Tiada Dua, 'Hanya Satu' Datuk Nora Ariffin

oleh: zizi hashim

Masih bermain-main di kotak ingatan, malam 18 Disember 2024 yang lalu melakarkan banyak momen manis dan magis yang tercipta dalam intimasi tahap paling eksklusif melalui pertunjukan mahakarya seorang Datuk Nora Ariffin (DNA). Memeluk impiannya yang terpendam selama 30 tahun, akhirnya terlaksana konsert solo pertama, 'Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey)'. Malam yang diselubungi keajaiban, Stage 1 Theatre, PJ Pac menjadi saksi kepada pengisian impian seorang legenda, Datuk Nora Ariffin, setelah 3 dekad menabur bakti dalam industri muzik tanahair.

Kuasa vokal maintain 'telan kaset' yang dilontarkan masih kekal padu dan tak terbanding. Tiada duanya, hanya satu Datuk Nora Ariffin. Lunak dan gemersik kotak suaranya cukup dikenali sejumlah 700 peminat setianya yang bergegas pulang dari kerja semata-mata untuk menjadi sebahagian dari momen indah didasari batas teruja paling maksima. Bagaikan serentak dengan "Rentak Jantung" yang berdegup menantikan kemunculan diva tersohor itu muncul di pentas dengan lagu rancak yang menjadi prolog malam. Gemuruh jantung yang memuncak disembunyikan pada bahang jerit sorai dari segenap ruang PJ Pac.

"Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang panjang," bisik Wan Norafizah Dato' Haji Wan Ariffin dengan mata berkaca. "Malam ini saya kongsikan setiap langkah yang membawa kenangan disebalik setiap lagu yang menyimpan cerita." Di usia 51 tahun, suaranya masih seindah permata mengalunkan nada-nada malar segar yang kebanyakan sudah dihafal oleh jiwa yang hadir. Impian mengadakan konsert solo hampir terkubur bersama pemergian Allahyarham Johan Nawawi. 

Namun, seperti burung phoenix yang bangkit dari abu, DNA kembali dengan semangat yang lebih membara. Sokongan Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik dari Kementerian Komunikasi menjadi pemangkin, manakala kasih sayang rakan-rakan seperjuangan menjadi kekuatan. Seleksi 18 buah lagu dipilih dengan teliti, setiap satunya mewakili satu babak dalam perjalanan seninya. Lewat "Debaran", DNA meraikan posisi kekal seorang lagenda dengan menghimpun pengalaman, perjalanan suka duka dan jerih payah anak seni pastinya membuai penonton larut dalam perkisahan itu. Celoteh mesra dan perkongsian cerita membuat audiens berasa dekat dengannya.

Berdirinya DNA di tengah pentas, dengan 2 kali menukar persalinan gemerlapan, tatarias wajah yang sangat matching tona warna kulit dan padanan busana, jelas menyerlahkan aura cukup luarbiasa. Medley "Dendam Dalam Diam" dan "Renungan Terakhir" mengundang jerit pekik di segenap ruang, karisma seorang legenda begitu mempesonakan membuat audiens bernyanyi seiringan dalam helaian memori yang dihidupkan semula. "Materialistik" mengajak semua bangun berdansa sebelum hanyut kembali dicairkan kesyahduan lagu yang memperkenalkan dan mempopularkan DNA.

"Di Persimpangan Dilema" muncul sebagai salah satu lagu paling berpengaruh dalam perjalanan karier DNA dan lagu yang paling saya tunggu. Memberi nafas kepada interpretasi vokal penuh penghayatan, alunan melodi melankolik bergabung dengan suara emasnya, mencipta kombinasi yang sempurna untuk menyampaikan mesej tentang kekeliruan hati. Pewaris gemersik vokal ibunya, Putri Dahlia, melangkah naik ke pentas mewujudkan momen paling istimewa. Bintang muda yang sedang meningkat naik dengan "Old Love" di Spotify ini menjadi testimoni bakat seni yang mengalir dalam darah keluarga. Duet "Sabar" bersama ibu tercinta memberi nyala rasa khas terhadap warisan muzik yang akan terus hidup dalam generasi baharu.

Menghilang seketika dalam kelam cahaya, irama tradisional "Joget Kelantan" menggamit semula kemunculan DNA ke atas pentas dalam balutan persalinan kedua. Sempat juga kagum melihat DNA menyanyi rap dalam dialek kelate sebelum satu lagi lagu yang saya tunggu "Desa Tercinta" memutikkan rasa ceria untuk berdansa dan bernyanyi bersama. Malah DNA juga memutuskan untuk turun ke bawah pentas bersalaman dan berada lebih dekat lagi dengan hadirin. Dalam senyum manis dan interaksi penuh kasih, DNA memberikan vibes kasih sayang paling cemerlang pada malam bersejarah yang mencipta memori indah itu. Seiringan berselang-seli menyanyi antara DNA dan peminat, malam menjadi semakin hangat.

Di tengah kerumunan ramai, ada terselit Ziana Zain bersama rombongannya datang membeli tiket tanda sokongan tak berbelah bagi buat rakan artis seperjuangannya itu. Cukup terharu, DNA telah mempelawa Ziana Zain naik ke atas pentas, menerbit sorakan gemuruh di seluruh ruangan PJ Pac. Dua diva, dua sahabat, berpelukan erat dalam harmoni yang sempurna. Sportingnya Ziana Zain mengalunkan serangkap dua lirik lagu "Cinta Di Akhir Garisan" atas permintaan ramai yang serentak mahukan diva itu 'belanja sikit'. Persahabatan keduanya yang terjalin sejak era kegemilangan masing-masing terpancar dalam setiap bait lagu yang dikongsi.

Seketika suasana hening dan sepi sebelum denting piano dari Aubrey Suwito memecah malam. Medley lagu hits DNA membelai jiwa membuai syahdu pada rendisi "Naluri", "Jentayu" dan kemudiannya saat yang paling menggetarkan jiwa ketika teknologi AI membawa kembali suara Allahyarham Johan Nawawi dalam rintihan "Pinta". Air mata mengalir diam ketika suara suami tercinta bergema di dewan, membuktikan bahawa cinta sejati merentasi sempadan duniawi. Momen ini menjadikan sesuatu yang mustahil dan tak pernah terfikir dapat direalisasikan dengan kecanggihan era moden, kenangan dapat dihidupkan semula melalui keajaiban teknologi.

Anak-anak DNA iaitu Syakir Iman, Putri Dahlia dan Fateha naik ke pentas memeluk ibu mereka, menyambung emosi yang menghantui sang pemilik hati. Penonton yang hadir turut merasakan kesedihan dan menitiskan airmata melihat 4 beranak itu berpelukan dan berpegangan tangan. Mereka mendendangkan lagu "Selamanya Bahagia" bersama-sama dalam nuansa syahdu yang turut dikongsi semua. Pertemuan keluarga yang disaksi ratusan mata, melantun setiap nota refleksi kekuatan ikatan keluarga yang tidak dapat dipisahkan oleh sesiapa, meski badai datang melanda. Amanah dan sumber kekuatan DNA yang paling terulung, semuanya berbakat besar dan boleh menyanyi dengan baik. Tepukan gemuruh bergema buat talenta hebat berdarah seni dengan senyuman penuh bermakna. 

Malam semakin hanyut dicairkan nuansa romantis lagu-lagu hits malar segar DNA seperti "Sandiwara" dan "Samudera" diberi nafas baharu melalui susunan improvisasi kontemporari. "Menyemai Cinta Bersamamu" dibawakan dengan interpretasi yang segar sehingga menyentuh ke lubuk jiwa. Lagu demi lagu dipesembahkan, seluruh ruangan bergema sing-along pada setiap melodi yang ketara mengundang nostalgia zaman kegemilangan Datuk Nora Ariffin. Saya turut terbuai dibawa vibes "full of love" dalam menikmati setiap belaian irama muzik DNA. Meski hanya dari bawah pentas, saya dapat merasakan kemesraan dan intimasi interaktif DNA bersama peminatnya. 

Seketika beredar dari pentas mungkin untuk mengesat airmata di pipi yang basah, sorakan "We Want More" dari peminat mencetus adrenalin membara lantas lagu kegemaran ramai yang diangkat menjadi judul konsert "Hanya Satu" dialunkan. Semua terkesima dan larut dalam emosi cinta yang mengasyikan. Majoriti peminat menyanyi bersama ternyata amat merindukan kemerduan lunak suara sang Diva yang pernah hampir berputus asa untuk meneruskan kerjayanya sejak pemergian Allahyarham Johan Nawawi. Mujurlah DNA bangkit kembali, merangkul peminatnya dengan jiwa besar dan penuh kasih sayang. Semua 700 jiwa yang hadir tenggelam syahdu dalam kemeriahan sorakan dan tepukan gemuruh tak henti-henti.

"Setiap lagu malam ini membawa kisahnya tersendiri," kata DNA dengan suara yang bergetar. "Ada yang membawa kita ke masa silam, ada yang mengingatkan kita akan mereka yang tidak lagi bersama, dan ada yang memberi harapan untuk masa hadapan." Air mata kegembiraan mengalir, bukan sahaja dari mata DNA, tetapi juga dari mata para peminat yang telah menyokongnya selama 3 dekad. Apabila suara bertemu jiwa, terukir kenangan sepanjang masa. Di sinilah, di mana melodi bertemu nostalgia, sebuah legasi kekal tercipta.

Sekalung penghargaan buat Jennifer Thompson sebagai pengarah persembahan dan Aubrey Suwito selaku pengarah muzik yang telah menghasilkan persembahan memukau. "Arwah Johan Nawawi pernah cakap kalau nak buat konsert mesti ada Jennifer Thompson, so betul malam ni kita ada Jennifer Thompson." kata-kata DNA disambut tepukan gemuruh. Setiap elemen digarap dengan teliti, dari pencahayaan yang dramatik hingga ke susunan muzik yang inovatif. Band pengiring yang dibarisi pemuzik-pemuzik handalan memberikan sokongan mantap, mencipta landskap muzik yang sempurna. 

Memberikan semua yang terbaik untuk peminatnya, Datuk Nora Ariffin bukan sahaja dihormati malah dicintai oleh setiap satu hati yang mengidolakannya. Sememangnya tidak ada seorang pun yang mahu malam itu berakhir, semoga akan ada lagi konsert yang mendatang, ditunggu...