oleh: zizi hashim
“Trinil, Balekno Gembungku!” ucapan dialog dalam bahasa jawa yang kerap diulang-ulang dalam filem ini memberi rasa gerun yang cukup menyeramkan. Serta-merta terbayang kepala hantu terbang dengan tali perut terurai-urai, merayau-rayau mencari tubuhnya untuk dicantumkan semula. Kalau di negara kita, kebanyakan orang lebih tahu mengenai Hantu Penanggal atau Balan-Balan. Sementara di Indonesia pula, ianya digelar Setan Kuyang – adakah hantu dari spesis yang sama? Yang pasti hanya ada kepala tanpa tubuh.
Berada dalam durasi 1 jam 41 minit, filem ini memiliki ruang yang cukup untuk persembahan sajian horror kolaborasi dua negara. Peranan Hanung Bramantyo di kerusi sutradara sempat membuat ramai penasaran kerana sebelumnya Hanung lebih banyak menggarap filem drama cinta. Selama 17 tahun memberi fokus kepada sejumlah karya berprestasi seperti filem Gelas-Gelas Berdenting (2001), Brownies (2004) dan yang paling popular meraih sukses sehingga ke Malaysia dan Singapura ialah Ayat-Ayat Cinta (2008). Meski pernah mengarah beberapa filem seram sebelum ini, Hanung mempertaruhkan kredibiliti beliau melalui Trinil: Kembalikan Tubuhku.
Kali ini, memilih untuk mengadaptasi sandiwara radio yang pernah menjadi hits pada era 80an membawa vibes seram dan menakutkan. “Kalau di Indonesia dulu begitu popular sekali drama radio ini sehinggakan semuanya tekun diam fokus mendengar, dan terwujudnya suasana hening pekat malam yang sangat menyeramkan.” cerita Hanung. Usahasama produksi Dapur Films milik Hanung dan Seven Skies Motion dari Malaysia, menawarkan daya tarikan dengan barisan pelakon hebat. Wakil dari Malaysia cuma seorang Fattah Amin, dari Indonesia pula ada Wulan Guritno, Carmila van der Kruk, Rangga Nattra, Shalom Razade dan ramai lagi.
Filem sulung terbitan Seven Skies Motion memilih Indonesia kerana melihat pasaran di sana yang begitu meluas berbanding Malaysia. Pemilihan Fattah Amin sebagai satu-satunya artis Malaysia yang membintangi filem ini dibuat berdasarkan kredibiliti dan populariti beliau, apatah lagi ketika itu filem Mat Kilau sedang hangat di pawagam, karektor ‘Awang’ dalam filem itu telah menarik minat Hanung. Bonusnya apabila Fattah sudah ada peminatnya sendiri di Indonesia dan menerusi filem Trinil telah membuat beliau semakin dikenali ramai.
Trinil: Kembalikan Tubuhku akhirnya menyapa penggemar filem seram tempatan pada 22 Februari 2024 dengan kisahnya yang penuh plot twist. Berjaya mencatat kutipan RM13 juta di Indonesia, dengan pecah rekod RM11 juta pada hari pertama ditayangkan. Mengisahkan tentang kehidupan pengantin baru, Rara dan Sutan, di sekitar perkebunan teh warisan dari ayah Rara. Namun kehidupan mereka telah diganggu oleh kejadian-kejadian aneh supernatural yang menakutkan, segalanya bermula dengan misteri serangan ketindihan yang menimpa Rara.
Prihatin dan bimbang akan keselamatan isterinya, Sutan telah menghubungi sahabat lamanya Yusof (lakonan Fattah Amin) yang berpengalaman dalam dunia mistik dan ghaib. Meski pada awalnya ragu-ragu namun pertemuan mereka menyingkap tirai kepada dimensi yang tidak dapat dijelaskan. Konflik demi konflik satu persatu membangkitkan rasa ‘ingin tahu’ yang lebih details, membuatkan semua terpaku menonton dalam kesamaran. Kemunculan Setan Kuyang dari babak awal cukup membuat kecut perut, terkejut kerana jumpscare tetapi tidak begitu realistik, kalau menurut saya.
Namun pengaruh yang dibawa Rara adakah pembawa rahmat kerana hujan lebat yang mencurah-curah saat kepulangannya? Atau adakah dialah punca kutukan celaka yang mencetuskan kegagalan hasil tanaman teh sejak kebelakangannya? Secara peribadi, saya merasakan skrip dan penceritaan yang digarap Hanung dan Haqi Achmad adalah kekuatan Trinil berbanding majoriti filem seram yang pernah ditonton. Misteri kematian aneh pekerja kebun teh memberi ruang eksplorasi dan teka-teki sambil menunggu penampakan Kuyang lagi dan lagi.
Siasatan kes bermula, pendedahan itu ini semakin banyak terbongkar. Malangnya, ini bukan sebuah filem seram yang mengerikan. Di kebanyakan babak, kemunculan Kuyang tidak lebih dari sekadar penampakan tanpa rasa takut yang mengesankan. Rencah rasa komedi lebih efektif ketika satu panggung pecah ketawa dengan aksi Sutan yang sering berdialog “Pak Joko! Pak Joko!” meminta tolong ketika Rara ketindihan dan kerasukan. Jenaka ringan diselitkan ketika Pak Joko dihalau keluar dari bilik Rara (bukan sekali tapi berkali-kali) dan Sutan mendapat gelaran ‘Geng Takut Bini’ ekoran kejadian itu.
Maaf kalau ada sedikit spoiler, tapi saya merasa sedikit marah dan emosi apabila watak Yusof dimatikan begitu sahaja. Kepala dipenggal langsung mati. Tiada aksi berlawan sedangkan pada Yusof telah diletakkan segala harapan tinggi untuk menyelamatkan keadaan. Haihhh, hero dah mati cepat sangat. Mana tahu mungkin ada sekuel sambungan dan watak itu di’hidup’kan kembali, berdasarkan pada sesuatu yang terjadi dipenghujung filem. Itu cuma tekaan saya sahaja.
Apa yang saya suka dari filem ini adalah teknik pencahayaan, sinematografi, tatarias kostum dan prop, colour grading yang berjaya mewujudkan nuansa klasik 70an. Kelihatan epik dan benar-benar terasa seperti di zaman itu. Saya juga suka mainan emosi kasih sayang antara bapa dan anak, komplikasi tidak aman antara ibu dan anak, perebutan harta pusaka, amalan ilmu hitam, rasa dendam amarah yang terpendam, itulah yang terpapar – tidak sekadar filem seram biasa yang menanti kemunculan hantu setiap detik. Hanung memang bijak kalau soal jalan cerita dan drama emosional. Cuma kalau untuk sebuah filem seram, ternyata gagal untuk menerbitkan ketakutan pada tahap maksima.
Wajib tonton jikalau anda memang claustrophobia atau antusias filem hantu, mungkin tidak sama pendapat dengan saya. Lagu “Kasih Merintih” nyanyian Aina Abdul dijadikan OST filem Trinil: Kembalikan Tubuhku, berjaya menimbulkan aura seram dari melodi dan liriknya. Fans setia Fattah Amin juga wajib tonton, berikutan populariti Fattah yang mendadak naik sejak filem ini meledak hits di Indonesia. Ramai yang menangis disebabkan watak lakonan Fattah itu. Kenapa menangis? Oleh kerana itu mesti nilaikan sendiri, jom ke pawagam, bermula 22 Februari 2024 ini. Tayangan serentak di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.