oleh: zizi hashim
Matlamat untuk memperkasakan wanita pada Konsert Farmasi Soundzation 2024 berjaya dicapai apabila ribuan peminat datang berduyun menyaksikan penyanyi Malaysia dan Indonesia berkongsi pentas pada 30 November 2024 baru-baru ini. Transformasi Megastar Arena Kuala Lumpur menjadi pentas artistik di mana muzik dan inspirasi bertemu, apabila Konsert FARMASI Soundzation mengukir kenangan mendalam di kotak ingatan. Dengan kehadiran 3 intan permata, Bunga Citra Lestari (BCL), Ghea Indrawari, dan Elly Mazlein menjadikan konsert sebagai platform untuk menyuarakan keperkasaan dan keindahan wanita, selaras visi jenama kosmetik antarabangsa FARMASI.
Anthem lagu "Negaraku" berkumandang gah dalam alunan petikan gitar Man Kidal pada mukadimah menandakan konsert sudah bermula. Khalayak yang hadir auto bangun dan berdiri tegak tanda hormat pada melodi kebangsaan yang dicintai. Kemunculan si genit Ghea Indrawari di atas pentas mengundang gemuruh pekik sorai penuh teruja lantas berkumandang nada "Oh! Tuhan", "Malaikat" dan "Bucketlist" menghangatkan malam yang dingin. Ghea terlihat bijak membangun interaksi dengan penonton, tak segan silu menyapa, bercanda, bahkan mengajak penonton bernyanyi bersama seiringan. Meski rangkaian lagu-lagu Ghea banyak yang galau, Ghea berdamai dengan suasana hati apabila mendendangkan satu-satunya lagu paling upbeat "Manusia Paling Bahagia" sambil khalayak terbuai jauh oleh suara serak-serak basah Ghea, di bawa perasaan.
Bercerita tentang refleksi diri seorang Ghea Indrawari dalam memahami dirinya sendiri, penemuan makna tentang kehidupan yang penuh dengan pasang dan surut, pahit dan manis, bahagia dan sedih ini berjaya Ghea tuangkan dalam 11 lagu yang disampaikan malam itu. Antaranya gimik lagu cover dari Zee Avi, "Kantoi", "Masa Mudaku Habis" dan "Terima Kasih Sudah Bertahan". Ghea merasa terharu melihat ramai dikalangan penonton yang tersentuh hati melalui muzik yang dibawanya ternyata dia juga berusaha menahan tangis apabila melihat khalayak hanyut dalam suasana, justeru dia berhasrat untuk memberi kekuatan lewat senikata lagu yang sememangnya bernuansa sedih.
Si cantik manis Ghea mempunyai pakej lengkap, sangat talented dan interaktif. Gelombang peminat berasa puas dan terhibur dengan penampilannya dalam balutan busana ala princess khayalan. Vokal mengalir lembut sering membuat banyak jiwa sebak dan bergenang airmata, malah memang ada yang banjir terlalu mendalami keindahan melodi lewat lagu "Rasa Cinta Ini", "Teramini" dan terutamanya ketika "Setengah Mati" berkumandang, syahdunya rasa menyelubungi segenap malam seolah tidak mahu berakhir. Dan pada akhirnya slot persembahan Ghea ditutup dengan lagu popular dan viral di Malaysia, “Jiwa Yang Bersedih” yang berperanan sebagai reminder tentang betapa pentingnya mencintai dan mengasihi diri kita sendiri, terutama saat segala upaya tampak belum membuahkan hasil sesuai yang diharapkan.
Kemuncak malam yang ternanti-nanti Bunga Citra Lestari (BCL) menakluk pentas, akhirnya terlunas saat lagu rancak "Dance Tonight" dan "Pernah Muda" bergema di seluruh Megastar Arena KL. Seharum namanya, BCL menebarkan wanginya lewat seleksi medley "Patah Hati" dan "Kecewa Aja" sebelum lanjut lagi dengan membangkitkan gelora emosi. Setiap nada yang dilafazkannya membawa kisah mendalam, menyentuh setiap jiwa yang hadir sebaik sahaja lagu "Wanita Terbahagia" dan "Cinta Sejati" menerjah halwa telinga khalayak. Sorak-sorai dan beragam emosi dari ribuan pasang mata penonton menambah kemeriahan konsert yang berlangsung selama 2 jam itu.
Ketara terlihat persembahan BCL lebih bersemangat kali ini, menjadi motivasi sekaligus semangat buat dirinya untuk terus berkarya. Bersinar gemerlapan bak bunga kembang mekar, nada lagu "Watak Utama" dan "Aku Wanita" menceritakan jatuh bangun, suka duka, pahit manis hidupnya seperti yang diketahui umum. Kehilangan suami tercinta sekelip mata, meski telah move on dan bernikah lain, tidak ada jiwa yang menafikan andai campur baur emosi yang dipertontonkan BCL masih dapat dirasai setiapkali suaranya mengalun lagu-lagu relatif yang turut dikongsi bersama peminat setianya. Representasi pahit manis proses hidup BCL terluah pada lontaran seleksi lagu-lagu terakhir yang sengaja disusun sebegitu menerusi lagu "Aku Dan Dirimu", "Karna Ku Cinta Kau" dan "Badai Telah Berlalu".
Selesai total 13 buah lagu semuanya dari BCL, paling terkesan pada lantunan "Menghapus Jejakmu" yang mencipta atmosfera sebak dan tak kurang juga yang turut menangis bersama justeru pemahaman gejolak emosi BCL dalam meneruskan kehidupan baru bersama anak dan suami, namun dalam masa yang sama masih berpegang setia pada kenangan lalu. Arkitekstur muzik yang sempurna di bawah arahan Man Kidal selaku Pengarah Muzik, mewujudkan nuansa malam yang luar biasa hebatnya. Setiap melodi diatur dengan teliti dari balada sentimental hingga ke tempo upbeat yang mengajak penonton bangun untuk berdansa bersama. Pentas visual yang direka Jerry Hend selaku Pengarah Kreatif menambah dimensi magis pada setiap persembahan.
Kolaborasi spontan BCL dan Elly Mazlein melalui lagu "Selamat Tinggal" mencetuskan gegak gempita, menandakan kemuncak malam yang tidak dapat dilupakan. Hadirnya sosok Elly Mazlein pada malam itu memberi markah tambah dengan telatah signatur yang gila-gila, memberi gamat di seluruh Megastar Arena KL dengan gelak ketawa santai dan bersahaja, menghadiahkan satu malam penuh ceria dan senyuman sampai ke telinga. Jenama kosmetik Farmasi bukan sekadar menaja, tetapi turut menyuntik nilai keperkasaan, menegaskan konsert ini sebagai jambatan budaya, menghubungkan komuniti melalui seni dan kecantikan.
Konsert ditutup dengan persembahan gabungan 3 artis Malaysia-Indonesia lewat lagu "We Are the World", satu gestur kukuh terhadap perpaduan dan keharmonian. Konsert Farmasi Soundzation 2024 bukan sekadar satu malam penuh muzikal, ia juga adalah deklarasi kuat tentang keperkasaan wanita, keindahan pelbagai budaya, dan inspirasi berkekalan merentas negara. Syabas pihak penaja kerana sukses mencapai matlamat dan menghidangkan konsert menghiburkan yang akan terpatri pada ruang ingatan setiap yang hadir sampai bila-bila.