Gabungan Jentera Ori 'The Real Cromok' Laung Gema Legasi

oleh: zizi hashim

Testimonial kekuatan muzik metal sebagai medium ekspresi terpancar terang pada malam 7 Disember 2024 di Zepp KL saat menyaksikan perang riff gitar vibrant, laju dan berat dari para maestro gitar dalam konsert 'The Real Cromok' sebagai medan tempur yang mempertemukan nama-nama besar dalam industri muzik tanahair. Karl Cromok, Shah Ziri, Hillary Ang dan Man Keedal - 4 nama yang membentuk jentera muzik metal paling berkuasa di pentas pada malam itu. Setiap musisi bagaikan perajurit dalam pertarungan muzik, menghasilkan riff yang powerful, energetik dan tajam menusuk. Setiap riff dan hentakan drum mencetuskan nuansa 'meremang bulu roma' sebagai bukti DNA muzik Cromok masih mempunyai magis untuk menggoncang jiwa.

Fanatika metal berkerumun ramai dengan euforia kental mahu headbanging berjemaah, meski rata-rata khalayak yang datang tidaklah muda lagi, namun tetap tidak mahu tunduk kalah pada faktor usia. Bukan selalu, hanya sekali sekala dapat berkumpul dengan sahabat metal 'satu kepala', tolak tepi uban memutih tak pernah rasa letih, yang penting bahagia, kalau sakit tengkuk esok pagi, takde hal koyok kan ada. Konsert 'The Real Cromok' bermula dengan lagu yang menjadi penanda aras muzik metal tempatan, "Memories" dari album 'Forever In Time', satu pembukaan yang mencetuskan gegaran emosi di kalangan peminat.

Bagaikan peluru muzik yang dilepaskan dengan tepat mengena sasaran, riff gitar "Final Ticking" menghentak realiti, membangkitkan semangat rebel yang tersimpan dalam jiwa penonton. Seolah-olah jam kehidupan berdetak dengan ritma kemarahan. Dalam deruan adrenalin stamina yang memuncak, "Obsessed" menyelami ketagihan dan konflik dalaman, mengubah pentas menjadi medan peperangan emosi  dengan tusukan tona klasik yang mengingatkan pada zaman kegemilangan muzik metal. Riff gitar ikonik "Unicorn" menarik penonton kembali ke dimensi kenangan. Matra ruang visual di layar skrin memperkayakan refleksi peribadi semangat yang sentiasa membara lewat "Stranger" mencabar minda fikir konvensional dengan kompleksiti muzikaliti yang buat khalayak tercengang.

Lagu yang ditunggu-tunggu "Another You" berbicara tentang kehilangan, kerinduan dan transformasi perasaan manusia, adalah kapsul kenangan yang merangkumi perjalanan emosi peminat Cromok selama berdekad-dekad lamanya. Kolektif nostalgia melalui lagu ini kekal bermakna di hati peminat setia membongkar sisi emosional band pada homaj penghormatan yang didedikasikan buat jentera ori yang telah pergi, Allahyarham Din dan Miji. Lantunan akustik Karl dan Shah Sidious membelai jiwa segenap ruang Zepp KL, mengajak mereka terhanyut dalam melodi yang membalut kenangan. Dentingan muzik membisik rindu yang terukir, mengimbas setiap detik perjalanan seni Cromok yang tersimpan dalam memori.

Sang vokalis merangkap bassist, Sam mengajak semua mat metal untuk menghadiahkan alfatihah sebagai pelukan terakhir untuk Allahyarham berdua yang mendahului sehingga terwujud seketika momen hening mendakap ruang. "Fallen Heroes" berkumandangsebuah karya istimewa yang dicipta khas sebagai tribute dipertontonkan dan disulam dengan rentetan video sejarah awal Cromok bersama Allahyarham Din dan Miji. Setiap frame adalah saksi bisu perjalanan muzik, setiap imej bercerita tentang duka nestapa dibilas semangat yang tak terpadam. 

Sam mengundang Kamelia (anak Allahyarham Khairudin Muhammad)  dan Tasneem (anak Allahyarham Tarmizi Mokhtar) untuk turut serta dalam segmen penghormatan perjalanan hidup 2 insan seni yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah Cromok. Doa yang disedekahkan menghubung ikatan rohani pada jiwa yang ditinggalkan dengan yang telah pergi, mencipta jambatan emosi yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Momen kejutan berlaku di pentas Zepp KL apabila Mat Puck, bekas gitaris legendaris Cromok, dijemput naik ke pentas. Gelora sorak-sorai peminat memenuhi ruangan, menandakan kehadiran beliau sebagai detik yang dinantikan. Bersama Mat Puck, Cromok menghadirkan semula lagu-lagu ikonik yang pernah mengukir sejarah muzik tempatan. "Ulek Mayang" dan "La Crosse" bergema, menampilkan keunikan kolaborasi elemen muzik tradisional dengan genre metal yang keras. Setiap petikan gitar terasa bagaikan memoir perjalanan band ini, membangkitkan kenangan mendalam bagi para peminat yang telah lama menemani perjalanan Cromok.

Kejutan tidak berhenti setakat itu. Man Keedal turut menyertai pentas, menambah dimensi unik kepada malam yang bersejarah tersebut. Dengan sentuhan gitarnya yang khas, lagu wajib seperti "Misery", "Seedling" dan "Farewell" diolah semula dengan improvisasi nafas baharu. Setiap nada memperlihatkan transformasi muzik Cromok, membuktikan keteguhan band dalam memelihara warisan muzikal mereka sambil terus berkembang. Konsert 'The Real Cromok' menghubungkan masa lalu dengan masakini, mengajak penonton menyelami sejarah dan semangat Cromok yang tidak pernah luntur.

Bagaikan pelita yang masih menyala di penghujung malam, Hillary Ang melangkah ke pentas, membawa bersama bayangan sejarah Cromok yang membara. Kehadiran Hillary adalah seperti puisi yang tercipta dalam dentingan gitar, mengalir aura karisma kental yang sentiasa bergelora.  Bersama Sam, Hillary mengukir semula lagu "Suffer", sebuah karya ratap nestapa yang tersimpan dalam jalinan petikan gitar. 

Solo gitar "Enough/Turning Point" pula bak cerita epik yang dipahatkan di jari-jemari tanpa kata-kata, membangkitkan kenangan dan semangat yang terpendam. Sentuhan klasik Hillary berkongsi ruang dengan jiwa membara Cromok, mencipta satu momen pembakar perasaan. Goosebump! Hillary dalam nada merendah diri mengakui sudah sekian lama tidak memainkan irama keras metal, bimbang andai lost touch namun itu sama sekali tidak benar. Petikan signatur gitarnya memberi nyala rasa yang tiada bandingan. Seperti tidak percaya melihat Hillary di atas pentas bersama Cromok, indah dan amat meyakinkan! 

Berarak awan kenangan saat "Misty" menerjah halwa telinga,  lagu yang mencungkil semula 1001 memori indah dari album 'Image of Purity', kerana penglibatan kesemua jentera instrument original Cromok termasuklah Allahyarham Din dan Miji. Lantunan nada cerminan jejak langkah para pengasas Cromok, bisikan rindu yang menembus waktu, membangkitkan semula roh Din dan Miji yang kini hanya tinggal dalam melodi. Meski mereka telah pergi namun roh mereka kekal abadi dalam setiap mahakarya. "Misty" menjadi jambatan antara masa lalu dan masakini, menghubungkan generasi muzik metal tempatan dengan sejarah yang gemilang.

Persembahan closure sempurna bagi konsert 'The Real Cromok' ini memperlihatkan Mat Puck, Man Keedal dan Hillary Ang naik semula ke pentas bersama gitar masing-masing di tangan. Maka berpadulah raungan riffing gitar maestro hebat, bersenyawa dengan deruan bass dan hentakan dram yang mencipta gerun di hati. Sebelum usai, Sam memberi ucapan menyentuh hati dalam nada terharu, mengucapkan terima kasih kepada peminat yang terus memberi sokongan tanpa henti sepanjang perjalanan panjang Cromok. Sam menegaskan konsert ini lebih kepada penghormatan muzik, persahabatan, dan laungan gema legasi Cromok yang telah membentuk landskap muzik metal Malaysia. 

"Pip" dan "Modern" menutup gerbang malam dengan dentuman energi yang menggegar, melepaskan segala emosi rasa tersimpan. Seluruh ruangan Zepp KL dipenuhi gema tepukan membahang, seolah-olah setiap paluan adalah doa, setiap sorak adalah kenangan yang dihidupkan semula. Satu malam penuh nostalgik dan dramatik terukir dalam sejarah muzik metal Malaysia, di mana legenda bertemu dengan euforia semangat sejati, dan kenangan berkumandang bersama nyawa. Tahniah 'The Real Cromok' dan terima kasih untuk kepuasan maksima tak terbatas buat semua antusias komuniti metal yang hadir. Semoga laungan gema legasi Cromok akan terus hidup dalam ingatan generasi muzik metal Malaysia sampai bila-bila.

Foto Kredit: Rozairi Yahya