oleh: zizi hashim
Mungkin anda pernah dengar apa itu ‘Sacha Inchi’? Meski popularitinya masih baru diterokai, namun ianya telah digunakan secara global beratus-ratus tahun lamanya. Pemegang rekod profil nutrien yang impresif, kepelbagaian potensi manfaat kesihatan, versatile dan lazat serta mudah dinikmati dalam variasi resepi, menjadikan ‘Sacha Inchi’ satu produk yang sangat bagus untuk diet lengkap.
Baru-baru ini, Naurish Sdn Bhd dengan bangganya telah mengumumkan kejayaan pengambilalihan ZEMVELO, jenama terkemuka yang mengkhususkan penghasilan produk Sacha Inchi melalui kilang terbitannya iaitu Sacha Inchi Marketing Sdn Bhd. Ditubuhkan pada 2017, langkah strategik ini memperlihatkan Naurish Sdn Bhd sebagai tunggak utama dalam pasaran Sacha Inchi, berdasarkan komitmen kukuh yang diberikan dalam menghasilkan produk kesihatan berasaskan tumbuhan dan alam semulajadi yang berkualiti tinggi.
Bertempat di Kafe Sarawak Johor, Damansara Perdana pada tanggal 23 Disember, Majlis Pelancaran Produk Kesihatan Zemvelo dan Sacha Inchi berwajah baharu telah diadakan dengan meriah dan jayanya. Ini berikutan pengambilalihan 22 syarikat jenama OEM Sacha Inchi di bawah naungan Sacha Inchi Marketing Sdn Bhd, memberi peningkatan yang ketara dalam portfolio Naurish Sdn Bhd yang berkembang maju.
“Target kami adalah mana-mana individu yang mahu mengambil dan memerlukan supplemen tambahan, tak kiralah sesiapapun, tapi mengutamakan pada yang menghidap penyakit tiga serangkai.” bicara dimulakan oleh Karl selaku Ketua Pegawai Komersial Zemvelo pada pagi itu.
Majlis yang dikelolakan oleh pengacara Zainal Alam Kadir itu turut dihadiri oleh Mohd Farhan Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Naurish Sdn Bhd. “Produk kami ini boleh dibeli melalui website Zemvelo www.zemvelo.com.my dan boleh juga dibeli di Shopee serta melalui stokis-stokis yang dilantik bagi memudahkan anda untuk mendapatkan produk ini.” sambungnya lagi.
Tentu ramai tertanya-tanya apa itu ‘Sacha Inchi’ kan? Dengan nama saintifiknya, Plukenetia Volubilis, ianya merupakan tumbuhan asli yang berasal dari Carribean, Amerika Selatan. Buah yang ditanam dari benihnya yang besar dan boleh dimakan ini, dirujuk sebagai kacang gunung atau kacang incha dan dijadikan makanan tradisi oleh masyarakat orang asli di Peru. Biasanya biji buah dipanggang dan dimakan, dikisar menjadi serbuk halus dan ditambah kepada makanan. Selain itu, minyak diekstrak daripada biji dan digunakan dalam masakan atau produk penjagaan kulit. Teh Herba turut dihasilkan melalui daun tumbuhan yang telah dikeringkan.
“Kami merasa bangga dengan komitmen untuk menghasilkan gelatin softgel berasaskan 100% sayuran ini. Sama sekali tidak menggunakan bovin atau elemen berasaskan haiwan lain. Pelbagai lapisan pengguna boleh menggunakan minyak Sacha Inchi tanpa was-was termasuklah vegetarian dan vegan. Kami sangat menekankan kepentingan pemilihan produk oleh pengguna, kerana softgel didalam pasaran mungkin berasal dari sumber yang bukan berasaskan tumbuhan serta status halal yang meragukan.” ujar Karl penuh antusias ketika bercerita tentang perbezaan beberapa produk di pasaran yang mengisytiharkan softgel mereka berasaskan tumbuhan dan halal tanpa pengesahan yang betul.
“Zemvelo bangga memegang sijil HALAL dan kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berdaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) demi mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap standard global dan keselamatan produk.” Komitmen dan kecemerlangan Naurish Sdn Bhd tidak terbatas pada sijil sahaja. Setiap produk telah menjalani proses ujian makmal yang ketat dalam memastikan kesemua tahap vitamin dan omega 3, 6, 9 memenuhi standard kualiti tertinggi.
Sacha Inchi kaya dengan nutrisi protein, serat dan lemak yang menyihatkan jantung. Satu hidangan Sacha Inchi mengandungi 70 kalori, 3 gram protein, 5 gram lemak, 1 gram kabohidrat dan 1 gram serat. Sacha Inchi memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan kardiovaskular, mengurangkan keradangan dan menggalakkan fungsi otak. Antara produksi yang dihasilkan dan boleh dibeli ialah softgel, filem oral dispersible (yang diletakkan dibawah lidah), sabun, serum, salutan coklat kacang sacha inchi dan kopi.
Dalam memanfaatkan anugerah alam semulajadi, Naurish Sdn Bhd menawarkan khidmat dengan penghasilan produk luarbiasa dan berkualiti serta memberi komitmen untuk kehidupan yang lebih baik. Alami sendiri faedah dari supplemen lengkap Zemvelo yang 100% organik ini, bagaimana ia membantu memperbaiki taraf kesihatan anda dalam mengurangkan tekanan darah tinggi, menurunkan kadar gula dalam darah (diabetis), mengawal kolesterol dan anti penuaan.
“Zemvelo target jualan mampu cecah sehingga RM200 juta sepanjang 2024 nanti, susulan dari penjenamaan semula ini serta strategi memperluaskan pasaran ke peringkat global. Setakat ini jualan sudah mencecah RM6 juta.” Karl mengakhiri majlis dengan harapan Zemvelo mendapat sokongan padu dari masyarakat demi mewujudkan gaya hidup yang sihat.