oleh: zizi hashim
Pencinta filem jenayah dan misteri pasti akan teruja dengan kehadiran filem berjudul 'Woman of the Hour' (WOTH) yang sudah bermula tayangan pada 3 Oktober 2024 ini. Filem mendebarkan yang dibalut dengan ketegangan kontroversi ini ternyata diangkat berdasarkan dari kisah benar mengenai seorang wanita yang mengikuti program TV popular 'The Dating Game' pada tahun 1978. Program TV itu mempertemukannya dengan seorang lelaki yang konon dirasakan sesuai dan tepat sebagai jodohnya. Namun rupanya ada sisi gelap dari sang lelaki yang tidak diketahui oleh wanita itu. Lebih menakutkan lagi, lelaki itu adalah pembunuh bersiri bernama Rodney Alcala yang pernah heboh diperkatakan pada era 70an berikutan siri pembunuhan ngeri, sadis dan kejam yang dilakukannya.
Buat pertama kalinya, Anna Kendrick yang memegang watak utama sebagai Cheryl Bradshaw, seorang pelakon bercita-cita tinggi yang mencari kemasyhuran, turut menyarungkan topi sutradara bagi mengarahkan filem WOTH ini. Dalam program TV tersebut, Rodney Alcala menjadi salah seorang dari 3 lelaki bujang yang berusaha memenangi hati Cheryl. Meski penampilannya kelihatan seperti lelaki normal, tiada siapa yang tahu bahawa kehidupan Alcala lebih gelap daripada yang dapat dibayangkan. WOTH memperlihatkan serba sedikit aksi-aksi kejam Alcala dari sepanjang tahun 1968 sehingga 1979 (namun tidak sepenuhnya) sebelum ditangkap dan merengkok di dalam penjara.
Watak Rodney Alcala cemerlang ditangan Daniel Zovatto, tampak menarik dan normal dari luaran, bijak berkata-kata, paling sweet talker, dengan mudah buat gadis-gadis cair dan pandai putar belit cerita untuk menyembunyikan identiti sebenar disebalik cermin seorang jurugambar kononnya. Padahal dia adalah mimpi ngeri yang sangat disturbing. Bertukar dari seorang yang simpatik, penuh perhatian dan mengambil berat kepada seorang tiba-tiba kejam dengan sifar ekspresi, bertindak ganas merogol satu persatu mangsa-mangsanya tanpa belas kasihan. Dari kacamata seorang lelaki seperti Alcala, WOTH menggambarkan kompromi dan momen hening yang harus ditanggung oleh wanita di hadapan lelaki yang berselindung disebalik identiti palsu.
Meskipun telah disabitkan sebagai pembunuh dan pemangsa kanak-kanak, Rodney Alcala masih berjaya muncul di 'The Dating Game' kerana pemeriksaan latarbelakang yang lemah. Ketika itulah dia diberi peluang untuk bertemu dengan Cheryl Bradshaw. Namun, kebijaksanaan Cheryl telah menyelamatkan nyawanya apabila dia mulai mengesan ada sesuatu yang 'tidak kena' dengan Alcala. Dalam filem ini, Cheryl terlihat sebagai salah seorang terlepas dari menjadi mangsa pembunuhan kejam. Jumlah sebenar mangsa Rodney Alcala sehingga kini masih belum diketahui dengan pasti, tetapi dianggarkan terdapat sehingga 130 orang, termasuk kes pembunuhan dan jenayah seksual.
Gaya arahan Kendrick di kerusi sutradara terlihat sangat impresif, dengan penampilan kuat secara menyeluruh, termasuk potret Alcala di bawah lembayung Zovatto yang sangat menghantui. Sinematografi WOTH juga dengan jelas menangkap atmosfera suasana Los Angeles sekitar tahun 1970-an, memberi markah tambah pada kualitinya yang imersif. Plot cerita yang penuh debar dan mengejutkan, sekaligus mencuri tumpuan, diterjemahkan dengan mahir ke layar skrin, dan dengan keterampilan mengangkat tema misogynist dan kekerasan. Ini adalah tontonan yang sangat intens dan saya begitu menikmati setiap momen, memuji keberhasilan Kendrick dalam dunia sutradara, meski baru kali pertama. Kalau menurut saya, WOTH adalah kisah benar yang lebih aneh dari fiksyen.
Naskhah tulisan Ian McDonald ini turut dibintangi oleh Tony Hale, Nicolette Robinson, Pete Holmes, Autumn Best, Kathryn Gallagher dan Kelley Jakle. Kendrick selaku teraju utama memperagakan salah satu persembahan terbaiknya setakat ini. Sukar untuk tidak terinspirasi oleh keperibadian gagah dan kemampuan untuk mempertahankan diri yang diserlahkan oleh karektor yang dilakonkannya. 'Woman of the Hour' pasti akan membantu para wanita yang menonton untuk belajar mempercayai naluri mereka. Tidak perlu menjadi gadis yang terlalu lurus mengikuti sesuatu yang tidak dikenali asal usul (meski nampak baik) apabila sejak dari awal lagi sudah berasa tidak nyaman seperti ada sesuatu yang tidak kena, kerana rasa naluri itu benar-benar memberi isyarat atau amaran tegas agar jangan memperjudikan nyawa sendiri.
Turut dipaparkan menerusi filem ini adegan lain yang melibatkan tentang kematian seorang pramugari yang dirogol dan dibunuh ketika meminta pertolongan Alcala untuk membantu mengalihkan barang-barang di apartment barunya. Begitu juga dengan adegan seorang gadis homeless yang OKU dan lari dari rumah telah terserempak dengan Alcala, terpedaya mengikutinya tanpa usul periksa. Kononnya Alcala tertarik untuk mengambil foto dirinya yang dipuji sebagai fotogenik dan telah membawanya ke suatu tempat sunyi. Dari situ tercetuslah konflik demi konflik yang mengejutkan.
Sejak dari awal menonton dan meneliti gaya filem ini, mudah untuk langsung menyedari dengan serta-merta bahawa sangkala lensa fokus menangkap suasana di era 1970-an. Pakaian, rekabentuk set, semuanya dilaksanakan dengan sempurna. Halatuju dan sinematografinya membuatkan saya dan penonton lain tetap berasa gementar, tidak selesa dan resah gelisah, meski sudah mengetahui sinopsis butiran peristiwa tentang kejadian yang menimpa Rodney Alcala.
WOTH memberi tumpuan terhadap situasi yang dihadapi wanita dalam realiti kehidupan setiap hari. Fokus subjeknya sangat berat kerana ada banyak adegan yang benar-benar menakutkan, namun pada masa yang sama terdapat juga beberapa pengajaran hebat untuk dipelajari. Harus dipuji sebagai langkah bijak untuk memperkisahkan kejadian traumatik yang dipertontonkan pada layar skrin supaya dapat memberi pemahaman, pengajaran dan langkah berhati-hati yang harus menjadi peringatan pada masa-masa tertentu, bergantung pada situasi yang dihadapi.
Bersinar terang sebagai bintang dan sutradara filem 'Woman of The Hour', adalah sungguh memeranjatkan apabila melihat Anna Kendrick dalam thriller yang penuh emosi mendalam, kerana sebelum ini dia lebih terkenal dengan peranan komedinya. Dia berjaya membawa kelainan pada watak kali ini dan untuk mencapai prestasi sehebat itu bagi filem pertama arahannya adalah sungguh mengkagumkan. Ketara jelas bahawa Kendrick telah membuat catatan sepanjang kareer lakonannya selama ini dengan harapan suatu hari nanti mampu untuk berada di belakang lensa kamera. Saya harap ini bukan yang terakhir kali untuk melihat Kendrick dalam genre filem sebegini.
Berada pada durasi intens sepanjang 95 minit duduk di kerusi panggung di kalangan penonton lain, saya akui berasa kagum dan sedikit tercengang apabila filem berakhir. Saya terus membuat carian google tentang si Rodney Alcala yang selama ini tidak saya ketahui mengenainya langsung. Banyak penemuan menakutkan tentang pembunuh bersiri yang memiliki lebih dari 1,000 keping foto eksplisit mangsanya dimana beberapa keping foto di antaranya kemudian digunakan untuk membantu siasatan kes orang hilang yang belum diselesaikan. Alcala telah dijatuhkan hukuman mati, namun meninggal dunia pada tahun 2021 di usia 77 tahun akibat 'sebab semulajadi' yang tidak jelaskan secara terperinci di Corcoran, California. Tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula sejak 3 Oktober 2024, anda yang gemarkan filem jenayah misteri pasti akan sependapat dengan saya. jom tonton?