oleh: zizi hashim
foto kredit: mms / malaysia music scene
Di bawah naungan Inspire Production selaku organizer, Konsert Dream Collaboration Vol. 4 ini sememangnya sangat bijak menerbangkan dari jauh pria bersuara merdu ini berganding bersama Nadeera dan Riri Moeya sebagai daya tarikan crowd. 17 buah lagu dalam masa 3 jam dengan di iringi barisan pemuzik professional, serta 2 orang vokalis wanita sebagai pembuka tirai acara pada malam 17 September 2023 itu, tidak lagi dapat dinafikan ‘hal hebat’ dalam diri seorang Cakra Khan yang dikongsi bersama lebih 2300 pemilik hati yang mengidolakan beliau, memenuhi ruang kapasiti Zepp Kuala Lumpur.
Introduksi lagu-lagu seperti “Adalah Aku”, “Setelah Kau Tiada”, “Mencari Cinta Sejati” dan “Kepada Hati”, mengajak rata-rata crowd sing-along sepenuh hati bersama sebelum menyedari kehadiran entiti bergelar Dato’ Sri Rossa terlihat berada di ruang kotak VIP untuk meraikan Cakra Khan yang begitu dekat di hati nya. Tidak melepaskan peluang, Cakra turut untuk memberi kredit kepada Dato’ Sri Rossa dengan ungkapan “Berada nya saya di sini malam hari ini adalah kerana Rossa, tanpa dia tak mungkin saya ada kerana dia yang pertama kali membawa saya ke Malaysia. Tidak akan saya lupakan sampai bila-bila, terima kasih Rossa!” disahut dengan tepukan gemuruh. Seiring itu, lantas bergema lah “Hal Hebat” lagu yang paling ditunggu-tunggu oleh fanatika Cakra yang lantas meremangkan bulu roma setiap yang mendengarnya.
Seluruh ruang dalaman di Zepp KL berkumandang nada-nada mengiringi kemerduan suara Cakra. Set diteruskan dengan seleksi lagu-lagu cover yang sangat sesuai dengan lontaran vokal Cakra seperti “Tenesse Whiskey”, “Iris”, “Monster”, “Sial” dan “I’m Not The Only One” bersulam dengan lagu-lagu Cakra sendiri iaitu “Kau Memilih Dia” dan “Nanti”. Paling terkesan adalah ketika Cakra mengalunkan cover “Iris” dari Goo Goo Dolls dan juga “Monster” dari James Blunt, di mana dengan penuh emosi nya Cakra menitiskan airmata kerana lagu itu ditujukan khas buat ayahnya, Hermana yang meninggal 2 tahun lalu . Pesan Cakra “Jika masih ada Ibu dan Bapa, sayangi lah mereka. Beritahu mereka kamu sayang mereka sementara masih ada kesempatan” sekali lagi tepukan gemuruh dari setiap yang hadir bergema. Seluruh Zepp sebak. Bijak memilih lagu yang sesuai dengan tone suaranya sudah semestinya ramai yang kagum dengan Cakra Khan ini.
Malam semakin hangat apabila lagu-lagu duet popular dihidangkan. Meskipun bukan dengan vokalis duet asal namun kontribusi dari Nadeera ketika duet “Seluruh Cinta” memberikan vibes yang lebih kurang serupa. Begitu juga halnya dengan duet bersama Riri Moeya untuk lagu “Terlanjur Cinta”, tetap mersik membelai gegendang telinga peminat setia Cakra, ikut serta nyanyi bersama. Senyuman puas terukir di setiap bibir yang hadir. Terima kasih Cakra Khan untuk kenangan konsert terindah ini.
Sedar tak sedar, sudah sampai ke penghujung lagu-lagu terakhir. “Kekasih Bayangan” beralun merdu. Simple nya seorang Cakra Khan, tidak menukar baju lain pun cukup santai diatas pentas bercahaya gemilang, jelas memancarkan aura sang superstar humble yang mudah terhibur dan gemar menghiburkan ini. Meski lagu-lagu beliau tidak ada yang membuatkan penonton ‘head-bang’ kerana sentimental nya lagu-lagu cinta, namun Cakra Khan tetap energetik dan berusaha memberikan 100% terbaik. Di penghujung jalan kalau memang kita “Harus Terpisah” ya bagaimana lagi kan? Lagu paling hits yang mengangkat nama beliau walau ternyata sangat berat hati untuk berpisah.
Memang “A night to remember” saya pulang dengan hati yang puas. Cakra Khan tidak kedekut memenuhi permintaan “We Want More” untuk 1 lagi lagu bonus sebelum menutup tirai konsert dengan 1001 kenangan tersemat di hati sampai bila-bila.