oleh: zizi hashim
Ekoran kejayaan mencetak sejarah gemilang pada 3 Februari 2023 melalui Konsert Ada Apa Dengan Melly bertemakan ‘Back To School’, Melly Goeslaw kembali bersama suaminya Anto Hoed dengan idea segar baru yang mencipta teruja.
Maka, pada tanggal 1 Jun 2024 yang lalu, Pengetua Melly telah memeriksa keadaan terkini anak-anak didiknya yang pernah merayakan pesta lewat konsert nan lalu sekaligus meraikan sebuah acara penuh magis dalam konvokesyen extravaganza itu.
Berjaya mengekalkan momentum menjadi lebih kuat, saya himpunkan di sini enam sorotan menarik untuk tatapan anda semua.
Konsep Pengetua dan Siswazah – Graduasi Sukses Cemerlang
Seluruh ruang Axiata Arena Kuala Lumpur dipenuhi 10,000 para Graduan lengkap berpakaian jubah graduasi, uniform sekolah, uniform sukan dan seangkatan dengannya pada Malam Graduasi yang diraikan bersempena Konsert Ada Apa Dengan Melly and Friends. Kesemua Mahasiswa dan Mahasiswi yang hadir telah cemerlang lulus menerima ‘ijazah’ graduasi tahun ini, begitu menurut Pengetua Melly Goeslaw pada malam yang berbahagia itu. Aura seorang Melly Goeslaw tidak dapat dinafikan lagi apabila berjaya membuatkan seluruh ‘siswazah’ patuh pada arahan berpakaian mengikut tema, bukanlah calang-calang. Satu malam takkan terlupakan, pastinya dinanti episod seterusnya pada malam ‘Prom Night’ tahun hadapan bagi merayakan kejayaan gemilang ini.
3x Tukar Busana Gemerlapan Dan Aneh Signatur Melly
Tepat jam 9 malam, figura tersohor Melly Goeslow membuka tirai persembahan dengan lagu upbeat tempo “Tak Tahan Lagi”. Disambut sorak-teriak dan tepukan gemuruh, Melly tampil begemerlapan dalam busana aneh signatur-nya, dengan topi ala-Trojan. Malam yang semakin bernyawa, dihangatkan lagi dengan kemunculan Melly dalam busana ke-2 berona keemasan ala-ala Bjork. Namun yang paling mencuri perhatian adalah busana terakhir pada outro konsert. Busana denim ‘two piece’ jaket dan seluar dihiasi ribuan manik dan mutiara seberat 15 kilogram bernilai RM130,000 rekaan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail.
Balutan Muzik Orkestra Mewah oleh Malaysia Group Orchestra
Harus diakui konsert anjuran AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment cemerlang memuaskan hati ‘siswazah’ yang hadir di bawah pimpinan orang kuat Anto Hoed dengan balutan muzik orkestra mewah Malaysia Group Orchestra yang kedengaran begitu indah dan gah. Fanatika Melly kelihatan begitu antusias untuk sama-sama larut dalam alunan muzikal lagu-lagu ciptaan komposer hebat itu. Oleh kerana setiap lagu sudah tidak asing lagi, Melly cuma perlu menyanyi sedikit sahaja kemudian disambut selanjutnya oleh para graduan tanda mereka hafal dengan semua lirik lagu. Masing-masing takut dirotan pengetua lagaknya.
Cipta lagu “Malaysia Palestin” 5 Minit Atas Pentas
Hebatnya seorang komposer bergelar Melly Goeslaw ini apabila memperlihatkan kredibilitinya mencipta lagu secara spontan di atas pentas dengan meminta bait-bait lirik dari peminat. Kagum dan terharu apabila diajak Melly untuk sama-sama terbuai nuansa balada sentimental lewat lagu “Malaysia Palestina” yang pertama kali dialunkan melodinya sebegitu indah malam itu.
Dalam masa yang sama, Melly telah meng’hibah’kan lagu tersebut boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dengan tujuan beramal demi Palestin, tanpa meminta sebarang royalti dari lagu ciptaan terbaru itu.
Joe Flizzow Suntik Elemen Hip Hop – Improvasi Lagu “Jika”
Pesta malam graduasi diteruskan dengan kemunculan istimewa Joe Flizzow berduet lagu “Jika” bersama Melly. Elemen Hip-Hop telah menaik-taraf lagu tersebut menciptakan kemeriahan dansa dan tari di sana sini. Tata-cahaya gemilang dan grafik visual memukau melengkapkan lagi nuansa magis pada malam bersejarah itu.
Kemunculan Istimewa Putri Ariani
Suasana syahdu dan sentimental jiwa diteruskan apabila lagu “Cinta” didendangkan berduet dengan seorang lagi penampilan khas yang menjadi kebanggaan Melly iaitu Putri Ariani. Semuanya terpukau dan hanyut dalam keasyikan mersik paduan suara kedua-duanya. Memberi izin Putri Ariani mengalunkan lagu ciptaannya, “Cinta Sejati” dan “Kamu Dan Kenangan” berkumandang. Meremang bulu roma!
Lagu-lagu Hits Segar Ciptaan Melly
Lagu rancak “Ingin Mencintai Dan Dicintai” menerjah, di ikuti “Pecinta Wanita” dan “Berdua Lebih Baik” sebelum masuk nada perlahan melalui medley lagu “Suara Hati Seorang Kekasih” dan “Sampai Menutup Mata” bermain dengan emosi penonton. Melly mengajak semuanya terbuai nuansa balada sentimental lewat lagu “Bimbang”, “Denting” dan “Ayat-Ayat Cinta” yang berkumandang.
Lanjut lagi dengan lagu popular ciptaannya “Gantung”, “Jangan Pernah Berubah” dan “My Heart”, seluruh Axiata Arena KL sepakat menghayun tangan ke udara, mengikut melodi lagu dan sing-along.
Bertukar mood yang lebih rancak sebelum malam berakhir, Melly menukar busana sekali lagi agar lebih selesa untuk turut sama berdansa. Malam dihiasi lagu “Hanya Memuji”, “Let’s Dance Together”, “Bagaikan Langit” dan “Ku Bahagia” yang dipilih sebagai outro yang bijak. Terbit senyum gembira dan puas dari semua. Lagu-lagu hits terus menyala terang bagaikan tidak mahu berhenti.
Kesinambungan ‘Prom Night’ Tahun Hadapan
Sehinggakan teriakan “We Want More” dipenuhi dengan senang hati, Melly belanja sebuah lagi lagu “Mungkin” yang memberi gambaran kemungkinan besar akan bertemu lagi tahun hadapan pada sebuah malam ‘Prom Night’ yang direncanakan bakal berlangsung tanggal 31 Mei 2025 nanti. Kepuasan maksima tak tergambarkan pada sebuah persembahan mega extravaganza yang meninggalkan semua dengan curahan bola-bola kecil dan besar sebagai ‘hadiah’ pada kecemerlangan konvokesyen malam itu.
“Semua Cemerlang Lulus Graduasi, Kita Jumpa Di Prom Night 2025.” – Melly Goeslaw
foto kredit: bangsawan pictures