Konsert Jiwa Malaysia 2024 Jadi Platform Ekspresi Cinta Negara

oleh: zizi hashim

Setiapkali tibanya bulan Ogos bersama tanggal 31 haribulan, rasanya bagai ada yang 'tak kena' sekiranya tiada sebarang pengisian yang melestarikan semangat patriotisme terhadap negara Malaysia tercinta yang telah 67 tahun mencapai kemerdekaan. Dan setelah September mendatang, dapat dirasakan nuansa cinta yang lebih besar dalam semarak perayaan Hari Malaysia pada setiap tanggal 16 September pula. Selaras dengan itu, Perbadanan Stadium Malaysia dengan kerjasama MND Sport & Event selaku penganjur bersama telah menyelenggarakan Konsert Jiwa Malaysia 2024 secara serentak bersamaan perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 67 dan juga Hari Malaysia.

Telah berlangsung dengan sebegitu gilang-gemilang pada 7 September 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Konsert Jiwa Malaysia digambarkan bukan sekadar hiburan kosong melainkan penuh dengan nilai-nilai yang mampu memberi kobar semangat kemerdekaan khususnya di kalangan generasi muda. Dengan rasa besar hati, pihak penganjur konsert menaruh kepercayaan dan tanggungjawab sepenuhnya kepada 6 band terbaik tanahair bersama seorang solois 
yang mewakili jiwa Malaysia.

6 band dan seorang solois itu adalah kugiran legendaris - Spider, band kegemaran ramai - Hujan, Ruffedge yang penuh warna, 3 gadis sensasi bernaung di bawah nama Dolla, band energetik Bunkface dan Insomniacks serta si kecil molek dari Sandakan Sabah, Bella Astillah. Dengan matlamat untuk menyatupadukan seluruh generasi dari pelbagai lapisan usia dan masyarakat, Konsert Jiwa Malaysia 2024 juga dilihat menjadi sebuah platform bagi anak-anak muda untuk mengekspresikan rasa cinta mereka terhadap tanahair Malaysia melalui pelbagai persembahan muzik yang dilimpahi dengan semangat patriotik. 

Seramai 15,000 pengunjung perlahan-lahan mulai membanjiri stadium pada seawal jam 2 petang meskipun konsert hanya bermula pada pukul 6 petang dengan kemunculan mukadimah Bella Astillah menerusi 2 lagu iaitu "Kurik Kundi" dan "Terlalu Cinta". Bella bijak mencuri perhatian khalayak dengan paduan showmanship elegan dan vokal yang mersik. Ditambah lagi dengan kemunculan Dolla bergabung menyampaikan 3 lagu hits mereka, "Classic", "Impikan" dan "Boss Up" membuat hadirin terpukau dengan keahlian dan pesona Dolla yang sentiasa tampil seksi dan stylish.

Saat malam berlangsung, energi Imsomniacks dapat dirasakan menakluk pentas dengan setiap lagu yang dibawakan. "Igauan Malam" bergema menyentuh hati para peminat dengan impak lirik yang memberi nyala rasa di tengah kerumunan ramai. Hal yang sama berulang saat "Reminisensi" berkumandang. Fanatika mereka semakin ramai turut sing-along dan memperkuatkan lagi kegembiraan di seluruh ruangan stadium. Masuk lagi ke lagu-lagu seperti "Belum Mulai", "Teman" dan "Sempurna" kian memuncakkan ghairah malam sebelum "Pulang" menghadirkan jerit-pekik yang mencipta momen bahagia buat semua.

Seleksi anthem dance-pop "Tipah Tertipu" dan "Da Bomb" dari Ruffedge mengajak seluruh stadium berdansa riang. Khalayak semakin antusias menggemakan lirik bersama-sama pada dendangan merdu "Lemas", "Bila Rindu" dan "Khayalan" dilantunkan. Masih relevan seiring waktu berjalan, lagu-lagu malar segar Ruffedge masih tetap saja menjadi siulan ramai. Dari pengalaman yang dikumpul sekian lama, Ruffedge tampak selesa dan tidak canggung berinteraksi dengan para peminat mereka.

Keperkasaan Spider di atas pentas ketara terbukti pada gema sorak yang dilaungkan peminat lewat lagu-lagu popular mereka yang bernuansa Pop Rock. Dimulakan dengan "Cinta Dewa Dewi" diikuti rapat oleh "Kasih Latifah", Spider seperti selalu menghentak persembahan penuh bertenaga yang memacu adrenalin 'goyang kepala' di segenap stadium. Vokal 'telan kaset' Tam masih terdengar sangat prima dan membuat khalayak leka. Malam semakin meriah dengan alunan rancak "Salut", "Tapi Bagaimana" dan terakhir pastinya lagu wajib "Relaku Pujuk". Jenuh juga lah hendak di pujuk 15,000 penonton yang datang sebelum giliran Bunkface pula menggegar pentas.

Pastinya ada cerita disebalik lagu "Malam Ini Kita Punya" yang tidak pernah gagal menerbitkan rasa 'memiliki' pada kemeriahan malam dari setiap jiwa yang mendendangkannya. Bunkface ternyata begitu cerdik memilih variasi lagu-lagu bawaan mereka dengan mencipta vibes "Extravaganza" pada saat lagu dengan judul yang sama, terhidang lazat. Tidak ada 1 minit pun berlalu 'tandus' tanpa nyanyian beramai-ramai dalam persembahan "Rentak Laguku" yang pastinya cuba menenangkan khalayak supaya jangan "Panik" kerana "Darah Muda" sememangnya terjebak konfirmasi "Situasi" dalam terciptanya "Revolusi". Signifikan dari lagu "Malam Ini Kita Punya" itu tadi lah menyaksikan dominasi  cemerlang Bunkface di atas pentas dengan mengibarkan jalur gemilang.

Hujan mendeklarasikan kemuncak kemeriahan malam Konsert Jiwa Malaysia dengan penampilan 'garang', penuh intens dan spektakular pada introduksi lagu "Pemicu Gila", "Obsesi" dan "Kamar Sepi". Dalam energi luarbiasa yang mendorong kebebasan kreativiti Hujan, Noh mengajak khalayak ikut sychronize bernyanyi  lagu "Pagi Yang Gelap" bersamanya. Hampir sempurna gema sorak mencetuskan bait-bait senikata lagu satu persatu, goosebumps terok! Ditambah lagi dengan tata-cahaya artistik yang hebat, letusan bunga api dan efek visual yang sangat memukau menghadiahkan satu malam yang tak terlupakan. 

Bersambung lagi ke diskografi hits terdahulu, Hujan menghembuskan angin segar menerusi lagu-lagu "Dugaannya", "Mencari Konklusi", "Kembara" dan "Empayarmu". Sambutan hangat yang masih dalam momentum sama, menjadi kian huru-hara. Khalayak cenderung terpaku pada keberlanjutan kondisi energi ekstrim Hujan yang bagaikan tidak kenal lelah. Semangat dan antusiasme jiwa merdeka sememangnya tidak pernah pudar sepanjang konsert berjalan. Vokal Noh terdengar jelas ketika melantunkan refrain lagu "Aku Skandal" yang bernada sinis. Pada akhirnya, lagu "Rumah Kita" masih tetap membuat khalayak teriak-teriak sing-along sambil menyalakan telefon bimbit dengan tangan-tangan merentang di udara.

Konsert Jiwa Malaysia mencatat sejarah tersendiri yang turut melengkapi kaleidoskop pementasan sistematik dan terintegrasi mewadahi para pencinta seni dan muzik. Syabas buat penganjur konsert, semoga akan ada lagi konsert sukses yang seperti ini di masa mendatang.