Raikan CIPTA: Kembara Seni 45 Tahun Dato’ M. N45IR

oleh: zizi hashim 

Percaya atau tidak, meski sudah menghadiri ratusan konsert, ini adalah konsert Dato’ M. Nasir (berskala besar) yang pertama bagi saya. Terlepas menjadi sebahagian dari kenangan konsert Gendang Pati tahun lalu, kali ini saya tidak mahu gigit jari lagi. Berada di tengah-tengah gelombang 8,000 hadirin pada malam 10 Ogos 2024 terasa bagaikan mimpi. Majoriti rata-ratanya berbusana tradisional bak pahlawan segak bertanjak, ayu jelita bak tuan puteri lengkap cucuk sanggul dan berselendang molek, saya tidak mahu ketinggalan turut sama berbaju kurung pesak, masuk ke Axiata Arena berasak-asak.

45 tahun, bukanlah darmawisata yang singkat, selayaknya sudah diklasifikasikan hebat. Seorang ‘Mahaguru Muzik’ atau ‘Sifu Seni’ dengan anugerah talenta extraordinary yang tidak semua memiliki, tetap kekal dengan sifat merendah diri. Padahal setiap melodi, setiap bunyi, setiap notasi dan setiap simfoni yang dicipta pasti bikin sensasi dan cetus prodigy tersendiri. Pernah saya berdiri di sebelahnya, entah dari mana datang rasa gerun, sedangkan Dato’ M. Nasir tak berkata sepatah pun. Aura sekitarnya lain macam, bukan biasa-biasa. 

Jam tepat 9 malam, dimulai dengan tayangan video introduksi monolog kembara seni Dato’ M. Nasir bercerita tentang kesendirian yang berupaya menukar alam menjadi simfoni. Lantas dalam tiupan tali gendang genderang dan kisi kerincing gemerincing, Dato’ M. Nasir ‘diangkat’ ke atas pentas bersambut sorakan padu penuh antusias. Sesuai tema Nusantara, mukadimah lagu rancak tradisional“Raikan Cinta” sudah sedari awal bikin goosebumps – saya kira satu pilihan genius terasa seperti kena bius.  

Tampil ringkas tetapi segak, Dato’ M. Nasir selesa mengenakan busana dalam nada tradisional lengkap bertanjak. Vokal lantang dan lunak terdengar enak melantun “Bikin Filem” yang sinis senikatanya. Metafora dalam setiap nada karya ternyata berada di skala berbeza. Setiap lagu jangan sampai salah tafsir walau terkadang terasa kena sindir, itu biasalah kalau lagu M. Nasir. Bersambung pula “Tujuh Nafas Lagi” yang sarat mesej tersirat. “Kau tanya bilangan namamu ku sebut, jawabnya hanya sekali lafaz tak terputus.” Begitu mendalam dan punya maksud yang indah. 

Bergema seluruh Axiata Arena apabila hadirin turut sing-along hampir kesemua lagu sejak dari awal konsert sambil menghayunkan tangan-tangan ke udara. Mood sedih menyelubungi apabila lagu “Senandung Semalam” didendangkan. Lagu yang dicipta khas buat Alleycats pada tahun 1978, kemudian dirakam semula oleh Jamal Abdillah pada tahun 1993. Kekal malar segar, seleksi lagu bermain dengan emosi silih bertukar. Tiupan seruling merdu terdengar, lagu ala keroncong “Oh! Anak” dan “Dah Lagu Tu!” membuai jiwa sebelum “Hati Emas” buat penonton mulai berdiri dan berdansa bersama.

Dilimpahi cahaya gemerlapan dari flashlight berwarna-warni yang memberi kemeriahan berganda, jerit pekik yang lebih lantang apabila medley lagu-lagu balada berkumandang. Sudah hafal benar senikata seperti “Seroja”, “Cinta Kristal”, “Senja Nan Merah” dan “Seribu Tahun Takkan Mungkin” buat Axiata Arena bergegar. Aura karisma melimpah-ruah, perjalanan seni 45 tahun masih banyak lagi nak redah. Dalam 3,000 lebih, hanya 30 sahaja terpilih. Lagu-lagu yang tercipta, jika sungguh-sungguh dihayati melodi dan senikata, mampu membuat jiwa hiba dan mata berkaca. 

Nuansa malam kembali ceria dengan hits “Seloka Cinta Remaja” dan “Bercanda Di Pasiran Pantai”. Sekejap bangun sekejap duduk, penonton di segenap ruangan Axiata Arena bertemasya sepenuh jiwa raga. Masuk pula ke segmen Rock, suasana semakin huru-hara apabila “Cinta Sakti”, “Seragam Hitam” dan “Tinggal Satu Peluru” bergema. Kalau tanya saya, inilah konsert artis Malaysia yang paling happening tahun ini, tak terbanding.

Menghilang sebentar menukar persalinan hitam, Dato’ M. Nasir muncul kembali ke  atas pentas memberi salam. Kejutan tentang kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri tumpuan ramai. PMX ditemani Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilihat turut sama sporting mengenakan busana Melayu mengikut tema konsert. Alunan lagu “Allah Selamatkan Kamu” didendangkan beramai-ramai sempena ulangtahun kelahiran PMX yang ke-77, kebetulan tepat pada tarikh 10 Ogos. Pihak penganjur konsert bersama M. Nasir telah menghadiahkan ‘pulut kuning’ istimewa buat Perdana Menteri. 

Menzahirkan ucapan Terima Kasih atas kesudian jemputan serta meraikan ulangtahun kelahirannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluahkan rasa kagum akan kehebatan suara emas dan mahakarya seni seniman negara itu. Dato’ M. Nasir ada menulis sebuah lagu khas buat Perdana Menteri sewaktu beliau di penjara dan siapa sangka semangat “Phoenix Bangkit” berkumandang indah di hadapan PMX, diraikan bersama ribuan hadirin, mencipta sejarah unggul tersendiri.

Dalam masa yang sama, PMX turut terkesan dengan lagu “Balada Seorang Teman” yang merupakan lagu tribute buat perjuangan rakyat Palestin. Terpampang pada skrin layar lebar foto PMX bersama Allahyarham Ismail Haniyeh yang terkorban pada 31 Julai 2024, mencipta sayu dan syahdu pada setiap jiwa yang hadir. Persembahan karya penuh emosi diteruskan dengan lagu demi lagu. Antara lain yang turut sama disajikan ialah “Langgam Pak Dogo”, “Bukalah Hatimu”, “Rampak Rebana”, “Berdendang Dalam Tangisan”, “Andalusia” dan “Sahabat Gua”

Tatacahaya yang gemilang, disulami persembahan visual di skrin layar lebar memberi warna dan memperkaya rasa. Kemunculan magis Datuk Ramli MS mengalunkan instrumen akordian mengiringi lagu “Hijab Kekasih” mendayu-dayu mencipta sebak, goosebumps lagi dan lagi. Kombinasi musisi handalan memperlihatkan kontribusi virtuoso dari Aznan Alias (gitar), Rafi Mohd (gitar), Norman Abdullah (bass), Eddie Slam (kibod), Ujang Exist (dram), Paang (perkusi) dan ramai lagi. Pengalaman berpuluh tahun bergelumang dalam industri seni dicurahkan sepenuhnya demi memberikan yang terbaik.

Kekal ligat meski sudah 2 jam lebih konsert berjalan, Dato’ M. Nasir terus bersemangat melihat penonton tidak berganjak dan kemeriahan semakin memuncak. Paling havoc ketika lagu “Gurindam Gunung Tahan” dan “Tanya Sama Itu Hud Hud” berkumandang. Satu Axiata menggila, tolak tepi faktor usia, penonton kekal dalam momentum bertenaga mengharapkan lebih banyak magis luarbiasa tercipta. 

Alunan intro lagu yang dinanti-nanti “Mentera Semerah Padi” mengajak seluruh Axiata Arena berjoget riang, bagaikan dirasuk roh Nusantara semua berpesta. Tidak mahu malam berakhir, senikata dan melodi lagu “Ada” memberi impak terkesan buat 8,000 peminat setia yang hadir. “Dalam aku, ada dia dan dalam dia ada kita ada semua.” Benarlah semua berkongsi gembira dan mengabadikan-nya dalam kotak ingatan sampai bila-bila.

Jam sudah menunjukkan tepat 12 malam, namun malam masih terasa hangat. Encore “Suatu Masa”, “Sentuhan Listrikmu” dan “Apokalips” penangan hebat melihat seluruh Axiata berdansa merentas masa 45 tahun kembara. Konsert yang mencipta magis bersejarah, mencipta kenangan indah, mencipta senyum puas, mencipta tawa ikhlas, mencipta pelbagai rasa yang tak terucapkan.

Dato’ M. Nasir, teruskan menCIPTA, kami masih mahu banyak lagi ‘cipta rasa dan cinta’ dalam jiwa. Terima kasih untuk 45 tahun yang indah. Semoga kekal berkarya, kami tetap disini, kami tetap ada.