Loudness Hadiahkan Malam Gila Rock N' Roll di Konsert 'Sayonara'

oleh: zizi hashim

Untuk kali ke-4, Loudness terbang dari jauh, datang lagi ke Kuala Lumpur dengan 'dentuman guruh dari Timur' yang 'lantang, bising dan huru-hara'. Berbekalkan kredibiliti dan portfolio hebat sejak 1981, saya melihat Loudness sebagai band yang gigih, rajin dan bijak berkarya. Meski pada usia yang mencecah 'senja', setiap konsert Loudness di merata dunia masih tetap saja sold out! Mereka juga tidak putus-putus cerdas menghasilkan karya ekstensif yang segar dan penuh impresif. Maka sebab itulah, walau sudah untuk kali ke-4, tetap membangkit rasa teruja yang sama seperti pertama kali Loudness menjejak kaki ke bumi Malaysia, 13 tahun lalu.

Sejujurnya, Loudness adalah raja heavy metal dari Jepun yang tidak pernah gagal mempersembahkan performa penuh bertenaga dalam kuasa immortaliti paling maksima. Tutur kata berbahasa Inggeris yang minima juga tidak membataskan interaksi 2 hala, tidak perlu referensi kamus bahasa Jepun dalam menikmati muzik 'logam berat' galvani yang sangat tahan karat setelah berdekad lamanya. Datang kali ini, integriti Loudness tanpa kompromi dengan entiti seorang Akira Takasaki dalam mood 'mencincang' gitarnya tanpa belas kasihan. Berdiri padu seiringan adalah kontribusi Minoru Niihara memegang mikrofon, Masayoshi Yamashita menggentel bass dan Masayuki Suzuki mengetuk dram, dihadapan 2,000 headbangers memenuhi ruangan Zepp KL, buat kesekian kalinya.

Khalayak mulai berkerumun di hadapan pentas tepat jam 8:30 malam seraya menyalakan telefon bimbit masing-masing, tidak mahu ketinggalan untuk merakamkan detik-detik bersejarah menyaksikan gergasi Rock Jepun gah dihadapan mata. Tirai kegilaan malam Rock N' Roll di buka padu dengan lagu terpaling kegemaran saya iaitu "Crazy Nights". Jerit sorak terhambur serentak bersama hanggukan kepala berhayun kencang menandakan kesemua yang hadir ikut terasuk oleh kelajuan ritma mantap, yang terus membawa ke setlist lagu seterusnya. "Like Hell" dan "Heavy Chains" kian membangkit ghairah malam. Seleksi lagu-lagu hits yang diletakkan pada mukadimah konsert adalah sesuatu yang tidak dijangka dan jarang berlaku. 

Tenggelam dalam keasyikan riff-riff laju, bingit dan ikonik dari petikan gitar legendaris Akira Takasaki, hentakan pukulan dram keras dan berat memperlihatkan konsistensi Masayuki Suzuki berpadu dengan deruan bass kompleks Masayoshi Yamashita dan vokal penuh energi Minoru Niihara yang sedikit pun tidak terjejas meski dipanjat usia. Dengan kacamata hitamnya, terlihat cukup sempoi saat dia menyanyikan lagu demi lagu dengan penuh antusias. "Crazy Doctor" dan "Dream Fantasy" mengajak para khalayak berdansa dalam evolusi elemen Rock kental dengan cemerlang sebelum 'mencair' dengan alunan balada indah menyentuh hati pada nada "So Lonely". Gemuruh seluruh Zepp KL dengan nyanyian synchronize berjemaah, goosebumps terok!

Aroma Heavy Metal kental makin terasa apabila kehangatan malam diteruskan dengan "In This World Beyond", "Pharaoh", "Metal Mad" dan "Yamato Damashii". Penampilan lagu “Soul on Fire” meski tidak sepopular lagu dari album-album Loudness di era 80an, tetap menghanyutkan khalayak mengikuti irama lagu. “I’m Alive” pula menggegar dalam kepantasan speed dan thrashy. Lagu demi lagu terus membakar seluruh ruangan Zepp KL dengan headbanging tanpa henti yang mencabar antusias sebilangan besar fans tegar Loudness yang juga turut mengalami kejang kaki, lenguh tengkuk dan sakit pinggang akibat faktor usia. Apapun semua itu persetankan, yang penting enjoy rocking sampai lebam.

Riff gitar rancak "Let It Go" dan "In The Mirror" membantai garang diikuti nyanyian bersama penonton meski rata-ratanya tidak sebegitu familliar dengan seleksi lagu-lagu pada set ini. Lampu sengaja dimalapkan dan tiba-tiba Minoru Niihara mengucapkan "Terima Kasih Kuala Lumpur" mengundang reaksi kaget dan tidak percaya. Aik, takkan dah habis kot? Ada banyak lagu lagi ditunggu. Loudness kononnya menghilang di sebalik cahaya gelap namun tidak seorang pun dari khalayak berganjak. Sangat yakin bahawa dua lagu tadi bukannya lagu terakhir, ramai-ramai sepakat melaung "We Want More" tanda belum puas diikuti sorakan riuh berteriak mahukan ‘SDI’ berulang kali.

Keyakinan fanatika Loudness akhirnya terbukti apabila satu persatu line-up Loudness kembali menjelma di atas pentas. Mereka dengan garang menghentam lagu "Shadows of War" yang mencipta kucar-kacir di kalangan kerumunan ramai. Meskipun tahu lagu permintaan masih belum dipenuhi, crowd tetap antusias dan begitu menikmati. Medley "Soldier of Fortune" dan "You Shook Me" tidak kurang hebat mencipta kegilaan malam Rock N Roll yang dihadiahkan Loudness istimewa buat pecinta muzik Rock di Malaysia. Sampai akhirnya Minoru berteriak dan meminta penonton untuk bersiap sedia dengan lagu yang akan mereka bawakan berikutnya. 

Suasana huru hara benar-benar 'kasi pecah' apabila lagu “SDI” akhirnya bergema. Penonton semakin all-out bernyanyi dan berteriak "SDI!". Lagu “SDI” pun menjadi encore terakhir dari penampilan Loudness malam itu. Loudness mengucapkan 'Sayonara', berterima kasih kepada fans, bersalaman, lempar pick, dan sebagainya. Penonton semakin merapat ke hadapan pentas dan mungkin hampir semuanya berusaha mendapatkan foto Loudness di telefon bimbit mereka pada detik-detik perpisahan. Secara keseluruhan, penampilan Loudness malam itu sukses menghingar-bingarkan dan menghadirkan nuansa Heavy Metal kental yang tentunya memuaskan hati para metalhead dan rockers sejati yang hadir 'punch card' di Zepp KL malam itu.

Lambaian 'Sayonara' dari Loudness sempat memberi sedikit rasa sayu dan mencuit harapan semoga ini bukanlah konsert terakhir Loudness. Meski akur pada keupayaan stamina yang kian menurun, tidak ada sedikit pun cacat-cela terlihat pada konsert malam 14 September 2024 yang tentunya akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah epik Rock N' Roll yang diharapkan dengan setinggi-tingginya bakal 'disambar petir' dan taufan kegilaan yang membawa Loudness kembali lagi ke benua Malaysia, selagi matahari tetap menyinsing dan bersinar indah di ufuk timur. Terima kasih Loudness untuk satu konsert bertaraf antarabangsa penuh profesional yang memberi kredit secara tidak langsung kepada Rockstage Entertainment dan Lampuneon pada keberjayaan konsert yang bukan 'Selamat Tinggal' tetapi lebih kepada 'Sampai Jumpa Lagi.'

foto kredit: kelkatu tv / suara tv