oleh: zizi hashim
“Inilah konsert Search yang paling ramai awek muda muda datang.” Terdengar soksek soksek dari mulut seorang ‘mat rock’ pada malam itu. Eh betul ke? Terfikir pula saya seketika. Sambil berpusing melihat dari ruangan tingkat atas dan bawah sekitar Zepp KL, memang diakui ramai betul awek muda berusia lingkungan 20an. Namun itu bukan sesuatu yang pelik bagi saya. Sejak Search ditubuhkan pada tahun 1981, sudah 43 tahun, konsert Search pernah lebih ramai awek datang menyerbu ketika zaman Amy, Kid, Din, Hillary, Nasir dan Yazit muda dahulu. Jangan lupa aura Amy, Kid dan Din pada zaman kegemilangan mereka dahulu, lebih ramai lagi awek tergila-gila dan histeria.
Jadi, proposisi yang mengatakan ramai hadir diri kerana Amir Masdi hanyalah suatu teori. Tidak benar dan tidak setuju sama sekali. Tarikan aura magnet Kid Din tetap kuat dan melekat, tak tergugat. Kolaborasi pertama kali bersama Amir Masdi adalah satu eksperimentasi yang menciptakan sebuah malam penuh emosi. Meski pelbagai kontroversi dan ramai bercakap itu ini di sana sini, tidak sedikitpun mematahkan semangat jitu diri seorang ‘rockstar’ sejati. Setiap ‘audisi’ yang dilalui menjadi bukti, Amir Masdi lulus cemerlang pada malam 29 Jun 2024 dalam persembahan gilang-gemilang, dimana lebih 2,000 pecinta seni menjadi saksi dan meraikan vokal sensasi Amir Masdi dengan penuh apresiasi.
Tirai dibuka dengan medley 5 buah lagu popular “Akhirnya”, “Menara Kesesatan”, “Neo Romantik”, “Teguh” dan “Andainya Ku Miliki Semalam” oleh barisan musisi yang tidak asing lagi. Ritz Metalasia, Muzza dan Addy Cradle beradu padu di posisi gitar merdu, didakap erat deruan padat bass Fly Halizor dan dentuman dram hebat Ujang, sambil tona memikat kibod Rozaria Rasul mengikut rapat. Alunan muzik instrumental memberi hangat pada ruang Zepp KL yang dingin, semakin berasap apabila Jovita Pearl muncul dalam busana hitam serba lengkap. “Emanuelle” paling dinamik disampaikan vokalis genit asal negara seberang ini dalam pakej paling energetik. Penampilan istimewa Naimi di posisi dram turut menyuntik energi luarbiasa. Gempita sorakan membangkit ghairah dalam nuansa meriah yang melimpah-ruah.
Usai introduksi, sejumlah lebih 2,000 mata tertumpu tepat ke atas pentas, ternanti-nanti dengan sedikit cemas. Sedikit terlewat dari rencana, setiap saat terasa begitu lama. Semua tercari-cari “Kid mana?” “Din mana?” Dalam masa yang sama, berdebar-debar penuh ekspektasi “Dapatkah Amir Masdi beraksi?”
"Henjut" memberi khabar gembira, Kid dan Din berdiri di atas singgahsana penuh pesona. Bonusnya kemunculan berapi-api vokalis baru Search yang bakal teruji kredibiliti malam itu nanti. Lengkap bertopi dan berjaket, aura rocker begitu menyerlah, saling tak tumpah bak ‘Amy Mat Piah’ dengan celana merah, diterjah gema dari audiens yang terpaling indah. Pada awalnya, kalau menurut saya, showmanship Amir bagaikan ‘lambat garing’. Masuk lagu kedua, “Pelesit Kota” masih belum juga lagi keluar taring. Ianya berlarutan sehingga “Metropolitan” dan “Diari Habil Dan Qabil” tamat berdenting.
Amir menyapa khalayak dengan mesra, selayaknya seorang frontman yang menggalas tugas berat berkomunikasi dengan peminat. “Demi Cintaku Padamu…” disambut sorakan gemuruh. “Fantasia Bulan Madu” memang lagu yang Amir bawakan selalu. Barulah terasa sampai ke dada, kali ini meremang bulu roma. Selembut alunan nada, Din membuai ritma irama bersambut solo gitar Kid yang datang dari sepenuh jiwa. Aura karektor stylo Kid Din menyerlah pada tahap paling maksima. Solo signatur keramat Kid berkumandang sungguh merdu, sedap betul, sumpah tak tipu.
Lagu kegemaran saya “Pembakar Perasaan” bikin kacau seluruh Zepp KL. Jarang-jarang dapat dengar Search bawakan lagu-lagu sebegini, nada-nada tinggi yang selamba ditangani, buat bulu roma berdiri. “Honky Tong Kosong” dan “Orait Mama” mengimbau nostalgia. Emosi bercampur-baur disyahdukan lagi dengan segmen tribute buat Allahyarham Yazit Ahmad. Tayangan video memperlihatkan memori keakraban Kid dan Din bersama Yazit berdekad lamanya disulami tulisan nukilan menyentuh hati mengiringi setiap curahan bakti. Anak perempuan Allahyarham, Shafiqa Nurlis dan ibunya Ramlah Ahmad dijemput naik ke pentas untuk menerima sumbangan ikhlas, tanda terima kasih atas jasa tak terbalas. Meskipun hanya tinggal nama, Yazit Ahmad tidak akan pernah terlupa oleh peminat setia. Ketukan dram memukau tidak siapa bisa terjangkau. Al-fatihah.
“Bisa” disampaikan penuh soulful, mengigit setiap telinga yang mendengar. Masuk menusuk terus ke dalam jantung. Mahakarya "masterpiece" dari Kid begitu melekat di jiwa menjadi riff legenda sampai bila-bila. Bergetar jantung dibuatnya. Sebuah lagi lagu kegemaran saya “Bersalah Atau Tidak” bergema. Raja Ritma Malaysia – Din kelihatan tenang di kiri pentas menggalas gitar dalam karektor cool trademarknya. Memberi kepercayaan penuh kepada Amir dalam komunikasi bersama peminat, ternyata pilihan yang sangat tepat. Amir bijak memancing hati khalayak, tidak mustahil fanbase Search Kid Din akan bertambah banyak. Tambah pula pakej lengkap berwajah kacak, buat ramai awek teriak-teriak.
Terus rocking dengan "Di Pintu Sepi” seluruh Zepp KL hangguk kepala. Saya yang berdiri lama dari awal konsert tak pula terasa letih, pelik juga. Bagai ada satu roh datang bikin akal hilang! Suasana gamat, tak terasa penat. Pedulikan faktor usia, bukan selalu dapat tenggelam dalam suasana dan nuansa malam yang bawa saya mengembara ke loceng masa. Apatah lagi ketika “Fenomena” dan “Pawana” bergema, suasana tiba-tiba bertukar huru-hara. Fuhhh memang gila!
Malam itu ketika “Gadisku” memecah sunyi, saya goosebump berkali-kali, lagi dan lagi. Meskipun lagu ini hits pada tahun 1987, tetap berhantu! Lebih-lebih lagi bila Amir Masdi yang nyanyi, ramai lah gadis-gadis naik syok sendiri. Semua terasa lagu itu ditujukan buat diri sendiri. Kid tetap dinamik dengan solo merecik, manakala Din kekal versatile penuh karisma. Rozaimi yang menggalas bass dan Min di bahagian dram memberikan kontribusi padu dan jitu. Kesemua musisi memberikan 100% yang terbaik. “Pasti” adalah lagu wajib, menjadikan malam semakin gempita, meriah sorakan seolah tidak mahu konsert berakhir.
Search menghilang dari pentas, lampu kelam sengaja dimalapkan. Jerit pekik peminat meminta ‘lebih’ tidak puas, baru nak panas. Padahal sudah 15 buah lagu berlalu pantas. Meski saya sebenarnya sangat kecewa dengan ketiadaan lagu favourite saya iaitu “Rock N Roll Pie” dan “Teguh” dalam seleksi setlist konsert kali ini, saya terpaksa akur apabila konsert diakhiri dengan encore lagu ikonik Search “Mentari Merah Di Ufuk Timur”. Satu lagi lagu berhantu! Argh, Search memang banyak lagu sedap dan berhantu! Satu konsert yang sangat menghiburkan, setiap momen yang berlalu berisi padat dan sarat dengan magis dan memoribilia yang akan dikenang sampai bila-bila. Nostalgia habis!
Tahniah Amir Masdi, lulus cemerlang! Persembahan dan aura rockstar sebenar yang bukan calang-calang, berdiri gah sebesar nama lagenda Search Kid dan Din, side by side. Tahniah Big Stage Entertainment Channel dan redONE Mobile atas kejayaan konsert keramat ini. Terbukti bukan fantasia, dalam Gemuruh, Search mencipta sebuah lagi fenomena.
foto kredit: pa pa din / kelkatu tv