55 Tahun Memori Suka Duka Sons of Adam Diraikan Penuh Bermakna

oleh: zizi hashim 

Satu perjalanan panjang bermula pada tahun 1969 sehinggalah ke hari ini – pastinya 5 dekad dipenuhi semangat juang yang tinggi meski terpaksa bertukar barisan line-up berulangkali. Mahu terlihat sinonim seperti band idola Deep Purple, Santana, Cream dan Uriah Heep yang sama lingkungan usia, Sons of Adam diakui dan wajar diiktiraf sebagai ikon rock yang mendahului generasi Search, Lefthanded dan banyak lagi. Meski telah mencapai usia senja, namun tenaga dan jiwa ‘muda belia’ yang tidak dimamah kembara masa, dipersembahkan dalam satu jerayawara istimewa penuh gembira.

Perayaan ulangtahun yang ke-55 telah berlangsung pada tanggal 27 Julai yang lalu, bertempat di Poolside Bistro, Ideas Hotel KL menyaksikan Sons of Adam diterajui oleh Ruzlan Omar selaku ketua kumpulan dan pemain dram membawa hadirin mengembara menaiki ‘mesin waktu’ untuk sama-sama kembali menerawang ke zaman puncak kegemilangan Sons of Adam. Dengan hidangan 16 buah lagu bercampur-aduk lagu cover, lagu baru dan lagu yang pernah menaikkan nama Sons of Adam suatu ketika dahulu. 

Setia bersama Ruzlan Omar adalah sahabat baik sejatinya di bahagian kibod iaitu Ahmad Satiman yang juga komposer lagu-lagu popular era 90an antaranya seperti “Layar Impian” nyanyian Ella dan beberapa lagu nyanyian Shima. Barisan line-up terbaru diperkukuhkan dengan kontribusi Syahril Salleh (vokal), Daud Ardinand (gitar/vokal) dan Ramlee Gunung (bass) memberikan 100% terbaik. Penampilan istimewa Lolen Bonfire sememangnya memberi impak paling terkesan dengan corak permainan gitarnya yang puspawarna. Pertama kali saya melihat gandingan sebegini memberi rasa terhibur.

Persembahan malam itu lebih bermakna dengan kehadiran istimewa line-up original pada tahun 1969 ketika menguna-pakai nama The Gypsies iaitu Harun Santana, Mat Zain dan juga pengurus band, Mustafa. Melihat kegigihan dan semangat yang ditunjukkan oleh Ruzlan Omar pada usia menjangkau 70-an, betapa kuat rasa cinta beliau terhadap muzik Psychedelic Rock dan Blues, memperjuangkan kewibawaan Sons of Adam menerusi energi, fokus, kreativiti, displin dan teknik pengendalian instrument yang jitu dan padu. Hasil cerminan dari 55 tahun pengalaman. 

"Pak Mat Groovy" membuka tirai malam, serta-merta menggamit nostalgia. Lagu garaj pertama yang dirakamkan pada tahun 1972. Vokalis terbaru yang menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh Zahid melarutkan audiens dengan gemersik suara serak-serak basah dendangannya. Pengalaman luas bermain di kelab yang dimiliki Syahril Salleh mencipta kemistri serasi bersama Sons of Adam sebagai frontman terkini.

Bertukar rentak pada lagu seterusnya “Hey Bro!” lagu baru yang membangkitkan mood rancak dengan petikan riff gitar blues garing, ketukan ritma dram konsisten dan bassline yang bersahaja. Teruja dengan karya terbaru ini, diharapkan Sons of Adam terus produktif menghasilkan lebih banyak komposisi baru yang mencerminkan identiti muzik mereka. Percikan semangat dari audiens yang rata-rata adalah fans berat muzik 70-an, meski ada juga generasi baru yang datang, memberikan satu nuansa luarbiasa. 

Riff masyhur "Memori Duka” beralun lembut. Sorakan gemuruh bergema. Ramai turut menyanyi bersama. Lagu yang ditunggu-tunggu ini benar-benar menjentik emosi dan menusuk jiwa dari segi melodi dan senikata lagu. Lagu kegemaran yang menjadi siulan ramai pada era 80an ini memiliki melodi yang sangat indah terdengar di halwa telinga. Kebanyakan yang hadir merakamkan aksi-aksi Sons of Adam di telefon bimbit masing-masing, menjiwai feel lagu demi lagu.

Seleksi lagu-lagu cover seperti “Midnight Blues”, “Crossroads”, “Hoochie Choochie Man”, “Blind Eye”, “Imagine”, “Batuka” dan “Hope You Feeling Better” mengisi slot seterusnya. Setiap lagu mempunyai keunikan tersendiri. Ada yang membawa mesej berat, ada yang mudah dihadam, namun semuanya seronok didengar lazat menjadi santapan telinga. Ramai yang sing-along mengikut rentak irama, Tidak hanya Syahril seorang melantun suara, tugas di bahagian vokal bergilir-gilir dikongsi antara Satiman dan Daud. Lebih menarik lagi apabila audiens disajikan dengan medley lagu-lagu Uriah Heep.

Satu performa mengejut telah membakar ghairah malam apabila Amai, Haji Talib dan Elias telah naik ke pentas untuk satu segmen yang mencipta variasi ritma. “Strange Kind of Women” dan lagu hits evergreen “Kamelia” telah dipilih oleh Elias untuk memberi nyala rasa pada showcase yang ekstrim mengimbau memori ini. Begitu juga apabila Haji Talib memperdengarkan “When The Blind Men Cries” dan lagu wajib era 70-an “Smoke On The Water” berkumandang kerana populariti yang melangkau segenap generasi sebagai outro. Hampir setiap generasi rasanya tahu mengalunkan lagu itu.

Tak terasa malam yang berlalu pantas kerana lagu demi lagu bertukar rentak Rock, Blues dan Balada bawaan Sons of Adam membuatkan semua khayal meneroka alam ‘muda remaja’ masing-masing. Persembahan istimewa penuh bermakna ini telah berjaya mencipta kenangan indah buat semua. Syabas Sons of Adam dan terima kasih untuk hadiah seni berharga ini.

55 tahun penuh memori suka duka, semoga Sons of Adam semakin cekal bercahaya pada tahun-tahun yang bakal mendatang.