Mahardika: Meriah di Pulau Pinang Bersama Spider x Ella x Masdo

oleh: zizi hashim

Perayaan ambang merdeka belum cukup lengkap andai tidak diraikan dalam bentuk hiburan. Hiburan yang dihadirkan pun bukanlah sekadar 'buat syarat' atau 'janji ada', namun justeru menunjukkan kecenderungan semangat patriotik cinta negara di kalangan anak-anak seni yang telah merasakan berbagai rintangan, onak duri dan suka duka bergelumang dalam industri. Mengangkat semangat perjuangan kemerdekaan itu, The Dons Group telah mempertemukan kombinasi 3 musisi ternama tanahair melalui konsert yang pertama kali diselenggarakan di Penang. 

Mahardika membawa maksud ‘Malam Hari Merdeka’, digabungkan menjadi akronim Mahardika yang menjadi medan perkongsian panggung oleh kumpulan legenda Spider, ratu rock negara Ella dan kugiran dambaan generasi masakini Masdo. Pemilihan di sebalik perkataan Mahardika itu telah dibuat oleh Syed Mohamad atau mesra dengan panggilan Don dari The Dons Group yang menyifatkan Spider, Ella serta Masdo sangat bertepatan untuk menjayakan Mahardika pada 30 Ogos 2024 lalu di Spice Arena Penang kerana kredibiliti, portfolio dan perjuangan mereka dalam era serta fasa muzik masing-masing.

Dengan meriahnya, konsert Mahardika telah dibanjiri oleh seramai 5,000 penonton yang datang ke Spice Arena Penang bukan sahaja untuk menyokong perjalanan anak-anak seni tempatan tetapi juga mewarnakan malam ambang Merdeka bersama-sama. Mahardika: Spider X Ella X Masdo dipercayai telah menjadi konsert terhebat yang pernah dianjurkan The Dons Group pada tahun 2024 serta bakal melakar sejarah tersendiri dengan bantuan kehadiran peminat setia dan para apresiasi seni.

Tirai pembuka konsert dipertanggungjawabkan kepada kugiran yang paling ramai mendapat teriakan peminat menggemakan seluruh ruangan Spice Arena Penang dengan penampilan segak penuh stylish blazer hitam putih. Siapa tidak kenal kelibat Mawi, Ali dan Putu Ceri saat mereka tampil di atas panggung tepat jam 8:45 malam. Dinginnya malam terasa hangat apabila Masdo tidak lokek belanja 10 buah lagu hits mereka yang sentiasa dinanti-nantikan para fanatiknya untuk sing-along. Kemeriahan pemuzik undangan seperti Chakam dan Eja memberikan lapisan keceriaan berganda yang membuat Spice Arena panas dengan aksi-aksi dan nyanyian bersahaja mereka.

Hal yang terutama saat lantunan lagu-lagu hits Masdo seperti "La Obe", "Janji Manis", "Teruna & Dara", "Bunga", "Berduka-lara" dan "Kecundang" menghangatkan hati seluruh yang hadir. Masdo bukan sahaja mengajak khalayak terbuai dengan sederet lagu balada, tetapi juga dengan nada dan tempo beat yang lebih bersemangat menerusi lagu-lagu "Inilah JalanNya", "Dinda" dan "Bercanda Di Malam Indah". Sesuai judul lagu terakhir itu, kesemua 5,000 yang bernyanyi bersama turut beramai-ramai bercanda di malam yang indah dan mencipta banyak momen kenangan manis. Jerit sorak bagaikan tidak pandai reda meski Masdo telah menghilang dari pentas.

Mengambil alih momentum malam yang semakin ghairah, si ratu rock negara muncul jelita dengan senyuman paling manis dilemparkan buat semua dalam balutan gaun hitam putih berlabuci, cukup anggun laksana sang ratu. Ella membuatkan semua peminat menyanyi bersama pada bait-bait lagu yang sudah cukup hafal setiap senikatanya. "Permata Biru", "Dua Insan Bercinta" dan "Gemilang" terpilih menjadi seleksi lagu cinta Ella pada malam itu. 

Tidak hanya habis di situ, Ella kemudian dengan berani masuk ke tengah-tengah kawasan konsert dan melantunkan lagu "Standing In The Eyes" di pentas tengah dengan iringan semua penonton yang hadir. Semarak kemerdekaan dirasakan malam itu dengan dendangan anthem wajib malam Merdeka tersebut. Para fanatiknya Ella ikut meluapkan emosi patriotik melalui lagu itu dengan bernyanyi seiringan, jelas terdengar suara audiens lebih kencang ketika Ella menghalakan mikrofon ke arah penonton. Salah satu yang amat diapreasiasi ialah ketika Ella terlihat berupaya membawa hits tanpa membuang waktu lewat gimik yang banyak, menyapa fans dan mengungkapkan perasaan terharu berdiri di dalam gelombang crowd yang ramai.

Cukup energetik, tepat jam 10:15 malam, SPIDER muncul sebagai penutup acara MAHARDIKA dengan membawakan sekitar 11 buah lagu. Antaranya lagu-lagu seperti "Bila Nak Saksi", "Lauk Cukup Masin", "Mungkinkah Terjadi", "Relaku Pujuk" dan "Aladin" adalah antara playlist wajib yang boleh cari gaduh jika tidak dipersembahkan. Band yang beranggotakn 4 orang musisi ini disambut dengan kegembiraan luarbiasa dari penggemar muzik rock alternatif mereka sejak berdekad lalu. Tam diposisi frontman dan juga merangkap gitaris terus membelai jiwa peminat menerusi lagu kegilaan ramai "Cinta Dewa Dewi", "Kasih Latifah", "Mabok", "Kacap Terlabik" dan banyak lagi. 

Aie di posisi dram bergandingan padu bersama Pown (gitar) dan Is (bass) mempamerkan konsistensi permainan instrument yang begitu komited dalam menunjukkan rasa sayang yang mendalam terhadap negara tercinta. Sekitar pertengahan konsert berdurasi hampir 3 jam ini, peminat memberi cerminan evaluasi memuaskan yang tak tergambar dengan kata-kata. Tata krama panggung SPIDER harus dipuji, betapa fokusnya mereka dalam memberi konsentrasi taraf penghibur yang luarbiasa.

Disambut sorak sorai dan teriakan penonton, penampilan Spider yang memukau menjadi penutup paling antusiastik untuk malam Merdeka yang dibawakan oleh pihak The Dons Group pada 30 Ogos lalu. Bahkan menjadi kombinasi yang sempurna dari talenta dan pengalaman setiap yang terlibat menjayakan Mahardika. Konsep dan pelaksanaan yang baik dan lancar pada saat hari konsert, sukses menciptakan penampilan epik bagi Spider, Ella dan Masdo. Terubatlah rindu peminat setia menyaksikan ketiga-tiga musisi tersohor tanahair bersatu di atas panggung.

Acara kemuncak pada konsert malam itu sudah tentu detik countdown yang diantisipasikan, sebelum ruang Spice Arena Penang bergema dengan laungan "Merdeka!" disusuli lagu "Tanggal 31" nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad, disertai beramai-ramai oleh para artis dan semua hadirin sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan semangat yang berkobar-kobar. Satu kenangan manis menyambut Hari Merdeka di Pulau Pinang yang akan dikenang sampai bila-bila.