oleh: zizi hashim
Ada 2 orang tokoh yang seringkali membuat saya terkesima dan kagum pada aura, karisma dan stamina mereka, Tun Mahathir Mohamad pada usia 99 tahun dan Datuk Amy Search pada usia 66 tahun. Katalah apa saja pun, saya tidak peduli. Saya tulis atas dasar apa yang saya rasa, dari jiwa. Tiba-tiba tak memasal saya teruk kena perli siap buat cebik-cebik muka lagi apabila saya mengatakan performa Datuk Amy bersama Search pada 'Konsert Symphonic Live In Kuala Lumpur' yang berlangsung pada 21 September 2024 lalu di Mega Star Arena KL buat saya rasa hendak menangis. Salahkah apa yang saya rasa? Sumpah tak tipu, meremang seluruh bulu roma saat Datuk Amy Search melangkah masuk ke atas pentas.
Kalau benar pun saya peminat sejati Search, atau Datuk Amy Search sendiri, apa masalahnya? Seorang yang mendapat gelaran 'Raja Rock Malaysia' aktif bergelumang dalam industri seni tanahair sejak saya belum lahir lagi, sentiasa terpahat kredibiliti kehebatannya di mata hati telinga saya, dari dahulu sehingga kini, tidak tergoyahkan. Membesar dengan lagu-lagu nostalgia, perasaannya tidak pernah sama apabila mendengar orang lain yang menyanyikannya. Tak boleh tidak, mesti nak dengar suara Amy Search juga. Itu yang terbiasa dengar, begitu sedap beralun ke halwa telinga, bertahun-tahun. Disebabkan itulah saya rasa nak menangis. Nada suara itu, nyaring lemak merdu, masih sama walau tidak lagi dalam fasa 'telan kaset' tak mengapa. Janji masih sama, orang yang sama, feel dan tone yang sama.
10 lagu pertama, sebegitu lincah dan ligat seorang Amy Search, tiada cacat cela, bagaikan terbawa terbang bersama-sama menaiki 'mesin waktu' kembali ke zaman mudanya. Saat suaranya mersik masuk membisik selepas orkestra overture "Gelora cintaku... Aku sentiasa dalam kerinduan..." terdengar bergema diseluruh Mega Star Arena KL, jiwa terasa penuh. Nafas turun naik berdebar-debar menunggu bayangan Amy muncul di sebalik kelam pentas. Sepertimana senikata lagu, "Aku kenal dikau... bagai mula alam maya tercipta", sebegitulah yang saya rasakan apabila melihat kelibat yang dinanti-nantikan, segak berkarisma dalam busana blazer hitam putih bersama 3 teman seperjuangan setia disisinya.
Sesungguhnya lahir rasa cinta pada sebuah band Rock Search sejak lama bukanlah satu paksaan. Terpancar ia dengan rela bila bercantum 2 hati dalam gelora. Enjoy habis saya turut sing-along lagu introduksi pilihan Search yang saya rasakan cukup tepat dan sempurna. Lagu "Gelora Cintaku" yang dipetik dari album Mentari Merah pada tahun 1987 dipersembahkan dalam jalinan simfoni Rock buat pertama kalinya oleh Amy, Man Keedal, Hillary Ang, Nasir Daud dan pemain dram Jenk Ali diiringi 30-piece ensemble orkestra di bawah pimpinan Datuk Mokhzani dengan susunan muzik yang digubah oleh Rie Tsuji.
Apa yang paling mengkagumkan ialah konsert anjuran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) ini telah berlangsung tanpa henti selama 2 jam setengah, sesuatu yang begitu mencabar energi setiap line-up terutama Amy di posisi vokal. Tiada langsung selingan gitar solo, bass solo atau dram solo diselitkan. Sedikit menghairankan tetapi itulah hakikatnya. Apabila dihakimi 'tidak boleh menyanyi' pada lagu ke-20 berjudul "Pawana" berentak fast rock, di usia emas 66, adakah itu sesuatu yang adil? Lebih-lebih lagi ianya datang dari individu yang langsung tidak berada di Mega Star Arena KL ketika konsert berlangsung. Hanya mencuri dengar di YouTube atau mana-mana platform sosial media, seperti biasa menjadi keyboard warrior yang hanya berani 'cakap belakang' walhal kalau ada di hadapan mata memang sudah lama mulut-mulut puaka itu makan penumbuk.
Maaf sedikit emosi, konsert dilanjutkan lagi dengan lagu "Langit Dan Bumi", sebuah lagi lagu rancak klasik rock yang cukup dirindui. Nuansa megah dibaluti muzik orkestra memperdengarkan vokal Amy bak permata yang pasti terang bersinar andai digilap lagi sebaiknya. Khalayak mulai naik hantu mahu headbanging bersama meski terpaksa duduk kerana susunan kerusi sememangnya semua diatur dalam seating layout. Ini tidak menjejaskan apa-apa, auranya masih terasa sama, dimodifikasikan sedikit pada kehendak suasana. Sikit punya hal, yang penting seleksi lagu-lagu tetap membangkit teruja dan penampilan Search penuh energetik berlarutan pada nada sayu "Nigina" yang jarang dipersembahkan. Pada lagu ini ada kesedihan dirasai sangat menyentuh hati, tentang impian, harapan dan doa.
Riff gitar berhantu "Kau Pergi" benar-benar menumpahkan airmata saya. Gila! Tak pernah dibuat orang tengok konsert rock kau bantai menangis. Benda ini susah nak describe kenapa dan bagaimana, kecuali kalau anda fans tegar Search yang berbicara dari bahasa hati yang sama. Meski diakui tampak Amy sedikit struggle untuk menangani nada-nada tinggi, namun improvisasi tetap terdengar merdu, kalau ada yang sedikit terkucil cuma terlalu minor sehingga tidak perlu dijadikan isu. "Rozana" menyingkap sebuah lagu kenangan syahdu, sentimental hati seorang 'mat rock' yang tidak lagi muda tetapi tetap kental semangat muzikal Rock sejati yang tak pernah luntur.
Distorsi kencang bergema dari "Diari Habil Qabil", "Fenomena" dan "Isi Dan Kulit" hampir membuat saya bangkit dari kerusi, tanpa sedar bergoyang tubuh mengikut hentakan irama. Mujur cepat sedar, apabila Amy tanpa banyak celoteh kali ini mencairkan pula gegendang telinga dengan medley "Setelah Hujan", "Meniti Titian Usang", "Gadisku" dan "Kejora" dalam busana merah menyala yang semakin menyerlahkan pesona karisma stylo-nya. Pakailah apa saja, pasti nampak kena dan sesuai, kalau bab bergaya Datuk Amy memang berada dalam kelas yang tersendiri. Bijak memberi 'pemandangan indah' buat penonton yang hadir, bukan sahaja ingin menikmati lagu-lagu nostalgia namun dalam masa yang sama ingin merasakan pengalaman menonton konsert yang lain dari yang lain dan memberi kenangan indah sampai bila-bila.
Kegembiraan ditenggelami lagu-lagu hits Search membangkit ghairah malam saat Amy mengajak khalayak retrospektif menyanyi bersama pada lagu "Isabella". "Fantasia Bulan Madu" dan "Mentari Merah Di Ufuk Timur". Tipulah kalau ada yang tak hafal lirik. Seluruh Mega Star Arena KL bergegar gempita dengan nyalaan flashlight dari telefon bimbit seramai lebih 3,000 fanatika Search pada malam bersejarah itu. Malam yang disifatkan Amy sebagai satu lagi pelayaran epik seni yang ingin diwarnai seindah mungkin sambil memanjatkan rasa syukur yang tidak putus pada kesihatan yang baik buat seluruh tenaga kerja professional pasukan produksi konsert orkestra Symphonic ini dalam memberi 100% komitmen jitu mereka.
Bagai tak kenal erti penat, episod seterusnya menyaksikan Search edan menggila dalam dedikasi Rock N Roll tanpa batas di angka emas. "Bencana", "Gotik Malam Edan" dan "Pawana" menghembus garang tanpa belas kasihan. Sedar tak sedar sudah 20 lagu dilantunkan, dan pada ketika melihat energi dan stamina Amy sedikit drop pada minit-minit terakhir konsert, mendadak komentar menggugah datang bertalu-talu berkata itu dan ini tanpa berfikir dahulu sebelum bicara. Begitulah nasib sang penghibur, apabila berada di atas, disanjung dijulang tinggi. Lain pula halnya bila terjadi sebaliknya. Sedangkan arwah Tan Sri P. Ramlee sendiri pernah 'diboo' di penghujung usianya, kerana dianggap sudah 'tak laku' dan outdated. Apapun, saya kagum dengan cara Datuk Amy menangani setiap kecaman yang terlontar kepadanya dengan menganggap semua itu lumrah 'anak seni' yang telah dihadapinya sejak dahulu lagi.
Pada angka emas, dedikasi Rock N' Roll 4 orang 'mat rock' berhabis daya memberi satu persembahan fenomena yang diinterpretasi dalam balutan orkestra, mencipta gemilang yang cemerlang. Seluruh komposisi yang digubah secara khusus memberi nuansa konsert bertaraf antarabangsa yang tidak perlu dipertikaikan lagi. Kalau tanya saya, tidak ada yang kurang dari awal hingga tamat konsert. "Tiada Lagi" menjadi lagu penutup santai menyaksikan Amy turun dari pentas untuk berada lebih dekat lagi bersama para peminat setia yang tidak putus-putus memberi sokongan buat kumpulan legendaris Search yang namanya tetap unggul teratas dalam carta kumpulan Rock nombor 1 Malaysia.
Syabas Search! Semoga simfoni mahakarya yang terjalin adalah persembahan luarbiasa yang membangkit euforia semangat Rock di dalam perjuangan berwarna-warni Search ke tahap yang lebih tinggi, tak tercapai yang lain.