oleh: zizi hashim
foto kredit: mms, maestro ridzwan & fendi ghafar
Pengalaman 20 tahun berkarya, dengan menghidangkan bekal santapan 20 buah lagu penuh spiritual ramuan istimewa untuk 2,500 fans Letto Malaysia pada malam 12 Januari 2024, sememangnya sesuatu yang luarbiasa. Penantian 10 tahun untuk mengadakan konsert di Malaysia selepas tertunda pada tahun 2014 – akhirnya terlaksana dan ternyata sangat berbaloi. Jualan tiket sold-out! Hal ini bahkan turut memberi kejutan kepada Letto sendiri. “Kami siap sedia memberi yang terbaik walaupun yang datang hanya 10 atau 100 orang.” ujar Noe, sang teraju utama Letto, merendah diri. “Ternyata siapa sangka pecah panggung, dan kami merasa sangat bersyukur.”
Band berasal dari Yogyakarta ini ditubuhkan pada 2004, sangat terkenal dengan lagu-lagu hits pop melankolik sarat mesej-mesej tersurat melalui seni lirik dan sastera bahasa yang penuh rasa dan makna. Ini tidak menghairankan, kerana Noe merupakan anak kepada penyair terkenal Indonesia iaitu Emha Ainun Nadjib, maka talenta beliau dalam seni penulisan sastera sudah tentu diwarisi dari kehebatan bapanya. Selain Noe, kesemua line-up Letto iaitu Patub (gitar), Cornel (bass), Widi (kibod) dan Dhedot (dram) telah bersahabat sejak dari sekolah menengah sehinggalah sekarang.
Selama 20 tahun, Letto tidak pernah berpecah dan tidak pernah bertukar line-up. “Ya berbalah itu pernah, saling beza pendapat juga pernah, hampir berpecah juga pernah, tetapi setiapkali itu hampir berlaku, kami akan diam dan mengambil masa untuk bertenang. Bila sudah OK kami jumpa dan berkarya semula.” Noe berkongsi resepi kejayaan Letto yang bertahan selama 2 dekad, sesuatu yang sangat dikagumi.
Konsert ulangtahun ke-20 Letto ini adalah konsert pembukaan bagi saya pada tahun ini. Secara peribadinya, konsert ini terlalu istimewa. Entah dari mana hendak dimulakan review akan terlalu istimewanya. Begitu terkesan di jiwa, di sudut yang paling terdalam – memberi 1001 impak paling manis dan kenangan paling bahagia buat pembukaan 2024 ini. Sehingga hari ini, ketika rencana ini ditulis, saya masih tidak mampu move on dan masih senyum sendiri teringatkan satu malam yang begitu intense dan passionate hadiah dari Letto buat sang peminat Lettologika-nya.
Terdahulu tepat jam 8 malam, tirai malam dibuka berseri-seri dengan persembahan oleh artis undangan Dalia Farhana yang membawakan 2 lagu berjudul “Rumah” dan “Langit Yang Sama”. Hadirin sporting bernyanyi bersama meski kelihatan tidak sabar-sabar untuk larut dalam lantunan irama romantis lagu-lagu Letto bertemakan cinta.
Dalam sesak crowd yang berduyun dan kabut hawa-dingin, penampilan Letto berjaya menghipnotis ribuan peminat setia yang memenuhi ruangan Zepp KL. Set pentas yang simple, tampak gemilang penuh warna dan cahaya futuristik visual di skrin layar lebar namun pada masa yang sama tetap menjaga unsur tradisional. Batik yang dicipta khas oleh Liyana Batique Collection untuk Letto 'memberi nyawa' kepada konsert malam itu.
Tampak berbalam-balam di atas pentas yang malap, satu-persatu sosok mengambil posisi masing-masing. Introduksi dimulakan dengan sebegitu indah, mainan tatacahaya eksotik, iringan muzik dari Gamelan KiaiKanjeng yang melankolik, Noe muncul dengan santai di atas pentas disahut sorak-pekik gemuruh, mendendangkan intro “Bird Song”. Terdapat 3 buah lagu inggeris dibawakan malam itu termasuklah “Insensitive” dan “Truth, Cry and Lie”.
Saya sangat suka pada dinamika penceritaan dalam persembahan yang dibawakan Letto malam itu. Pada set awal, seleksi lagu-lagu ballad mellow membuatkan Noe dan lain-lain statik di posisi masing-masing tanpa banyak pergerakan. Nada perlahan lagu “Sebenarnya Cinta” berkumandang, bermain dengan emosi penonton. Kita seolah-olah diajak termanja-manja oleh rasa dan terbang tinggi oleh suasana. Meski tidak banyak bergerak, Letto telah membawa semua yang hadir larut ke dalam dunia fatamorgana ciptaan Letto, sebentar di dunia nyata, sebentar pula lagi di dunia maya.
Menariknya lagi malam itu, Letto membawakan 3 buah lagu cover dari artis Malaysia iaitu “Suci Dalam Debu” (Iklim), “Cinta Kita” (duet Amy Search dan Inka Christie) dan “Isabella” (Search). Ketiga-tiga lagu ini merupakan tribute hormat buat ikon muzik dari Malaysia dan juga lagu-lagu yang meledak popularitinya di Indonesia. Lagu-lagu ini saya anggap iklan di perantaraan lagu, hanya untuk melengkapkan perjalanan malam. Maaf, fokus saya lebih tertumpu kepada lagu-lagu Letto yang lain.
“Sandaran Hati” diperdengarkan, satu lagi lagu ballad yang cukup indah. Intro gitar berhantu mengundang sorakan gamat. Setiap senikata lirik bersifat ketuhanan penuh bermakna dan diselami setiap yang hadir. Tidak lama dan tidak membuang masa, Letto lanjut lagi dengan variasi lagu-lagu popular mereka seperti “Fatwa”, “Lubang Di Hati”, “Layang-Layang” dan “Kedamaian Sejati”. Hadirin sepakat menghayun tangan ke udara, mengikut melodi lagu dan sing-along. Ketika lagu “Kangen Deso” dibawakan, hampir kesemua line-up Letto telah bergilir-gilir menyanyi setiap rangkap, memberi cerminan bahawa kesemua mereka memang berkebolehan menyanyi dengan cukup baik.
Harus dipuji pada rendisi multiple yang diterokai ketika penyampaian lagu “Permintaan Hati” dari perlahan menjadi rancak, terselit juga irama dangdut yang mengajak peminat berdansa bersama-sama. Begitu juga irama keras muzik Metal turut dieksplorasi oleh Letto ketika selingan lagu “Gundul-Gundul Pacul”, membuat semua yang hadir terkagum sejenak sebelum kembali ke muzik tradisi Jawa Gamelan mereka. Zepp KL riuh gelak ketawa, satu nuansa nyaman dan menghiburkan. Dalia Farhana muncul sekali lagi di atas pentas untuk duet “Senyumanmu” bersama Letto.
Suasana syahdu dan sentimental jiwa diteruskan apabila lagu yang ditunggu-tunggu “Ruang Rindu” didendangkan. Semuanya terpukau dan hanyut dalam keasyikan. “Alhamdulillah semua sudah hafal, berarti kita lanjut ke lagu berikutnya.” Noe spontan bercanda disahut gemuruh gelak ketawa dari 2,500 fans berat yang hadir. “Terima kasih sudah memberi kesempatan Letto hadir dalam memorimu. Semoga malam ini bisa kita kenang dalam ruang rindu.” Terbit senyum gembira dari semua.
Lagu “Sebelum Cahaya” dipilih sebagai penutup keghairahan malam. Persiapan rapi yang dibuat bagi mukadimah, perjalanan cerita cinta dan pengakhiran yang sangat dinamik. “Ya Allah Ya Tuhan Kami, semoga dijaga persaudaraan Indonesia dan Malaysia, semoga menjadi cahaya untuk sekitarnya. Terima kasih beri kesempatan pada Letto malam ini.” begitu bersungguh-sungguh Noe memanjatkan doa tulus murni disahut “Aamiin” gemuruh bergema di seluruh Zepp KL. Letto telah mengibarkan bendera Malaysia di penghujung konsert sebagai tanda apreasiasi kedatangan mereka ke sini disambut meriah.
“Allah akan membelaimu, Cinta…….” rangkap terakhir ini dinyanyikan seiringan serentak bersama oleh semua yang hadir. Meremang bulu roma! Konsert berakhir sekitar jam 11:30 malam, dan saya pun terbangun dari mimpi indah dan segala rasa yang harus dibatasi. Tidak terasa telah berlalu 3 jam. Selama detik itulah Letto telah menawarkan rasa cinta dalam hati, yang saya tak tahu harus bagaimana untuk raba mimpi atau nyata dan bezakan rasa dan suasana dalam rangka sayang atau cinta yang sebenarnya.
Letto yang didatangkan secara khusus oleh Qew Communications sebagai penganjur, sememangnya buah tangan yang sangat berkualiti. Benarlah akan janji mereka, setiap seorang peminat telah dilarutkan dalam satu malam yang luarbiasa dan pulang dengan senyuman. Konsistensi dan populariti yang dipegang Letto mencipta magis dan momen-momen manis. Pertama kali melihat konsert dengan kombinasi padu muzikal tradisi gamelan dan pop melankolik ternyata kedengaran sangat merdu di halwa telinga. Sedap betul.
Letto, semoga datang lagi ke Malaysia ya, kami tunggu.