Patriot Merdeka Bersama Kristal X Dan DefGabC di Konsert Merah Hitam

oleh: zizi hashim

Kristal X dan DefGabC sememangnya 2 band serumpun yang membawa muzik berpaksikan genre Rock. Dengan menerapkan elemen patriotisme sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 pada 31 Ogos 2024 yang lalu, Shoreline Space dengan usahasama Karyawan telah sukses menyelenggarakan sebuah konsert yang diberi gelar 'Merah Hitam', yang dipetik dari 2 judul lagu hits Kristal X dan DefGabC. Bonus bagi 1,700 peminat muzik Rock tanahair, dapat berhimpun di Zepp Kuala Lumpur, bukan hanya sekadar berhibur bersama tetapi dalam masa yang sama menyemarakkan sambutan Hari Merdeka sebagai simbolik jiwa merdeka.

Kemilau malam bermula tepat jam 8:30 malam dengan kemunculan Kristal X di pentas aksi. Bagaikan ada tarikan magnet, semua mata terpaku melihat Lan (vokal) memecah panggung dengan intro riff gitar rancak "Merdeka di Minda Sfera" membangkit euforia semangat setiap yang mula hangguk kepala beramai-ramai. Tata cahaya gemilang dipadu dengan gegaran mantap instrument rock kental mampu mengajak semua rocking lagi dengan "Bongkar", "Motor Roda Satu" dan "Macam Kentang". Khalayak diajak terjebak nostalgia ketika mendengar "Pasti Sempurna" dan "Selagi Ada Rindu" dilantunkan.

Hampir kesemua lagu yang menjadi seleksi Kristal X pada malam itu sukses mengajak peminat setia kembali ke era 2000an. Setiap alunan muzik yang berkumandang hasil bantingan instrument Napie (gitar), Ezal (bass) dan Ainul (dram) memberi 1001 macam rasa yang bercampur-baur. Pastinya menggamit reminisensi apabila tanpa henti, gema lagu "Keindahan Pantai" menerjah gegendang telinga. Aura keceriaan dan rasa bahagia merangkul seluruh ruangan Zepp KL dalam keasyikan improvisasi ritma lagu demi lagu, tak terungkap. Kemudian beramai-ramai khalayak berpartisipasi menyanyikan hits popular "Resam Pak Belalang" penuh energi, sambil menggoyangkan kepala dan badan mengikut irama, dilanjutkan lagi dengan "Memburu Impian."

Beralih ke segmen lagu galau, Kristal X telah menyenarai-pendekkan lagu-lagu nostalgia dalam bentuk medley akustik. Sedikit tidak puas hati tetapi terpaksa akur dengan kekangan masa, terdengar sorai teriak khalayak turut sama-sama berdendang lagu-lagu yang menjentik emosi dan mengubat kerinduan peminat pada zaman kegemilangan Kristal X sejak awal penubuhan mereka. Meski perpecahan line up itu sudah terbiasa, namun tidak dapat lari dari mengundang kisah lama apabila "Intan", "Nurani", "Luahan Hati", "Cinta Tiga Segi", "Suatu Kenangan" dan "Persoalan" memecah gema sekaligus menghipnotis limpahan crowd yang hadir.

Lagu-lagu akustik cukup membuat suasana syahdu, namun Lan dan Kristal X tidak membiarkan peminatnya berlama-lama sendu, lantas mengajak kembali bernyanyi bersama dalam kerancakan irama yang ditunggu-tunggu iaitu "Seragam Hitam". Nuansa meriah terasa membara, persembahan yang penuh stamina dan semangat jiwa merdeka kental meresapi segenap ruangan Zepp KL. Momen yang sukses mencipta getar saat sorak tepuk gemuruh dihadiahkan buat Kristal X tidak hanya habis di situ. Tidak lokek, Kristal X belanja sebuah lagi lagu encore yang bagi mereka adalah satu bentuk apresiasi Kristal X kepada para fans mereka. Berkumandanglah "Delaila" disahut gemuruh laungan dan sorakan penonton yang tenggelam dalam lautan emosi dan kenangan manis.

Tak lama selepas Kristal X menghilang, vokalis dengan suara uniknya, Asheed  muncul dalam kelam cahaya pentas yang sengaja dimalapkan. Membawa bersama pesona karismatik yang tidak pernah pudar. Perlahan lampu neon menyala, membuka rentak persembahan DefGabC yang memilih "Melayu Tak Hilang Hilang" sebagai introduksi. Riff gitar menggigit dari Jemboo membuat hati kembang dan tak sabar untuk terhanyut bersama dalam gelombang ritma Rock progresif signatur DefGabC sejak dari 1997 masih kekal dalam momentum. Bersambut pula dengan hits "Terbang" lagu asal band The Fly dari Indonesia yang pernah meledakkan populariti DefGabC suatu ketika dahulu.

Dengan paparan cahaya yang indah dari pentas, para fanatiknya DefGabC terlihat sing-along penuh ghairah. Tidak sekadar menghibur, Asheed menyelitkan interaksi didalam setiap senikata. Sambil diiringi ketukan dram penuh gempita dari Ah Tonk dan deruan bass padu oleh Epyn, lagu "Tak Sanggup Lagi" dan "Hasrat Dan Cita-Cita" mencelah masuk dalam katalog. Paling istimewa malam itu DefGabC membawakan lagu rock balada favorite saya "Ampunkan Aku" dengan iringan piano klasikal yang mencipta nuansa sentimental jiwa menyentuh hati. Setiap baris lirik lagu merungkai satu rasa 'lain macam' yang entah bagaimana mahu digambarkan. Kagum pada suara 'telan kaset' Asheed, lantunan nada membuai memori indah zaman kegemilangan.

Seperti tahu betul bagaimana memaknai erti sebuah kemerdekaan yang berkobar-kobar, DefGabC mengajak penonton melaungkan rasa cinta negara lewat lagu "Saya Anak Malaysia". Asheed melontar beberapa bendera Malaysia ke arah penonton, dan serentak mengibarkan seiringan, formasi yang memberi remang goosebumps pada rasa bersyukur setelah 67 tahun bebas dari cengkaman penjajah. Puncak interaksi yang terpamer memperkaya rasa berapi-api dalam gelora melodi "Maniq Kayangan". Bak kata Asheed, sekian lama tidak menyanyikan lagu tersebut, pastinya rasa gelisah rindu kuat bertamu bersama impresi riwayat membekas di kalbu. Tangan-tangan diudara melambai kiri kanan mengiringi notasi lagu yang dirindu.

Patriot 'merah hitam' dihidangkan pada minit seterusnya seleksi lagu-lagu hits yang meletak nama DefGabC di jalur populariti, dalam bentuk medley yang digelar 'Retrospektif'. Sebut saja "Marilah Maria", "Cinta Sakti" dan "Ibukota Cinta" tipulah kalau tidak tahu. Improvisasi susunan lagu yang baru memberi nafas segar dalam genre bentuk beragam, bukan saja rock malahan ska dan reggae. Satu pujian buat DefGabC untuk formasi reunion yang sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat setia mereka sekian lama. Kenangan manis yang pernah hadir bagaikan dejavu menyenangkan saat sama bernyanyi lagu hits yang pernah menggegar carta itu.

Momentum rocking diteruskan lagi dengan rentak hangguk kepala penuh sensasi ketika lagu "Arigato" menerjah telinga. Performa setiap baris line up DefGabC menjadi daya tarik kuat sehingga tidak ada seorang pun yang berganjak. Hampir 2 jam lebih berdiri, tipulah kalau tak sakit kaki. Namun dek kerana terlalu asyik menikmati muzik hard rock bawaan DefGabC semua itu tolak tepi. Janji puas hati dan berbaloi bayar tiket untuk sebuah sentuhan paripurna sehingga khatam lagu. Nuansa bening mendadak timbul dalam penyampaian lagu "Pelangi Petang" dibawakan penuh afeksi, menyaksikan acara 'karaoke' beramai-ramai.

Salah satu pembuktian peminat setia menemukan enigma di sebalik lagu-lagu hits DefGabC terserlah pada malam konsert Merah Hitam. Navigasi terakhir diserahkan bulat-bulat pada lagu "Merah" sesuai judul konsert yang memang sengaja dipilih encore penghormatan mengakhiri kemeriahan malam, yang kalau boleh, tidak diizinkan berakhir. Penonton justeru semakin bersemangat, apatah lagi saat Asheed berkongsi perspektif kemerdekaan dalam dekorasi jiwa merdeka menerusi patah-patah lirik lantunannya. Sementara Jemboo, Epyn dan Ah Tonk dengan eksperimental instrument masing-masing, sangat baik menterjemahkan bunyi-bunyian yang melapisi setiap lagu pada malam itu.

Lagu penutup "Merah" merefleksikan metafora kehidupan kita semua tak ubah seperti cerita di layar skrin tontonan ramai. Total 1,700 'mat rock' merayakan Hari Merdeka penuh antusias sehingga tercipta suasana magis. Tambahan efek reverb dan delay membuat lagu terdengar menggema. Suasana kian terasa memuncak hingga rangkap terakhir lagu menyebut "membara ku rasa di jiwa". Malam 31 Ogos bukan sahaja istimewa bagi Kristal X dan DefGabC, tetapi juga buat para penonton yang hadir. Lewat karya-karya malar segar yang akan terus menjadi siulan generasi demi generasi sampai bila-bila, Terima kasih Shoreline Space untuk kenangan indah di malam Merdeka.