The Cursed Land: Filem Seram Thai Bertemakan Islam

oleh: zizi hashim 

Filem seram Thai dengan latar kepercayaan Buddha sudah sering saya tonton, namun menonton filem seram dari Negara Gajah Putih bertemakan kepercayaan islam adalah pertama kali buat saya. Filem ‘The Cursed Land’ merupakan salah satu filem seram Thai yang bertemakan kepercayaan islam, menyajikan filem psikologi seram yang menyinggung konflik etnik dan politik yang terjadi di Thailand. Filem ini ditulis dan disutradarai oleh Panu Aree dan Kong Rithdee menyingkap peristiwa mistik dan ghaib yang dialami oleh seorang duda bernama Mit (Ananda Everingham) dan anak perempuan remaja bernama May (Jennis Oprasert) yang terpaksa berpindah ke sebuah rumah besar yang tua terletak di pinggiran Bangkok setelah kematian tragis isterinya.

Rumah besar tua itu letaknya di tengah wilayah masyarakat muslim dan dipercayai berhantu. Kehadiran mereka di rumah itu mengundang semula kutukan sumpahan dari masa lalu. Mit pula merupakan seorang yang skeptikal dan tidak mempercayai hal-hal alam mistik. Sikap tidak peduli Mit itu membuatkan dirinya mengabaikan amaran penduduk setempat dan membuang azimat yang sedia terpasang di rumah tersebut. Tindakan ceroboh Mit itu membawa malapetaka. Tanpa sengaja Mit telah melepaskan kutukan sumpahan kuno berusia lebih 200 tahun. 

Semenjak itu, kedamaian hidup keluarga Mit dan May mulai diganggu oleh entiti ghaib atau jin yang marah dan menyimpan dendam. Setiap hari mereka harus berhadapan dengan keganasan mistik yang sukar dijelaskan dan tidak masuk akal. Gangguan roh ghaib membuat Mit hilang waras, dia dirasuki jin jahat yang mengancam nyawa. Apabila Sami Buddha gagal memperbaiki situasi, Mit dan May yang diselubungi rasa takut dan khuatir memutuskan untuk meminta bantuan dari Dukun Muslim.

Usaha menyelamatkan keluarga ini membawa mereka ke dalam rahsia dan pengembaraan yang tidak terduga. Wilayah yang mereka huni ternyata pernah menjadi daerah konflik berdarah pada abad ke-19, berdasarkan cerita hantu dan legenda rakyat yang sangat kuat dalam budaya tempatan Asia Tenggara, ‘The Cursed Land’ juga merupakan filem Thai-Melayu terperinci yang merujuk kepada identiti dan sejarah umat Islam dalam masyarakat Thai. Panu Aree selaku sutradara memberitahu bahawa dia ingin menjadikan filem ini sebagai alat untuk meneroka identiti unik masyarakat Islam di Thailand ke persada antarabangsa.

Saya teruja untuk menonton filem ini tidak lain tidak bukan kerana Bront Palarae yang memegang watak Heem. Namun secara peribadi saya merasakan peranan Bront sahaja tidak dapat menyelamatkan filem ini. Dilabel sebagai aktor papan atas dari Malaysia, Bront Palarae pernah membintangi filem Pengabdi Setan, Ayat-Ayat Cinta 2 dan My Stupid Boss. Penulis skrip filem ini adalah Kong Rithdee bergabung dengan sutradara Nonzee Nimibutr dan Panu Aree. Nonzee Nimibutr adalah produser terkenal dan popular di Thailand pernah mengarah filem Nang Nak (1999), Jan Dara (2001) dan Once Upon A Star (2023). Selain Bront, ada 2 lagi pelakon dari Malaysia turut membintangi filem ini iaitu Han Zalini dan Firdaus Karim.

Kalau menurut saya, alur cerita ‘The Cursed Land’ agak meleret-leret dan membosankan. Ekspetasi sebuah filem seram yang penuh dgn jumpscares langsung tidak ada dalam filem ini. Selama 118 minit, fokus lebih tertumpu pada operasi lingkungan sejarah negara dengan meneroka hubungan sosio-budaya Thailand yang tidak selesa dengan warga Malaysia, memperlihatkan percanggahan masyarakat Islam dengan metodologi Buddha tradisional. Bukan seperti filem seram biasa yang lebih banyak penampakan hantu sebenar, ‘The Cursed Land’ lebih banyak bermain dengan halusinasi.

Penampakan bayang-bayang dan bisikan pengaruh syaitan yang menguasai merupakan aspek utama yang sering terlihat di rumah berhantu itu. Ini membawa kepada kemuncak tontonan dimana ianya melibatkan pengaruh makhluk spektrum, ritual pengusiran, sesi pertempuran ghaib dan syaitan berinteraksi dalam pertempuran rohani yang menambah rasa berbeza pada filem ini. Kelemahannya cuma satu, saya merasa terlalu lama untuk bertemu solusi di penghujung cerita. Plot berjalan terlalu perlahan, agak sukar untuk difahami dan mengundang sedikit kuapan.

Apapun, tahniah Bront Palarae di atas satu lagi kejayaan di peringkat antarabangsa. Semoga filem ini menerima sambutan ramai di Malaysia. Selain Bront, saya akui menonton filem ini kerana aura yang ada pada Ananda Everingham yang saya minati sejak dari filem Shutter (2004) lagi. Filem “The Cursed Land” telah menemui penonton bermula 1 Ogos 2024 di pawagam seluruh Malaysia. Jangan ketinggalan!