oleh: zizi Hashim
Berbangga kerana berjaya meraih pengiktirafan sebagai Agensi Platinum No. 1 di Malaysia, sejak memulakan operasi lebih 2 tahun lalu pada Disember 2021, KamiSempoi turut berada di carta Top 5 Agensi TikTok di Asia Tenggara. Terbukti bukan calang-calang, kejayaan dan pengiktirafan tersebut sekaligus membantu mengukuhkan kedudukan mereka sebagai syarikat TikTok terbesar tempatan yang banyak melahirkan Content Creator TikTok dan Influencer TikTok di aplikasi dan platform media sosial tersebut.
Dalam pada masa yang sama, KamiSempoi International Agency (KSIA) berjaya meluaskan empayar mereka di Singapura dan Indonesia dengan pencapaian memiliki 1,300 live host TikTok di Malaysia, 100 live host TikTok di Singapura dan 550 live host TikTok di Indonesia serta dinaungi oleh 21 sub-agensi. Mutakhir ini KSIA sudah bersedia mengorak langkah lebih jauh lagi sejajar dengan pencapaian yang diraih itu. Agenda utama mereka adalah untuk membantu mereka di luar sana yang ingin menjadi Influencer dan menjana pendapatan sebagai host live TikTok.
“KSIA tidak sama seperti agensi-agensi lain kerana kami tidak putus-putus mengadakan latihan secara percuma kepada live host TikTok kami, tidak kira yang bernaung terus dibawah KSIA sendiri atau sub-agensi kami. Banyak ilmu akan dapat diperolehi daripada sesi latihan ini.” bicara To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Cin Swee selaku pengasas KSIA pada petang 20 April 2024 dimana berlangsungnya sidang media memperkenalkan agensinya bertempat di Pavilion Bukit Jalil.
“Kami mahu mengasah TikToker ‘mencipta konten’ yang berkualiti dan memberi idea kreatif untuk live host sentiasa ‘engaged’ dengan pengikut supaya mereka memperolehi ramai pengikut. Ini mampu memberi impak positif dimana mereka dapat menjadikan platform TikTok sebagai satu sumber pendapatan. Oleh sebab itulah kami tidak pernah putus asa memberikan latihan yang berterusan.” tambahnya lagi penuh harapan. “Latihan adalah sangat penting kerana kami mahu pastikan live host naungan KSIA menghasilkan konten hiburan yang bukan saja menarik tetapi memberi manfaat berguna.”
Penekanan terhadap konten hiburan yang menarik dan bermanfaat adalah untuk mengelakkan TikTokers menghasilkan konten-konten bersifat ‘mengemis’. Atas sebab itu, pentingnya latihan dan guidance dari KSIA untuk membantu mereka memahami garis panduan yang sudah ditetapkan TikTok kerana garis panduan komuniti TikTok sangat ketat dan tegas. “Nak kena ban tu memang cukup senang, jadi kita nak elakkan. Kita nak bantu mereka menjana pendapatan bulanan yang tinggi.” tuturnya lagi.
Baru-baru ini, KSIA telah membuat pembaharuan dari sudut logo dan penjenamaan semula bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam dunia perniagaan di pemasaran digital. Usaha mereka diteruskan lagi dengan penganjuran KamiSempoi Golden Award 2023 yang memberi pengiktirafan kepada live host TikTok dan sub-agensi mereka kerana turut membantu menaikkan nama serta keduduka KSIA sebagai syarikat agensi TikTok berpengaruh di Malaysia.
Setakat ini KSIA memiliki lebih 30 orang selebriti sebagai host live TikTok. Antaranya yang aktif adalah pelakon Riezman Khuzaimi atau lebih popular dengan nama Abang Don, Nita Hamzah, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Nadia Mustapha serta Acong Sweetchild. Kelonggaran untuk menyertai latihan yang disediakan diberi kepada golongan selebriti kerana memahami kesibukan dan komitmen mereka terhadap kerjaya seni mereka.
Pada petang itu juga, aktor Riezman Khuzaimi atau Abang Don telah dilantik sebagai Duta KamiSempoi International Agency. Pemilihan dibuat berdasarkan rekod pendapatan tertinggi yang pernah dipegang olehnya dan kini sudah naik-taraf membuka sub-agensinya dibawah KSIA. Riezman Khuzaimi menganggap pemilihannya sebagai Duta KSIA sebagai satu penghormatan dan menggalas tugas membantu menjayakan kempen dan beberapa aktiviti yang dijalankan oleh KSIA. “In sha Allah, KSIA ada merancang untuk membuat jelajah bergerak di beberapa tempat. Kita tunggu nanti.”
Pada hari yang sama berlangsungnya sidang media itu, sebuah penganjuran acara berbentuk anugerah iaitu KamiSempoi Golden Award 2023 turut diadakan di Exhibition Hall, Pavilion Bukit Jalil. Sebanyak 7 kategori telah disediakan kepada sub-agensi, manakala 15 kategori untuk live host yang terdiri daripada pelbagai latar-belakang. Ada yang terdiri dari golongan selebriti, professional, ahli perniagaan, pelajar, surirumah sehinggalah ke golongan istimewa (Orang Kurang Upaya).
“Selain meraikan pencapaian KSIA, matlamat kami menganjurkan acara anugerah ini adalah untuk memberi penghargaan kepada live host dan sub-agensi naungan kami. Mereka telah banyak bekerja keras selama ini.” kata Pakcik Cin Swee. “Tanpa mereka, tidak mungkin kami berada di kedudukan sekarang ini. Ini adalah penganjuran kali kedua, sebelum ini diadakan di Sepang. Semoga ianya akan menjadi acara tahunan kami.”
Jika anda ingin mempunyai impian untuk menjadi live host TikTok, boleh datang ke KSIA kamisempoi.com untuk mendapat tunjuk-ajar, bantuan dan pemahaman terperinci sebagai persiapan bagi menggapai impian anda itu.