Twilight of the Warriors: Walled In: Satu Letupan Fenomena Hong Kong

oleh: zizi hashim 

Sebuah filem Hong Kong bergenre seni bela diri karya Soi Cheang yang diantipasikan pada skala tertinggi, Twilight of the Warriors: Walled In (TOTW:WI) telah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 17 Mei yang lalu. Ketika dunia perfileman di Hong Kong memerlukan satu ransangan yang padu untuk menghidupkan kegemilangan mereka, ia datang dalam pakej seni bela diri yang epik, dibalut dengan satu letupan penuh fenomena. Dibintangi nama-nama besar serta pelapis yang semakin mencipta nama, semuanya ‘dibungkus’ kemas dalam dinding lagenda Kowloon ‘Walled City‘ pada era 80an di zaman kegemilangan jenayah dan dadah.

Untuk rekod, filem TOTW:WI ini adalah filem seni bela diri yang paling terbaik dari Hong Kong sejak bertahun-tahun lamanya dan dedikasi yang diperlihatkan oleh sutradara Soi Cheang, semua pelakon dan krew sememangnya menakjubkan. Perjalanan cerita mungkin sedikit old-fashion namun kesederhanaan itulah menjadikan fokus lebih tertumpu kepada karektor watak dan aksi yang dipamerkan. Berpeluang menyaksikan filem sebegini di skrin layar lebar, memberikan satu momen rare penuh kepuasan buat pecinta filem seni bela diri yang telah lama menderita. 

TOTTW:WI merayakan keragaman sinematografi dengan menjanjikan tontonan aksi seni bela diri yang memukau dibawa secara langsung dari Hong Kong. Di bawah pimpinan oleh nama-nama ‘pembangkit kuasa’ besar seperti Sammo Hung, Louis Koo, Richie Jen dan Aaron Kwok dikombinasikan dengan bintang yang semakin meningkat naik seperti Raymond Lam, Philip Ng, Terrance Lau, Tony Wu dan German Cheung, satu acuan yang betul-betul menjadi.

Setiap karektor dicipta dan diberikan fokus terperinci yang sangat detail dan mendalam. Dengan seluruh penampilan intense yang luarbiasa, satu-satunya yang begitu menarik perhatian saya secara khususnya adalah sensasi bela diri, Louis Koo. Keperibadian yang sentiasa tampak cool dan bersahaja, tanpa perlu berlebih-lebih, Cyclone memperluaskan pesona karismanya yang mencuri perhatian dengan kombinasi kecekapan fizikal unggul yang mengancam penjahat. 

Diadaptasi dari novel City of Darkness karya Andy Seto, Twilight of the Warriors: Walled In terjun ke dalam dunia benteng Kowloon ‘Walled City’ yang membuka mata dunia. Filem ini benar-benar buat saya ikut teruja dengan penampilan pertarungan spektakular dan plot cerita menawan hati sejak dari awal cerita bermula. Ekspetasi berlebihan boleh mengecewakan dalam beberapa kes tetapi tidak dari filem ini. TOTTW:WI menyampaikan secara menyeluruh, sebagai epik aksi sudah tentu, tetapi juga tentang kemanusiaan.

Berlatarbelakangkan Kowloon ‘Walled City’ 80an yang merbahaya dan penuh enigmatik, saya merasa terbenam dalam suasana legenda dan misteri penyampaian urutan aksi gembira dan naratif mencengkam dalam lingkungan yang sama. Meneruskan tradisi dengan adegan pertarungan menakjubkan yang direka oleh lakonan cemerlang dan berdedikasi, masing-masing menyumbang kepada status lagenda mereka. 

Mengisahkan tentang pemuda bermasalah Chan Luk-Kwun yang secara tak sengaja memasuki ‘Walled City’, akur mematuhi tertib di tengah huru-hara dan mempelajari tentang struggle-nya hidup di kota itu. Di situ juga dia berkawan rapat dengan Shin, Twelfth Master dan AV. Di bawah pimpinan Cyclone, mereka menentang pencerobohan penjahat Mr. Big dalam siri pertempuran sengit. Bersama-sama mereka berikrar untuk melindungi Kowloon ‘Walled City’.

TOTTW:WI bukan sahaja menyuntik energi segar ke dalam industri perfileman China malah turut mendapat pengiktirafan di Anugerah Filem Hong Kong ke-42 dengan merangkul 2 anugerah, bukti kualiti dan impaknya. 

Pelakon veteran dan tokoh penting dalam filem ini, Sammo Hung yang membawakan watak ‘Mr. Big’ baru-baru ini menerima ‘Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat’ ekoran komitmen dan peranan dalam pelbagai aspek sebagai penerbit, pengarah, koreografer aksi dan pelakon, menggariskan kejayaan terhadap industry filem Hong Kong. Sutradara Soi Cheang menerima anugerah ‘Pengarah Terbaik’ dalam majlis yang sama menekankan intipati Hong Kong yang unik dan peluang yang jarang berlaku untuk mempamerkan pada khalayak yang lebih luas. “Meskipun ‘Walled City’ mungkin sudah tiada, warga kerja kami tetap ingin mengekalkan legasi yang berterusan.” katanya bangga.

Dibawakan kepada anda di Malaysia oleh Lotus Five Star Sdn Bhd, Five Star AV Sdn Bhd, MBC Vision, Elepfilm Entertainment, Ten Young Entertainment, De Kangaroo Production dan Dreamax Entertainment dengan kolaborasi Infinity Entertainment Marketing Sdn Bhd, jangan lepaskan peluang anda untuk merasai aksi menyayat hati serta menghayati semangat brotherhood dalam Twilight of the Warriors: Walled In di skrin terbesar pawagam berdekatan anda. Telah meraih kutipan Box Office RM3.2 juta ketika review ini ditulis.