Intimasi Eksklusif 'Back To Basic' Misha Omar

oleh: zizi hashim

Permaidani kenangan Misha Omar bentangkan dari sudut Jiospace yang diselubungi cahaya pentas, istimewa untuk 2,000 jiwa yang hadir dengan penuh antisipasi. "Back To Basic Showcase" merefleksikan perjalanan emosi merentasi 22 tahun dalam industri muzik, di mana setiap nota melodi mencetus perkisahan tersendiri. Membawa penonton dalam kembara nostalgia yang mengusik kalbu, Misha sukses mengubat kerinduan peminat pada malam penuh intimasi eksklusif yang membawa kejutan manis apabila Muhammad Idris Ezzwa, putera Misha berusia 8 tahun, mengambil peranan sebagai pengacara. Keletah spontan dan senyuman ikhlas anak kecil ini mencuri hati hadirin, membuktikan bahawa pesona pentas mengalir dalam darah artistik keluarga Omar.

Samihah@Aisah Omar, yang dikenali ramai sebagai Misha Omar atau lebih mesra di sapa 'Kak Mitch', membuka tirai malam dengan "Cinta Adam Dan Hawa", lagu yang telah menjadi anthem cinta bagi segenap pencinta muzik Malaysia. Vokalnya yang matang kini membawa dimensi baharu kepada lirik yang telah sebati di hati peminat. Selama 2 jam yang bermakna, 14 buah lagu mengalun dari bibir figura seni yang telah 2 dekad menghiburkan negara. Dari "Pulangkan" ke "Bunga-Bunga Cinta", membawa ke "Sembunyi" dan "Ku Seru", setiap lagu adalah helaian memori yang dihidupkan semula dengan interpretasi yang segar, antara lagu yang paling ditunggu-tunggu malam itu mengundang sing-along berjemaah paling gemuruh sehingga meremang bulu roma.

Misha membuktikan bakat versatile-nya apabila tampil dengan kejutan medley rancak - "Oops! I Did It Again" (Britney Spears) dan "Bye Bye Bye" (NSync) digabungkan dengan kehalusan yang memukau. Tubuhnya yang lincah menari membuktikan bahawa semangat entertainer dalam dirinya tidak pernah pudar. "Tahu tak, saya lah artis yang paling malas bergerak," seloroh Misha sambil menyambung "Saya hanya sempat hadir 3 kelas tarian, setiap sesi selama 40 minit, kerana jadual saya yang padat."

Persembahan tidak hanya terhad kepada lagunya sendiri. Misha membawa penonton menjelajahi dunia muzik kontemporari dengan interpretasinya terhadap lagu-lagu "Masing Masing" oleh Ernie Zakri, "Peluang Kedua" dari Nabila Razali, dan "Semalam" nyanyian Aina Abdul. "Watch Me Glow" oleh Dolla mendapat nafas baharu melalui improvisasi lunak suaranya.

Duet bersama Hariz Fayahet lewat lagu "Die With A Smile" yang dipopularkan oleh Bruno Mars dan Lady Gaga, menjadi saksi kepada muzik merentasi sempadan usia. Hariz, yang terpilih menjadi pemenang melalui 'pencarian teman duet' di Instagram, berkongsi pentas dengan idolanya dalam persembahan yang akan dikenang sepanjang hayat. "Saya rasa bersyukur berpeluang berduet dengan idola saya di atas satu pentas. Momen ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila." ujar Hariz dalam nada teruja.

Ella, Ratu Rock negara yang sentiasa menyokong bakat tempatan, hadir memberi sokongan padu. Ernie Zakri dan Syamel, pasangan emas industri muzik, turut memeriahkan suasana. Shila Amzah, bintang yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, dan Nabila Razali yang sedang meningkat naik, semuanya bersatu pada malam bersejarah ini demi memberi sokongan buat rakan artis tersayang. Kehadiran mereka bukan sekadar formaliti malahan ia adalah testimoni kepada semangat kekeluargaan yang masih utuh dalam industri hiburan Malaysia. Setiap artis yang hadir membawa makna tersendiri dalam perjalanan kerjaya Misha. Kehadiran mereka bukan sahaja menambah seri kepada showcase Misha, tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi baharu dalam industri.

Tersentuh dengan kasih peminat yang tidak pernah pudar, pemenang 3 kali trofi 'Vokal Terbaik' AJL ini menitiskan airmata terharu dan kegembiraan di atas sambutan 'full house' pada malam penuh manis dan magis itu. Misha Omar mengakhiri kehangatan malam dengan lagu "Semoga Abadi"  serta sempat membisikkan harapan besar kemungkinan perancangan menuju konsert solo yang lebih megah akan disusunatur pada tahun hadapan. Showcase ini membuktikan bahawa Misha Omar bukan sekadar seorang penyanyi, bahkan dia adalah ikon yang telah membentuk landskap muzik Malaysia. Dengan 22 tahun pengalaman, vokalnya masih segar dan mantap, kuasa hipnotis pada penampilan memukau, dan kebolehan yang masih relevan mencabar artis-artis generasi baru.

Dengan hint tentang konsert solo yang akan datang, peminat kini boleh bermimpi tentang persembahan yang lebih megah. Misha Omar membuktikan bahawa 2 dekad hanyalah permulaan untuk perjalanan yang lebih bermakna dalam dunia muzik Malaysia. Di mana nostalgia bertemu harapan, di situlah legasi terus hidup. Gemersik merdu suara Misha Omar yang telah mewarnai 2 dekad, kini membuka lembaran baharu dalam kisah muzikalnya yang tidak berkesudahan. Tahniah Kak Mitch! Tak sabar rasanya menanti konsert yang akan datang.