Revolusi Fesyen ROCKQUEEN: Berani Namun Sopan

oleh: zizi hashim

Di persada fesyen Malaysia yang sentiasa berevolusi, ratu rock Ella, telah menggegarkan industri muzik selama 4 dekad, kini membawa nafas baharu melalui ROCKQUEEN. Ditubuhkan pada tahun 2021, jenama ini hadir sebagai manifestasi visi seorang artis yang sentiasa berani tampil berbeza. Membawa nafas baharu dalam definisi fesyen kontemporari, ROCKQUEEN menggabungkan keberanian rock dengan keanggunan moden.

"ROCKQUEEN lahir dari impian untuk mencipta perubahan positif," kata Ella dengan penuh semangat. "Kami mahu membuktikan bahawa wanita boleh kelihatan anggun dan bergaya tanpa mengorbankan nilai-nilai kesopanan. Setiap rekaan adalah cerminan keyakinan dan kekuatan wanita moden." Dikenali dengan fesyen elegan dan kerjaya muzik yang mencetus revolusi, visi Ella untuk ROCKQUEEN lahir daripada keinginan untuk memberi inspirasi dan memperkasakan wanita untuk merasa yakin, kuat, dan menjadi diri mereka tanpa rasa ragu. Kami menjenamakan semula maksud kesopanan tanpa mengabaikan gaya."

Setiap rekaan ROCKQUEEN menampilkan keseimbangan unik antara keberanian dan kesopanan. Jenama ini diinspirasikan oleh gaya urban dengan sentuhan kesederhanaan, direka khas untuk keselesaan dalam pergerakan. Setiap helai pakaian adalah hasil gabungan teliti elemen elegan minimalis dengan perincian berani, meraikan keunikan individu sambil tetap berpegang pada nilai tatasusila. Dari pakaian serbaguna yang boleh digayakan untuk pelbagai majlis hingga keperluan harian yang santai dan bergaya, koleksi ROCKQUEEN menjanjikan kepuasan kepada wanita yang ingin mengekspresi keperibadian mereka. Keseimbangan antara pergerakan dan fleksibiliti dalam setiap rekaan menjadikan koleksi ini sangat sesuai untuk wanita moden yang memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan.

Acara pelancaran yang diadakan pada 21 Disember 2024 di Program Muslimah Fest 2024 bertempat di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC) baru-baru ini menjadi pentas untuk memperkenalkan visi ini kepada dunia. Pertunjukan fesyen 10 helai antologi koleksi sulung ROCKQUEEN yang diiringi oleh lagu "Rama Rama" nyanyian Ella yang bertepatan mendefinisikan gaya sopan dalam keberanian mengekspresikan diri. Tidak sah rasanya sekiranya petang itu tidak diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Ella sendiri. Lagu "Layar Impian" pun berkumandang menjadikan petang tersebut pertemuan unik antara muzik dan fesyen.

Sebagai Ratu Rock Malaysia selama hampir 4 dekad, Ella telah menjadi ikon dalam industri muzik Malaysia dengan keunikan tersendiri. Kerjaya muziknya telah mencetuskan inspirasi dan gayanya telah menjadi sumber ilham kepada wanita dari generasi ke generasi. Dengan pelancaran ROCKQUEEN, beliau sekali lagi melangkaui batasan dan mendefinisikan semula norma fesyen dari inspirasi. ROCKQUEEN membawa misi yang lebih besar dari sekadar fesyen. Jenama ini bertujuan untuk mencipta komuniti wanita yang berdaya maju, saling menyokong, dan menjadi teladan. Ia bercita-cita untuk menjadi simbol perpaduan, positif, dan kekuatan dalam kepelbagaian citarasa.

ROCKQUEEN juga mengambil pendekatan digital yang menyeluruh dengan kehadiran aktif di pelbagai platform media sosial. Peminat dan pelanggan boleh mengikuti perkembangan terkini jenama ini melalui Instagram (@rockqueen_brand), Facebook (rockqueen.brand), TikTok (@rockqueen.shop), dan laman web rasmi (rockqueen.com.my).

Dengan gabungan pengalaman Ella dalam industri hiburan dan visinya untuk fesyen kontemporari, ROCKQUEEN bukan sekadar satu lagi jenama fesyen - ia adalah pergerakan yang mengubah cara wanita melihat dan menghargai diri mereka. Di sinilah rock bertemu keanggunan, menciptakan definisi baharu untuk fesyen moden yang sopan. Di mana rock bertemu dengan keanggunan, di situlah ROCKQUEEN mencipta warisan baharu dalam dunia fesyen Malaysia.