'Kembara Bunyi' Judika Dan Siti Nurhaliza Bersaksikan 24,000 Hadirin

oleh: zizi hashim

Di kaki Menara Merdeka 118 yang menjulang tinggi, Stadium Merdeka menjadi pentas agung pertemuan 2 figura tersohor penghibur nusantara. Konsert 'The Journey of Sound' membawa Dato' Sri Siti Nurhaliza dan Judika dalam satu malam yang menggetarkan dimensi muzik dan menggugah kalbu 24,000 penonton yang hadir. Sejak petang lagi, lautan 'putih dan denim' telah memenuhi stadium bersejarah ini yang sudah sekian lama sepi. Sejak penutupan pada tahun 2016 untuk dibaikpulih, Stadium Merdeka kembali dibuka pada Ogos 2024. Di tempat yang sama di mana kemerdekaan bangsa pernah dilaungkan, 2 suara perkasa nusantara bertemu untuk merangka sejarah baharu dalam dunia seni.

Faizal Tahir membuka gerbang konsert dengan prolog "Mahakarya Cinta" dalam alunan suara serak serak basah yang penuh berkarisma membelah keheningan malam. Tanpa memberi ruang untuk penonton mengambil nafas, Faizal Tahir terus membawa khalayak dalam perjalanan spiritual melalui "Sampai Syurga". Lagu yang penuh makna dan melodi menusuk kalbu memberi matra ruang berbeza kepada mukadimah konsert. Vokalnya yang mantap dan merdu bergema ke setiap sudut stadium, menciptakan momen intim walaupun dalam skala ruang yang sebegitu besar. 

Setelah menyapa penonton, Faizal Tahir menghadiahkan medley gabungan hits "Santai" dan "OK". Ritma ringan tetapi penuh energi ini mencetuskan gelombang tarian spontan dalam kalangan penonton. Ribuan hadirin berayun mengikut rentak, tangan diangkat ke udara, suara-suara bersatu menyanyikan lirik yang sudah sebati di hati. Stadium Merdeka bertukar menjadi lautan manusia yang bergerak dalam harmoni, membuktikan kehebatan Faizal sebagai pembuka tirai untuk konsert agung yang bakal menyusul. Saya sedikit kecewa apabila lagu duet "Dirgahayu" tidak berkumandang seperti yang diharapkan.

Tidak hanya sekadar pemanas pentas, Faizal memperlihatkan demonstrasi kepakaran seorang penghibur yang memahami seni mengawal mood penonton. Dari rock yang menggegarkan ke balada yang menyentuh jiwa, dan akhirnya kepada irama yang mengajak penonton menari, Faizal Tahir berjaya mencipta momentum yang sempurna untuk kemunculan 2 bintang utama malam itu. Usai Faizal berlagu, terdengar deru enjin 2 buah Porsche 911 GT3 mengaum memasuki stadium. Sorakan menggelegar memenuhi ruang udara, diikuti kilatan ribuan kamera telefon yang cuba menangkap momen bersejarah ini. Khalayak berebut-rebut untuk mendapatkan pandangan lebih dekat. Nama "Siti!" dan "Judika!" dilaungkan silih berganti.

"Kisah Ku Inginkan" lagu yang mencipta momen magis saat suara emas Siti Nurhaliza bergabung dengan vokal bertenaga Judika. Memulakan rangkap pertama dengan lenggok signaturnya, Judika membenarkan Siti mengambil alih dengan interpretasi yang penuh emosi, mengundang sing-along paling gemuruh. Harmoni vokal mereka terdengar begitu sempurna. Stadium Merdeka bertukar menjadi kanvas cahaya yang menakjubkan apabila 24,000 LED wristband yang dipakai oleh setiap penonton mulai bersinar dalam harmoni. Gelang teknologi dikawal secara sinkroni, mencipta pelbagai corak dan gelombang cahaya yang menari mengikut rentak muzik. Ia bukan sekadar aksesori, tetapi menjadi sebahagian daripada persembahan yang mengujakan. 

Lucu  melihat keletah Judika dan Siti bercanda saat berebut untuk menentukan siapa harus memulakan slot terlebih dahulu. "Kalau Dato' Siti sudah nyanyi duluan, waktu giliran saya semua orang pulang. Siapa yang mahu lihat Judika lagi." ujar Judika disahut dengan ajakan untuk 'one two som' oleh Siti. "Eh boleh sangat, namanya juga Judika, judi tak pernah kalah!" Gamat satu stadium dengan gelak ketawa. Dan akhirnya ternyata Judika yang menang, minta izin untuk ganti baju dan menghilang 'disedut' ke bawah pentas.

Muncul sekali lagi dalam busana hitam gemerlap, dalam cahaya malap tampak Judika duduk disisi piano mengalunkan intro "Bukan Rayuan Gombal". Suasana berubah drastik. Lautan penonton seolah-olah disambar elektrik, bangkit dengan sorakan yang menggegarkan stadium. Judika, dengan karisma yang tidak dapat ditandingi, mengambil pentas dengan penuh keyakinan. Judika mengerahkan seluruh tenaga vokalnya, mencapai nota-nota tinggi dengan sempurna yang menghangatkan suasana. Para penonton menyanyi dengan penuh semangat, menjadikan Stadium Merdeka sebuah paduan suara gergasi.

Judika memukau khalayak dengan rentetan sekitar 12 buah lagu yang masing-masing membawa cerita tersendiri. "Sampai Akhir" mencipta suasana intim yang menggetarkan jiwa. Manakala "Aku Yang Tersakiti" membawa dimensi kesakitan cinta yang berbeza, "Putus Atau Terus" mencetuskan dilema yang difahami sejagat. Ketika balada "Mama Papa Larang", wristband bertukar kepada warna biru lembut yang berombak perlahan, mewujudkan suasana nostalgia yang menyentuh hati. Gelang LED ini mencipta permainan cahaya dwi-warna yang memukau, menambah perspektif visual yang mengkagum.

Kejutan datang apabila Judika mendedikasikan tribute medley lagu-lagu Malaysia yang menjadi kegemarannya dan sangat popular di Indonesia. "Gerimis Mengundang" oleh Slam dan "Mencari Alasan" dari Exists mendapat interpretasi baharu melalui suara emasnya. Pemilihan lagu ini membuktikan hubungan istimewa 2 negara serumpun dalam dunia muzik. Momen paling saya tunggu akhirnya berkumandang "Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik-Baik Saja", sebuah lagu yang menggambarkan kerentanan manusia dengan begitu telus. LED wristband bertukar biru gelap, mewujudkan suasana melankolik yang sempurna untuk lirik yang mendalam ini. 

Slot Judika mencapai klimaks pada lagu "Cinta Karna Cinta", anthem cinta yang menggegarkan stadium. 24,000 penonton bangkit berdiri, bernyayi bersama dalam satu suara yang gemuruh. Pencahayaan dramatik dan permainan pyrotechnic mengiringi setiap lagu sebagai bukti kehebatan vokal Judika dan kemampuannya menghidupkan emosi dalam setiap persembahan. Dari balada yang menyayat ke lagu tempo tinggi yang menghangatkan suasana, Judika membuktikan statusnya sebagai salah seorang penyanyi terbaik di rantau ini.

Slot yang ditunggu-tunggu pun tiba. Dato' Siti 'diangkat' naik bagai dewi ke atas pentas mencetuskan jerit pekik penuh gempita dari 24,000 hadirin yang memenuhi segenap ruang Stadium Merdeka. Begitulah hebatnya penangan seorang 'Biduanita Negara'! Dalam balutan busana biru cair yang melambangkan keanggunan, LED wristband turut bertukar warna putih berseri, seolah-olah stadium dipenuhi ribuan bintang yang menari. Medley lagu rancak "Siti Situ Sana Sini" dan "Ku Milikmu" menjadi pembuka yang sempurna. Suara Siti yang jernih membelah keheningan malam, membuktikan mengapa dia digelar ikon muzik negara. Setiap nota yang dilantunkan adalah testimoni kepada teknik vokal yang digilap selama lebih 2 dekad. Para penonton seakan terpukau, tenggelam dalam alunan suara yang tidak luntur ditelan zaman.

Tempo meningkat apabila lagu Siti yang paling banyak dinyanyikan di karaoke iaitu "Kesilapanku Keegoanmu" bergema di stadium. Lagu yang membawa mesej tentang kematangan dalam percintaan ini mendapat sambutan hangat. Siti membawanya dengan penuh penghayatan, membuktikan kemampuannya menghidupkan emosi dalam setiap lirik yang dilantunkan. Oleh kerana sukar untuk membuat seleksi lagu mana yang harus dinyanyikan, medley "Bicara Manis Menghiris Kalbu" dan "Diari Hatiku" adalah antara lagu wajib yang tentunya mengajak seluruh stadium sing-along berjemaah. Begitu juga halnya dengan medley "Pastikan" dan "Seindah Biasa".

Pertama kali bagi saya menonton konsert Dato' Siti, kelembutan, sikap ramah dan sopan santunnya ternyata cukup mempesonakan. Di tengah-tengah persembahan, mata Siti Nurhaliza terpaku pada pemandangan yang tidak terduga, sekumpulan peminat setia yang digelar 'Geng OT' (Over Time) berkumpul di bangunan tinggi yang masih dalam tempoh pembinaan berhampiran Stadium Merdeka. Mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai kemeriahan konsert mega 'The Journey Of Sound' ini, apatah lagi dari pemandangan 'paling mahal' tanpa perlu membeli tiket. "Saya nampak anda semua di sana." Siti melambai ke arah mereka mencetuskan sorakan kuat. "Terima kasih kerana datang. Ini membuktikan muzik tidak mengenal sempadan, tidak kira di dalam atau di luar stadium." Kata-kata ikhlas ini membuktikan kebesaran jiwa seorang artis yang memahami erti sokongan peminat.

Lebih istimewa apabila Siti tidak lupa untuk menyelitkan lagu genre Irama Malaysia. Siti Nurhaliza yang telah sinonim dengan perjalanan budaya lewat medley "Hati Kama" dan "Ya Maulai" dimana ketika itu Siti meminta khalayak berdiri dan berjoget lambak bersamanya. Sporting atau memang menunggu masa untuk berdiri, peminat setia tidak melepaskan peluang berdansa beramai-ramai. Vokal Siti yang bergetar indah dalam gaya patah lagu sempurna membuktikan kepakarannya dalam genre ini. Stadium bergema dengan alunan muzik tradisional yang dipersembahkan dengan sentuhan moden mencipta suasana megah tatkala "Balqis" didendangkan. Keindahan warisan muzik Malaysia diprovokasi kepada generasi baru melalui suara Siti, agar tradisi terus hidup, berkembang, dan dicintai.

Alunan "Aku Cinta Padamu" dalam versi dangdut menjadi detik istimewa. Lagu yang tular di TikTok ini mendapat nafas baharu di atas pentas, menggariskan kehebatan Biduanita Negara yang mampu menghidupkan semula nostalgia dalam dimensi kontemporari. Siti sporting 'belanja sikit' lagu tersebut atas permintaan ramai sebelum lagu terbarunya "Sejarah" dipersembahkan diiringi permainan cahaya dramatik dan paparan visual yang memukau di skrin LED gergasi melengkapkan performa. Band pengiring yang dibarisi pemuzik handalan memberi sokongan mantap, mencipta landskap muzik sempurna untuk suara emas Siti.

Judika muncul lagi di atas pentas menandakan sudah tiba masa untuk battle duet 5 lagu bersama Siti. Uniknya pada slot ini menyaksikan Siti menyanyikan lagu Judika berjudul "Bukan Dia Tapi Aku" dengan begitu bersahaja ditangani nota tinggi menjadikan lagu tersebut bagai lagunya sendiri sehingga meremang bulu roma saya menikmati keindahan improvisasi itu. Kemudian, Judika pula menyanyikan lagu Siti berjudul "Wajah Kekasih" dalam versinya tersendiri yang ternyata menerbitkan impresi kagum pada setiap telinga yang mendengar. Battle yang sama hebat meski Judika seringkali merendah diri, dalam masa yang sama Siti kekal dengan sifat humblenya memuji vokal Judika yang mersik membuai jiwa.

Paling terhibur saat Siti dan Judika memilih untuk melagukan homaj pada lagu Malaysia paling popular di Indonesia iaitu "Buih Jadi Permaidani" (tajuk asal "Mengintai Dari Tirai Kamar") oleh Exists dan lagu Indonesia yang viral di Malaysia iaitu "Hal Hebat" nyanyian Govinda/Cakra Khan. Terpaku, terkesima, terpukau dan macam-macam lagi reaksi dan emosi bercampur baur pada malam itu. Stadium Merdeka seolah-olah dipenuhi ribuan kunang-kunang yang menari. Pemandangan dari udara memperlihatkan corak geometrik yang tercipta dari koordinasi cahaya ini. LED wristband menjadi penghubung interaktif antara penonton dan persembahan, menceriakan nuansa imersif yang tidak dapat dilupakan.

Bola-bola berbentuk planet yang muncul entah dari mana ketika lagu "Nirmala" bergema, menambahkan kemeriahan berganda dalam ghairah konsert yang sudah berlangsung hampir 4 jam itu. Suasana di stadium yang agak panas menimbulkan sedikit rimas sehingga saya merasakan tidak relevan lagi untuk menonton konsert pada ruang terbuka seperti itu kerana sudah terbiasa dengan hawa dingin di lokasi konsert yang lain. Begitu juga dengan susunatur seating yang agak kelam kabut, sedikit sebanyak mengganggu kelancaran konsert. Diharap pihak penganjur Universe Gateway dapat memberi penitikan berat terhadap faktor ini di masa hadapan. Apapun persembahan dari 2 figura tetap dinikmati sepenuh hati.

Konsert yang bermula sejak jam 9 malam mencapai kemuncaknya dengan persembahan bunga api yang spektakular. Langit Kuala Lumpur dihiasi dengan percikan warna-warni kembang api menari di angkasa selama 5 minit. Menara Merdeka 118 yang menjulang tinggi turut menjadi sebahagian dari persembahan visual, dengan pencahayaan yang berkoordinasi dengan bunga api, mencipta panorama mengkagumkan. Stadium Merdeka dan kawasan sekitarnya bertukar menjadi kanvas cahaya yang menakjubkan. Dari dalam stadium, LED wristband penonton berkelip harmoni, manakala di kejauhan, lampu dari telefon bimbit 'Geng OT' turut menari bersama, mencipta pemandangan yang menyatukan semua dalam satu momen ajaib. 4 jam berlalu seperti sekejap mata, konsert 'The Journey of Sound' melabuhkan tirainya lewat jam 12.30 tengah malam. Yang tinggal bukan hanya sekadar memori, tetapi juga kisah tentang bagaimana muzik mampu menyatukan semua, dari pemegang tiket VIP hingga ke Geng OT yang setia menonton dari jauh.

Dalam suasana bagaikan "Fantasia Bulan Madu", amat bertepatan dipilih sebagai lagu penutup malam. Statistik 24,000 hadirin membuktikan ukiran nama Siti Nurhaliza dan Judika terpahat utuh di antara 2 negara serumpun, Malaysia dan Indonesia bersatu dalam harmoni sempurna melalui muzik. Dari lagu-lagu kontemporari ke irama tradisional, dari balada mendayu ke tempo pantas yang mengujakan - setiap persembahan adalah satu babak dalam cerita yang lebih besar tentang perpaduan melalui seni. Malam bersejarah ini akan kekal dalam ingatan, terngiang keanggunan vokal Dato' Sri Siti Nurhaliza bertemu dengan energi ekstrim Judika dalam aura karisma tersendiri.