oleh: zizi hashim
foto kredit: mms / malaysia music scene
Ultimate Media telah berhasil menyelenggarakan sebuah pertunjukan mahakarya sebuah band rock tempatan yang layak dikategorikan ‘otai’ atau ‘lagenda’ bagi meraikan 33 tahun lamanya mereka di dalam industri muzik tanahair. Jangkamasa selama itu sudah tentu menghimpun pengalaman dan perjalanan suka duka bergelar anak seni. Bertempat di Zepp Kuala Lumpur dipenuhi lebih 1,000 peminat setia, malam 27 Oktober menyaksikan sebuah persembahan ‘comeback’ yang seumpama mimpi dalam mimpi. Sememangnya terasa hilang rindu dan pulih semangat kasih mesra antara peminat dan Damasutra pada malam itu, sinonim dengan lirik hits paling popular mereka itu.
Malam yang dingin dihangatkan dengan penampilan opening band, D’Ultimate 6 tepat jam 8:30 malam. Sebuah band projek yang begitu kuat dengan nama-nama besar seperti Belle Fatah (kibod), Eddie CRK (bass), Paie Sembah Bumi (dram) dan Uchop Ahmad (vokal) telah memecah malam dengan lagu cover “Seruan”. Turut dilihat beraksi di samping mereka ialah Alif Putra yang dijemput khas dari Singapura mengisi slot di posisi gitar berganding bahu bersama Omar Akira. Meskipun hanya sebuah band projek yang masih baru ditubuhkan tidak sampai sebulan, namun kekuatan mereka terletak pada pengalaman luas dari setiap barisan jentera pemuziknya.
Bergegar pentas di buatnya apabila lagu “Tamingsari”, “Pelesit Kota” dan “Jerangkung Dalam Almari” dipersembahkan. Uchop selaku frontman acapkali mengucapkan terima kasih kepada band Wings yang turut turun padang memberikan sokongan padu buat D’Ultimate 6 dan Damasutra sebelum berkumandangnya lagu “Taman Rashidah Utama”. Sebaik sahaja nada lagu “Gugurnya Bunga Cinta” dipetik oleh Omar Akira, hadirin bersorak gamat disahut nada “For The Love of God” petikan Steve Vai Singapura, si Alif Putra berselang-seli melodinya. Kreatif dan cukup menghiburkan.
Tamat 6 lagu, lampu di malapkan seketika. Giliran Damasutra menjajahi pentas. Masing-masing muncul memakai topeng muka sebagai gimik. Malam bermula dengan lagu “Sembunyi” sebagai mukadimah. Diikuti rapat dengan sebuah lagi lagu rancak “Selamba”. Baggio selaku teraju utama memperkenalkan line-up asal Damasutra iaitu Amran (bass) dan Assu (dram) sambil dibantu gitaris terbaru mereka, Rizal yang menggantikan Allahyarham Alok. Untuk makluman, Allahyarham Alok meninggal dunia pada 30 Oktober 2019 pada usia 55 tahun kerana batuk berdarah.
Memperlengkapkan lagi barisan muzik mereka ialah Nicole (kibod) dan John Boy (gitar). Mengimbas kenangan menerusi lagu-lagu wajib seperti “Antara Sutra dan Bulan”, “Sufi”, “Asyik” “Seribu Bayangan” dan “Sesat Dalam Rindu”, peminat yang hadir bernyanyi seiringan membuai malam dengan sejuta memori indah buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka. Cukup terhibur dan sing-along. Antara artis yang turut kelihatan memberi sokongan pada malam itu selain Wings ialah Joey BPR dan Jojet Gersang.
Namun apabila Damasutra membawakan fast number mereka ramai yang terdiam, ini kerana mereka lebih mengenali Damasutra dengan lagu slow ballad popular mereka. Bagaimanapun lagu-lagu seperti “Sembrono”, “Igauan Kota”, “Mental of Retaro Kroniko”, “Kamasutra” dan “Aku dan Zen” tetap dipersembahan dengan begitu bertenaga. Slot konsert turut diselitkan dengan dram solo dari Assu dan gitar solo berselang-seli dari Rizal, John Boy dan Nicole. Seharusnya, saya secara peribadi merasakan peminat yang memenuhi ruangan ‘seating’ di tingkat atas Zepp, di bawa turun ke bawah bagi memenuhi barisan hadapan pentas. Ataupun lebih baik dibuat ‘seating’ bagi ruangan bawah juga kerana faktor usia yang tidak mengizinkan untuk peminat seusia Damasutra untuk rocking seperti dulu.
Menariknya pada malam itu, ketika lagu ballad “Impianku” di bawakan, Baggio memberitahu “Terima kasih semua yang datang, anda telah menyumbang derma kepada Palestin di atas sebahagian penjualan tiket konsert kami ini. Alhamdulillah, ada rezeki kami malam ini.” Ujar Baggio dalam nada terharu. Bendera Palestin dilihat berkibar pada skrin layar lebar, sesuai dengan senikata lagu yang puitis “Kita semua sama sahaja di sisi Tuhan yang Maha Esa, dan darah kita semuanya merah biarpun kulit berlainan warna. Marilah bersama menuju ke jalan Nya” dendang Baggio penuh emosi sebelum menyambung “Airmata dapat dilihat, tangisan hati hanya Tuhan yang tahu. Bersama kita saling menyayang, Semoga hidup berbahagia.” Tatacahaya yang berwarna hijau, merah dan putih menghiasi pentas melambangkan warna bendera Palestin. Untuk makluman, 10% dari hasil penjualan tiket konsert akan disumbangkan ke Tabung Kecemasan Palestin di bawah kelolaan Malaysian Relief Agency (MRA).
Sebanyak 15 buah lagu dihidangkan oleh Damasutra malam itu. Tidak lengkap sekiranya lagu wajib tidak berkumandang. Semua hadirin tidak berganjak. Akhirnya “Umpama Mimpi Dalam Mimpi” menghangatkan suasana malam. Lagu malar segar ini memang sentiasa dihati. Sememangnya menggamit nostalgia, hadirin bersorak dan tepukan gemuruh bergema. Bagaikan mimpi berakhirlah konsert perjalanan 33 tahun Damasutra malam itu. Tahniah Damasutra, semoga terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak lagu-lagu baru yang relevan dengan generasi kini. Tahniah Ultimate Media atas usaha dan inisiatif positif yang harus dipuji.