Amir Masdi (AM) Lancar Album Kedua 'Projek Manchester' (PM)

oleh: zizi hashim

Dengan 3 kali ulang cetak, album solo pertama AMIR MASDI (2023) laris manis terjual sekaligus memperkukuhkan kedudukan dan popularitinya sebagai antara penyanyi lelaki terbaik negara. Amir Masdi yang mula mencipta nama menerusi program realiti TV popular iaitu Akademi Fantasia 2016 telah dinobatkan sebagai juara AF2016 setelah bersaing selama 8 minggu bersama 13 peserta lain. Pemilik nama sebenar Amir Syazwan Masdi, 28 tahun terus berkembang mekar dan namanya mulai meniti dari bibir ke bibir menerusi lagu "Kau Sakiti" ciptaan Faizal Tahir yang berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 pada tahun 2021.

Terbaharu, satu lagi pencapaian besar dalam kembara karier nyanyiannya, Amir telah melancarkan album kedua yang diberi nama ‘AM:PM’ pada 12 Oktober 2024 baru-baru ini di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur. Dengan harapan akan mendapat sambutan hangat di kalangan peminat dan pengkritik muzik sama seperti album pertama, Amir bereksperimentasi dengan judul unik 'AM:PM' yang merupakan simbolik kepada cantuman nama Amir Masdi dan Projek Manchester sempena pembikinan album yang dirakam di Volta Lab Studios, Rochdale, Manchester, United Kingdom. Album yang merangkumi pelbagai emosi dan pengalaman hidup Amir Masdi membolehkan para pendengar menikmati perjalanan muzikal dinamik penuh variasi melalui lagu-lagu baru yang dicipta khas untuk membawa mereka mengalami satu eksplorasi emosi yang berbeza. 

Keunikan album ‘AM:PM’ ini bukan sahaja terletak pada persembahan vokal mantap Amir tetapi turut memperlihatkan kemampuannya sebagai pencipta lagu dan penerbit bersama penerbit terkemuka, Edry Abdul Halim. "Album ini sebuah naskah yang sangat istimewa kerana saya diberi peluang untuk menulis lagu daripada zero sehinggalah siap diterbitkan. Kesemua lagu dalam album ini mula ditulis bersama Cikgu Edry yang turut bertindak selaku penerbit album pada November tahun lalu, di mana fasa satu membabitkan konsep, halatuju dan apakah jenis lagu yang ingin ditulis." cerita Amir sambil tersenyum, cerminan rasa bangga dan kepuasan dalaman yang tak terungkapkan.

Amir bersama tenaga kerjanya telah menggunakan duit hasil titikpeluh yang dikumpul sendiri dari persembahan yang dibuat selama ini untuk bergerak ke fasa seterusnya pada Februari yang lalu. Seterusnya, Amir terbang ke Manchester, United Kingdom pada bulan Mac untuk mengejar dan merealisasikan impian bagi produksi album kedua yang dirakam di Manchester. Sepanjang 18 hari berada di sana, Amir telah menulis kesemua 12 lagu, merakamkan vokal dan menghasilkan video muzik. "Perjalanan untuk menghasilkan album ini sangat istimewa buat saya selain memberikan inspirasi untuk terus berkarya dan memberikan yang terbaik.” katanya. "Selain cantuman nama yang mencetus idea AM:PM, ianya juga menggambarkan situasi sewaktu Cikgu Edry berada di Manchester dan saya di Malaysia di mana ketika mesyuarat berlangsung, masa di kedua negara adalah berbeza. Jika di sini siang, di sana pula malam."

Apa yang lebih menarik tentang album 'AM:PM' yang memuatkan sejumlah 12 lagu dilancarkan dalam 2 bahagian berbeza. "Saya mahu kembalikan feel zaman kaset dulu. Album ini diibaratkan ada Side A dan Side B, saya lancarkan dulu bahagian AM pada bulan Oktober yang mengandungi 6 lagu dan 6 lagu lagi pada bahagian PM pula bakal dilancarkan tahun hadapan. Inilah satu lagi gimik dan keunikan album kedua saya ini.” kata Amir Masdi lagi. Album ‘AM’ mempertaruhkan lagu-lagu seperti “Luar Kotak”, “Calar”, “Take Me Home”, “Langit Biru”, “Bakal Kekasih” dan “Nur Cinta”

Selain itu, promosi album 'AM:PM' ini sudah bermula lebih awal apabila poster album ini dipaparkan di papan iklan gergasi atau Billboard di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) Kelana Jaya dan Bukit Bintang sebulan sebelum album dipasarkan. “Bagi saya, ini sesuatu yang sangat eksklusif bukan saja buat album ini tapi secara peribadi sepanjang kerjaya seni saya. Serentak dengan itu, pelbagai cenderahati istimewa seperti baju-T, lanyard, cawan, tote bag dan hoodie turut dihasilkan untuk mengiringi pelancaran album AM:PM ini.” ujar Amir.

Pada petang yang sama, Amir telah mengadakan mini showcase dengan mempersembahkan 10 buah lagu yang terbahagi kepada 2 segmen. Amir tampil segak dalam busana kemeja merah dan celana hitam, mencipta huru-hara di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dengan limpahan gadis-gadis yang menggilai vokal mantap dan aura karisma yang ada pada dirinya. Lagu-lagu seperti "Empayar", medley "Just Give Me a Reason" dan "Bohemian Rhapsody", "Kau Sakiti" dan hits dari album pertama "Berhenti Mencinta" berkumandang merdu pada segmen pertama. Suasana riuh rendah dengan tepuk sorai peminat setia Amir Masdi yang begitu teruja berpeluang menyaksikan secara dekat 4 mata dengan idola mereka disamping menjadi antara yang pertama melihat Amir mendendangkan lagu-lagu dari album terbaru secara live.

Segmen ke-2 sudah tentu meledak dengan seleksi lagu-lagu album terbaru Side AM, memperlihatkan Amir tidak lokek belanja kesemua lagu "Luar Kotak", "Calar", "Take Me Home", "Langit Biru", "Bakal Kekasih" dan "Nurcinta" semata-mata untuk meraih reaksi dan penerimaan peminat terhadap produk terbaru nukilannya. Secara peribadi saya jatuh cinta 'dengar pertama' pada lagu "Langit Biru" yang mesra telinga dan gemersik, sesuai dengan vokal Amir yang serak-serak basah disamping senikata lagu yang menitip semangat positif untuk terus terbang tinggi. Amir sempat berseloroh apabila mengajak para peminat untuk sama-sama terbang tinggi bersamanya tetapi cuaca mendung diluar tidak mengizinkan, "Tengok lah langit biru, tapi nampak macam nak hujan kan? Takpe esok masih ada..."

Syabas Amir Masdi, teruskan terbang tinggi! Di usia yang masih muda, kegemilangan pencapaian Amir Masdi sehingga hari ini sentiasa diiktiraf peminat sebagai penyanyi generasi pelapis dengan talenta besar yang membuka mata para pecinta seni di Malaysia mahupun luar negara. Benarlah bak kata Amir, "tanpa hujan dan matahari, tiadalah pelangi." Setakat ini, persembahan Amir Masdi secara langsung tidak pernah mengecewakan dan Amir sentiasa memberikan 100% yang terbaik. Semoga terus cemerlang dalam apa jua yang Amir usahakan, kekal positif dan sentiasa mengharum dalam aura karisma tersendiri.

Selain boleh dibeli dalam bentuk fizikal, album 'AM:PM' juga boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Menariknya lagi, sebelum album dilancarkan lagi, lagu “Nur Cinta” telah dipilih sebagai lagu OST utama drama rantaian 36-episod, ‘Andai Tiada Dia’ terbitan Global Station yang akan bersiaran di Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam mulai 21hb. Oktober 2024. Album 'AM:PM' diterbitkan oleh AR United Music, syarikat rakaman milik Amir sendiri dan diedarkan oleh Nova Music. Jom kita check it out video muzik rasmi single peneraju dari album ‘AM’, terimalah “Nur Cinta”...