Filem 'Jangan Pandang Belakang 2' Kekal Cetus Rasa Seram Untuk Toleh Ke Belakang

oleh: zizi hashim

Saya masih ingat lagi (dengan begitu jelas) pada 17 tahun yang lalu, saat pertama kali menonton filem seram 'Jangan Pandang Belakang' (JPB) lakonan Pierre Andre dan Intan Ladyana bersama Allahyarham bekas suami saya pada ketika itu, arwah ada menjerit agak kuat tanpa sengaja pada babak kereta berhenti di tepi jalan. Meski saya akui babak itu benar-benar seram, bahkan sehingga ke hari ini jika diulang tayang menonton masih terasa meremang bulu tengkuk, saya sempat mengusik arwah dengan jenaka "Ish, suami siapa yang menjerit kuat ni? Buat malu je.." disambut gelak ketawa ramai dari seluruh panggung.

Dan kini, setelah sekian lama berlalu, berbelas tahun lamanya, nuansa yang sama berulang kembali. Bagai dejavu, rasa seram dan ngeri yang sama, tak lebih tak kurang, dipotretkan pada sekuel 'Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu' (JPB2) seawal babak pertama lagi. Bagi yang pernah menonton JPB, tentu sudah faham benar akan jalan cerita yang merupakan kesinambungan dari apa yang tertinggal, namun bagi yang pertama kali menonton juga masih tetap boleh faham dan tidak akan lost kerana susunan alur cerita yang simple dan mudah difahami. Setelah kematian Opah, saka keluarga mulai mencari tuan pewaris yang baru. Disitulah semuanya bermula. 

Diproduksikan oleh Metrowealth International Group (MIG), filem yang pernah mencipta gelombang fenomena pada sekuel seram pertama, membawa kelainan apabila Pierre Andre tidak lagi berlakon sebagai teraju utama kali ini. Sebaliknya menaiktaraf posisi Pierre Andre sebagai sutradara yang diberi kepercayaan penuh setelah hiatus selama hampir 10 tahun, dan menghilangkan terus watak Dharma dalam sekuel JPB2 ini. Pierre ketika ditemui pada majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana filem JPB2 memberitahu bahawa beliau telah cuba memberikan sehabis baik untuk karya terbarunya sekaligus memberi jaminan filem ini adalah lebih seram berbanding sebelumnya. "Ini filem paling seram yang pernah saya hasilkan." Kata-kata itu secara automatik menjadikan JPB2 masuk ke senarai filem WAJIB TONTON bagi tahun 2024.

Efek khas tatabunyi dan pencahayaan yang terhasil melalui JPB2 sangat mempengaruhi penonton untuk mempercayai seolah-olah turut sama berada dalam situasi sebenar pada setiap babak. Seluruh panggung ternanti-nanti kemunculan atau penampakan entiti kelam berambut panjang, dalam debar dan cemas yang bagaikan tidak berpenghujung. Boleh tahan banyak juga jumpscares yang buat jantung gugur hanya pada babak Mak Lang (lakonan luarbiasa hebat oleh Khatijah Tan) diganggu ketika cuba menyempurnakan solatnya sebaik sahaja Opah selesai dikebumikan. Gangguan demi gangguan yang dialami Mak Lang jelas terpapar pada mimik muka dan garau suaranya, cukup intens dan menyeramkan sehingga ramai di antara penonton menutup mata dan muka dengan tangan.

Karektor yang dipegang oleh Emma Maembong membawa watak Lynn juga terlihat kuat berhadapan dengan ibunya sendiri yang boleh dikatakan 24 jam kerasukan. Lynn tekad untuk menjaga sendiri ibunya apabila melihat keadaan ibunya yang semakin teruk. Meski terpaksa berhadapan dengan pelbagai kejadian mistik, kasih seorang anak dalam menyelamatkan ibunya membuat Lynn berani dan sanggup berbuat apa saja. Percaya pada saka keluarga yang sekian lama diwarisi, Lynn tidak mahu mengalah dan terus cuba memutuskan rantaian turun-temurun keturunan yang semakin membebankan. Dengan bantuan Hafiz (lakonan Alif Hadi), rakan sekampung yang dikenali sejak kecil, Lynn mencari jalan ikhtiar bagaimana menghapuskan saka atau jin yang mengganggu. 

Sepanjang durasi 1 jam 44 minit, padat menyerang mental penonton dengan jumpscares yang muncul bertubi-tubi. Lepas satu, satu dan satu lagi dan lagi. Memang terencat jantung dibuatnya, sumpah tak tipu. Konflik demi konflik dan peristiwa misteri dipersembahkan dengan pantas tanpa kehilangan intipati jalan cerita itu sendiri. Saya sendiri tertanya-tanya "Apa lagi lepas ni?" pada setiapkali pertukaran adegan dan turut terasa stress melampau apabila hantu yang mengganggu datang dalam pelbagai cara seperti mengetuk pintu bertalu-talu, lampu berkelip laju, penampakan samar-samar di sana sini dan efek bunyi berkeriut yang kedengaran memberi rasa seram maksima penuh tanda-tanya.

Sesuai judulnya, JPB2 kerapkali menimbulkan rasa kuat untuk menoleh 'pandang ke belakang' meski telah diberi amaran awal. Bagaimana jangan? Kalau itu yang bikin penasaran. Sudahlah takut, tambah stress lagi! Dalam hal ini, penonton diberi perspektif tentang pelbagai perkara mistik yang pasti akan berlaku (kebanyakannya) apabila kereta Lynn berhenti di tengah jalan dalam pekat malam. Ramai penonton menjerit ketika Lynn turun dari kereta untuk memeriksa itu ini, kerana pada ketika itulah hantu misteri itu naik 'menumpang' keretanya tanpa Lynn sedari. Hantu berambut panjang ala pontianak itu sememangnya benar-benar seram dan siap sedia 'menelan' penonton dalam ketakutan.

Secara peribadi, saya tidak begitu menyukai kemunculan Doktor Azim (lakonan Iedil Dzuhrie Putra) yang pada mulanya diharap akan membantu Lynn dalam merawat Mak Lang namun sayang sebaliknya pula. Tentunya saya tidak mahu dan tidak boleh spoiler, cukup saya katakan nanti akan ada plot twist pada penghujung cerita, mesti tonton kalau ingin tahu kesudahannya. Kredit harus diberikan pada pemilihan barisan pelakon yang cukup bertepatan dan memberikan hasil kerja bersesuaian dengan tanggungjawab berat yang digalas dalam usaha menjadikan JPB2 sekali lagi fenomena seperti  sebelumnya. Antara pelakon lain yang terlibat ialah Mawar Rashid, Ruminah Sidek, Hafizuddin Fazil, Cat Farish, Kel Narina dan ramai lagi.

MIG telah mengumumkan dengan bangga catatan rekod JPB2 bakal ditayangkan di 14 negara seluruh dunia, bermula tayangan pada 21 November 2024 ini. Jom ramai-ramai tonton filem seram produksi tempatan 'Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu' ini, anda akan terpesona dengan sinematografi dan framing yang spektakular mewujudkan rasa ngeri, meremang dan menghantui anda apabila menontonnya. Pastikan tengok sehingga akhir filem kerana ada kejutan yang berlaku, atau mungkin kesinambungan? Jangan lepaskan...