarbiasa. Tirai persembahan dibuka dengan lagu “Ada Suara Ada Cinta” dengan kemunculan surprise dari bawah pentas. Jerit-pekik kedengaran dari segenap ruang, karisma seorang diva begitu mempesonakan membuat audiens semakin resah gelisah sebaik sahaja lagu “Dengarkanlah” dilantunkan.
Bintang kesayangan ramai ini mahukan setiap yang hadir merasai sama rata, sentiasa mahu memberi ‘lebih’ atas hadiah kesetiaan mereka. “Satu Detik” mengajak fanatika bangun berdansa sebelum kembali hanyut dicairkan kesyahduan rendisi “Sangkar Cinta” dan “Tiada Kepastian” . Suasana romantis dapat dirasai sampai ke lubuk jiwa apabila lagu demi lagu dipersembahkan, seluruh ruangan bergema sing-along pada lagu “Kasih Ku Pertahankan” dan “Anggapanmu” yang ketara mengundang nostalgia zaman kegemilangan Ziana Zain.
Sentiasa melempar senyum manis dan interaksi penuh kasih, Ziana Zain memberikan vibes kasih sayang paling cemerlang pada malam bersejarah yang mencipta memori indah itu. “Senja Nan Merah” menyambung emosi yang menghantui sang pemilik hati. Ketiadaan Dato’ Awie memberi kesempatan kepada audiens untuk mengisi kekosongan itu. Seiringan berselang-seli, suasana malam semakin hangat sebaik sahaja lagu popular itu menerjah halwa telinga setiap pecinta diva yang seorang ini.
Saya membesar dengan lagu-lagu Ziana Zain, maka setiap lagu membuatkan saya cukup terhibur dan sing-along. Pendekatan yang diambil oleh seorang Ziana Zain ini adalah dipuji dan sangat dikagumi kerana merasa lebih mesra dan lebih intimasi bersama peminat. Kita dapat rasa betapa ‘full of love” dan tidak segan silu untuk menari dan menyanyi bersama menikmati belaian irama muziknya. Lagu kegemaran ramai “Bersama Akhirnya” dan “Kekal” dialunkan, semua terkesima dan larut dalam emosi cinta yang mengasyikan.
Sempat menyelitkan lawak jenaka diperantaraan celotehnya, Ziana Zain yang lebih mesra membahasakan dirinya Kak Gee mendendangkan beberapa lagu medley tanpa iringan muzik. Tenggelam dalam keghairahan jerit-pekik antusias peminat-peminat, Kak Gee tidak putus-putus mengucapkan penghargaan dan sokongan padu yang diberikan oleh keluarga, sahabat handai, saudara-mara, adik beradik dan juga ‘adik-adik’ kesayangan. Tampil memukau di dalam busana anggun dan mewah Rizman Ruzaini, Rizalman dan Ezuwan Ismail, Siti Roziana Zain langsung tidak dimakan usia sentiasa jelita seperti dipuncak popularitinya.
Ketika lagu “Puncak Kasih” dan “Setiaku Disini” dipersembahkan, majoriti peminat menyanyi bersama ternyata amat merindukan kemerduan lunak suara sang Diva. Konsert yang mencipta sejarah kerana tidak pernah seumpamanya, menyaksikan Ziana Zain merangkul peminatnya dengan jiwa besar dan penuh kasih sayang. Semua yang hadir tenggelam syahdu dalam kemeriahan, sorakan dan tepukan gemuruh tak henti-henti. “Kemelut Di Muara Kasih” dan “Berpisah Jua” adalah lagu wajib yang dinanti-nantikan.
Memberikan semua yang terbaik untuk peminatnya, Ziana Zain bukan sahaja dihormati malah dicintai oleh setiap satu hati yang mengidolakan-nya. Seperti yang dilagukan “Madah Berhelah” sememangnya tidak ada seorang pun yang mahu malam itu berakhir. Ziana Zain tidak pernah gagal mencipta momen yang sangat manis, romantis dan penuh magis. Saya percaya ramai yang tidak lena tidur malam itu. Meski sedikit kecewa kerana lagu favourite saya “Putus Terpaksa” tidak tersenarai dalam setlist yang dipilih, semoga akan ada lagi konsert yang akan datang, ditunggu...