Haruman Mewah Verlune, Karya Cinta Dato' Jamal Buat Isteri

oleh: zizi hashim

Memperkenalkan minyak wangi hasil rekaan Dato' Jamal Abdillah yang tercetus dari ilham menerusi metamorfosis cinta kepada Datin Zai Izzati, isteri tersayang. Setiap hembusan haruman adalah memoir sebuah perjalanan cinta dua jiwa. Di sini, Dato' Jamal telah menggubah rasa kasih sayangnya dalam dimensi aroma, mencipta sebuah monumen perasaan yang dapat dihidu namun tidak dapat disentuh. Verlune bukan sekadar produk, ia adalah deklarasi cinta yang diukir dengan penuh keikhlasan. Satu dedikasi tulus dari hati seorang suami yang mengabadikan tulus kasih setinggi langit, penanda keharmonian rumahtangga yang dipelihara dengan kasih dan pengertian.

“Syukur Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dan berterima kasih kepada semua yang sudi hadir meluangkan masa dan memberi sokongan pada majlis pelancaran produk parfum Verlune by Dato’ Jamal.” kata Dato' Jamal Abdillah ketika ditemui di sidang media eksklusif pada petang 12 Disember 2024 bertempat di Slow Wood Coffee, Mont Kiara baru-baru ini. Lebih istimewa, kehadiran Datin Zai Izzati berbadan dua di samping Dato' Jamal memperkukuhkan lagi keberkesanan promosi dan merealisasikan hasrat Dato' Jamal untuk menghadiahkan kelangsungan urusniaga produk Verlune di tangan isterinya itu.

"Verlune," kata Dato' Jamal, "adalah terjemahan bahasa Perancis yang mebawa maksud 'bulan'. Isteri saya laksana bulan yang sentiasa ada di sisi saya meski kadang tidak nampak, tetapi sebenarnya ada. Seperti bulan, ianya adalah metafora kehidupan, mencerminkan ketenangan di tengah kerumitan, cahaya yang menemani dalam kegelapan. “Bulan mencerminkan ketenangan dan kestabilan yang saya alami sendiri ditengah-tengah kerumitan serta ujian dalam kehidupan profesional saya sebagai seorang penyanyi. Malah maksud Verlune itu sendiri melambangkan keteguhan, cahaya dan cinta.” ujarnya lagi, membuka selubung makna yang tersimpan di sebalik nama minyak wangi ini. 

Wangian campuran bunga dan woody notes mengalir bagaikan cerita cinta yang kompleks: mewah, anggun dan moden. Ia bukan sekadar haruman, malah satu pernyataan gaya hidup yang diukir dengan penuh nuansa.

Harga RM198 adalah pengakuan kepada kualiti sebuah karya seni, namun promo istimewa RM149 pada pelancaran pertama di tarikh istimewa 12.12.2024 adalah undangan kepada para pencinta wangian untuk turut serta dalam kisah cinta ini. 

Pasti terpesona dengan aroma mewah Verlune, Dato' Jamal memberi jaminan dengan harga berbaloi yang harus direbut tanpa lengah lagi. Verlune by Dato’ Jamal kini boleh dibeli melalui platform dagangan e-digital TikTokShop @lecreateurdesparfum