oleh: zizi hashim
Eh, kenapa tiba-tiba basah pipi? Rupanya ada airmata yang bergenang dari tadi. Tak tertahan dek kerana saratnya emosi, yang bergenang pun jatuh berlinang. Satu-satunya filem robot yang menyentuh hati manusia saya di tempat paling terdalam tanpa perlu ada satu pun karektor manusia di dalam filem ini. Sehingga usai menonton saya masih memikirkan tentang filem 'The Wild Robot' (TWR) ini, begitu deep, begitu touching, rasa bagai nak ulang tonton sekali lagi. Saya menangis, ya walaupun hanya filem animasi saya boleh menangis tanpa disedari. Menangis dalam senyum, tidak sedih, hanya variasi emosi.
Kenapa sampai menangis? Robot bukannya ada perasaan. Kita semua tahu Robot adalah sebuah alat mekanikal atau maya yang ditugaskan melakukan sesuatu berdasarkan program yang dikawal oleh manusia. Itulah yang diperkisahkan dalam filem ini, tanpa perasaan, hanya ingin memastikan tugasnya dilaksanakan sehabis baik. Kalau menurut saya, ada beberapa magis yang tidak diduga pada penceritaan TWR yang cuba disampaikan. Bagaimana sesuatu yang sememangnya diciptakan tidak berperasaan, tapi pada akhirnya memberi pesan moral tentang perikemanusiaan dan bagaimana seteru yang pada azali bermusuhan boleh berbaik-baik pada akhirnya. Disitu terletaknya kekuatan 'The Wild Robot' yang meninggalkan impak begitu mengesankan.
Kalau tanya saya, tidak ada satu babak pun dari filem ini yang wajar dikritik. Pembikinan filem seringkali dilukiskan sebagai seni untuk mencapai kesempurnaan dan harus puas dengan apa yang dapat dicapai pada saat ditayangkan. Di sini, rasanya sutradara Chris Sanders dan produksi DreamWorks entah bagaimana menyatukan sesuatu yang 'almost perfect' sesuai kemampuan mediumnya. Ini adalah salah satu situasi di mana selama 20 minit pertama membuat saya terfikir sendiri, "Wah, takkan lah filem kartun boleh jadi sebagus ini?'
Dan jawapan dari hati keibuan saya berkata, "Ya sangat bagus" dengan yakin dan penuh percaya diri. Pastinya saya menyarankan rekomendasi tertinggi untuk ibu bapa membawa anak-anak menonton filem ini, tak boleh tidak. Sutradara Chris Sanders sukses memikul tugas beratnya: mengubah buku hasil tulisan Peter Brown yang disukai ramai dengan beberapa ilustrasi menjadi filem berdurasi 1 jam 41 minit panjang tanpa kehilangan intipati pedihnya. Sanders tidak hanya sukses, dia melakukan 'lebih' dari itu.
TWR adalah kisah tentang robot penyelamat futuristik yang kapal kontenanya terdampar (atau terkandas) di sebuah pulau / kawasan perhutanan yang jauh dari kehidupan manusia saat ribut badai melanda. Robot itu diberi nama ROZZUM 7134, atau disingkat “Roz”, disuarakan oleh Lupita Nyong’o dalam performa memukau yang pada awalnya terlihat seperti robot aneh, namun pada akhirnya tampak semulajadi dan disayangi semua. Roz sepatutnya menerima tugasan, namun tidak ‘jumpa’ tuan yang ‘sepatutnya’ memiliki atau menempahnya dan memberi tugasan untuk dilaksanakannya. Sang robot yang pada mulanya 'stuck', mulai belajar menyesuaikan diri dan telah berjaya berevolusi mengikut persekitaran. Roz mampu memahami bahasa haiwan dan beradaptasi, dan terus hidup di hutan belantara ini.
Ditakdirkan Roz telah bertemu dengan satu ‘masalah’. Maka dia terus menjalankan tugas untuk menjaga sebiji telur angsa dengan bantuan ‘Fink’ si musang yang tiada kawan, dan kerjanya memang makan ayam dan telur seperti itu. Dari sinilah segalanya bermula. “Saya tidak diprogram untuk menjadi seorang ibu.” kata Roz dibalas dengan dialog “Tidak ada di antara kita yang tahu menjadi seorang ibu, kita hanya melakukannya, kita akan tahu nanti.” Roz juga telah mencapai konklusi bahawa sebuah pulau di mana kelangsungan hidup yang terkuat dan naluri adalah aturannya, di mana haiwan tidak bernyanyi atau menari, namun berkelahi dan berburu antara satu sama lain. Kebaikan bukanlah keterampilan utama untuk bertahan hidup.
Ada mesej kuat untuk tetap jujur pada diri sendiri dan percaya bahawa tidak ada satu hal pun yang dapat menentukan siapa diri kita sebenarnya. Meskipun pelakon suaranya solid sepanjang keseluruhan filem, penampilan Nyong'o yang lembut dan tulus yang membuat saya tersenyum dan menangis sepanjang filem ini. Roz di tangan Lupita Nyong'o adalah mesin imaginasi luar biasa yang mengekspresikan dirinya melalui 'tugas' menjadi ibu dan pelindung, saat dia membesarkan seekor anak angsa yatim piatu dalam usaha melebarkan sayapnya dan meninggalkan sarang.
Anak angsa yatim piatu itu menjadi tanggung jawab Roz, dia harus mengajarnya makan, berenang, dan terbang, yang berakhir pada migrasi musim dingin. Menjadi seorang ibu, telah mengubah Roz, membuat dia berimprovisasi malah sanggup melanggar beberapa peraturan, seperti belajar berbohong untuk menghasilkan bedtime story yang kreatif. Robot lain yang ditemui dari bangkai kapal yang rosak juga tertanya-tanya apa yang Roz ingin rujuk, kerana sebagai robot, Roz tidak sepatutnya merasakan apa-apa. Meskipun terkadang terasa terburu-buru, momen-momen yang mempesonakan dan mengundang airmata menempatkan TWR sebaris dengan karya klasik seperti WALL-E dan The Iron Giant.
Pelakon 'suara' yang lain seperti Pedro Pascal, Catherine O'Hara, Bill Nighy, Keith Connor, Stephanie Hsu, Mark Hamill, Matt Berry dan Ving Rhames, bukan satu-satunya senjata upahan yang digunakan oleh filem animasi ini untuk menarik penonton. Setiap satu karektor dikalibrasi dengan hebat. Selain menangis tanpa sengaja pada babak yang begitu menyentuh hati, saya terpesona pada sinematografi yang terwujud dari TWR. Suasana hutan belantara yang terlihat murni, kolam pasang surut tampak hidup di layar skrin, rona biru dan hijaunya kontras dengan penyaduran kelabu metallic dan lampu berkelip Roz. Sekawan angsa terbang dalam montaj udara yang mempesonakan. Lampu terang Roz menyinari ribut salji, memandu perjalanan. Setiap imej adalah gambar yang mengkagumkan secara semulajadi. Bersama-sama, mereka mencipta sesuatu yang luarbiasa, menjadikan 'The Wild Robot' pengalaman menonton yang tidak dapat dilupakan.
Mata lensa kamera Roz yang penuh ekspresif dan pencahayaan mood berwarna sesuai suasana hati sangat membantu untuk memupuk protagonis mekanikal ini dengan rasa ingin tahu. Perkara menjadi lebih sentimental apabila plot utama TWR menghilang. Saat musim dingin menghampiri, satu-satunya cara Brightbill untuk bertahan adalah jika Roz dan Fink mengajarnya cara untuk terbang. Pada dasarnya, langkah selanjutnya dalam tugas Roz sebagai ibu adalah membiarkan Brightbill pergi begitu saja. dapat bermigrasi bersama angsa-angsa lain, sebuah kisah pengorbanan 'perpisahan' tanpa rela yang sangat menyentuh hati sanubari.
Ada lapisan yang sangat rumit pada plot yang tampak mudah ini, yang berkaitan dengan tujuan Roz dibina dan bagaimana dia perlahan-lahan mengatasinya dengan cara yang sangat manusiawi. Kesederhanaan yang ketara memberi laluan bagi banyak perubahan menyenangkan yang mengubah nada 'The Wild Robot' dan genre-nya. Dalam proses itu, ia menelusuri kisahnya yang padat dan melewati beberapa momen yang berpotensi bermakna untuk direnungkan. Namun seiring dengan keseruan dan kehebatan filem aksi, TWR sentiasa mencari cara yang ekspresif dan menarik untuk membawa emosi yang bergelora ke permukaan. Ia sangat imaginatif, dan 'kamera'nya sentiasa bergerak, terutamanya apabila TWR menjadi bukan sahaja tentang keluarga yang ditemui, tetapi juga relevan dengan ikatan masyarakat.
Hasil keseluruhan karya Sanders kali ini menurut saya adalah asli dan sangat menyentuh perasaan. Lebih daripada segala-galanya, metafora keibubapaan - kisah adopsi keluarga dari spesis berbeza yang cuba mencari sense of belonging, detik-detik emosi keibuan diletakkan di bawah mikroskop. Perjalanan peribadi Roz apabila dia cuba memahami nalurinya sendiri yang berkembang dan menjangkau batas sebagai robot. Mungkin melihat dari perspektif keibuan buat saya menangis yang terkadang terasa exxagerate kerana hanya menonton filem animasi pun sampai menangis, tapi itulah yang terjadi.
Nyong'o membawakan lakonan suara penting dalam filem ini, penampilannya berubah saat Roz mulai memahami emosi, mengalami kebingungan yang berhubungan dengan keterikatan aneh pada diri sendiri. Bijak, menyentuh hati dan mengkagumkan, 'The Wild Robot' menawarkan jenis hiburan animasi yang dapat diterima oleh semua peringkat umur yang akan menggembirakan kanak-kanak dan meninggalkan impak besar di hati seorang dewasa. Dan filem ini memenuhi janji sebuah ciri animasi yang benar-benar hebat: untuk mengungkap kebenaran universal, cinta dan kasih sayang yang menentang logika, perasaan yang datang dari tempat yang kita tidak faham, rasa pahit untuk melepaskan seseorang demi kebaikan dan kebahagiaan mereka dan banyak lagi. Andai saja semua cerita robot mempunyai visi kemanusiaan yang sehebat 'The World Robot'. Mulai ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 19 September 2024, anda sudah tonton?