The Crow (2024): Filem Reboot Yang Bikin Ribut

oleh: zizi hashim

Terdengar cakap-cakap, agaknya mendiang Brandon Lee mungkin terbangun dari kubur kalau dia dapat tahu bahawa filem 'The Crow' dibuat semula versi remake/reboot dengan gaya yang sama sekali berbeza. Adaptasi dari komik karya James O'Barr ini yang sempat menggegarkan dunia perfileman pada tahun 1994, dengan kisah klasik juga telah menjadi tragedi berdarah apabila Brandon Lee (anak jaguh kungfu, Bruce Lee) dengan tidak sengaja terkena tembakan peluru sebenar dibalik layar yang meragut nyawanya. Mengambil masa 3 dekad lamanya untuk menantikan kelahiran versi Reboot yang juga diberi judul 'The Crow'. 

Namun benarkah 'The Crow' terbaru itu seteruk yang diperkatakan orang? Perlu difahamkan dari segi plot, banyak perubahan yang dilakukan dalam filem ini, namun intipatinya tetap sama. Kisahnya tentang kehilangan yang tragis, tentang berurusan dengan rasa sakit dari segala sesuatu yang datang dengan kehilangan seseorang yang sangat dicintai, tentang sepasang kekasih bernama Eric Draven (Bill Skarsgård) dan Shelly Webster (FKA Twigs) yang dibunuh secara kejam dan brutal. Tidak tunggu lama (memang betul tidak lama kerana cerita filem asal mengambil masa setahun untuk The Crow bangkit), Eric bangkit dari kubur dan menyembelih pembunuh kekasihnya, tanpa ampun.

Pendekatan yang diambil oleh sutradara Rupert Sanders mungkin agak liar dan akan membuatkan ramai orang berkerut dahi. Bermula dari penampilan Eric yang lagaknya tak ubah kombinasi di antara Jared Leto's Joker dan rapper Machine Gun Kelly hinggalah kepada visual yang menjauhkan diri daripada nuansa gothik filem asal pada tahun 1994. Tetapi sebenarnya kelemahan versi moden 'The Crow' ini, saya kira, adalah pada kelemahan plot dari seawal separuh masa pertama lagi.

Penonton dihidangkan dengan watak Eric yang sejak awal lagi bermasalah tetapi tidak pernah tahu kenapa Eric begitu. Semakin filem berjalan, kita menjadi semakin jauh daripada protagonis yang seolah-olah ingin menunjukkan "bahawa saya tidak OK". Meskipun begitu, lakonan Bill Skarsgård masih kelihatan meyakinkan, saya jatuh cinta pada karektor yang dibawakan Skarsgård cuma masalahnya ialah penceritaan yang membosankan dengan mundar-mandir yang memenatkan.


Nasib baik filem ini mempunyai 'peluru terakhir' untuk membuat penonton bangun dan sedar. Kalau menurut saya, mesti tonton sampai habis baru boleh nilai. Jangan kata 5 minit pertama sudah mulai menguap, habiskan dulu sampai hujung cerita. Pada babak awal memang berjalan sedikit perlahan, namun apabila Eric memutuskan untuk membalas dendam, ia berubah menjadi sebuah filem yang penuh nuansa pembunuh bersiri brutal, tiada maaf lagi. Memang benar tidak dapat lari dari membandingkan dengan 'The Crow' versi asal, namun berilah peluang dan ruang untuk versi reboot ini diberi judgement yang adil.

Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Eric di gedung teater patut di beri apresiasi. Pertama, koreografinya cukup menyegarkan kerana adegan morbid massacre itu sangat kreatif, estetik dan artistik. Meski misinya dipenuhi keganasan, dorongan Eric bukanlah kemarahan, tetapi cinta. Akan berhasilkah Eric menuntut bela? Kedua, tiada penapisan dari pihak LPF jadi penonton masih boleh menikmati pembunuhan beramai-ramai Eric tanpa luka, tanpa sebarang potongan. Kalaulah filem ini bukan berjudul 'The Crow', mungkin masih boleh difahamkan dan masih boleh diterima akal. Namun untuk menjadi remake/reboot dari filem asal, versi baru 'The Crow' ini masih belum mampu melawan.

Eric di tangan Brandon Lee memiliki tampilan gothik dengan vibes musisi yang begitu kuat. Manakala karektor Eric versi Bill Skarsgård, tampil memiliki aura gelap dengan sentuhan terkini. Bezanya lagi, Eric versi Skarsgård dipenuhi tattoo seluruh badan, dimana vibes-nya lebih condong ke rapper kulit putih yang popular di era ini. Eric versi Skarsgård juga mempunyai sisi yang lebih vulnarable. Cuba lari dari meniru lakonan Lee, Skarsgard cuba membangun kemistri bersama FKA Twigs namun tidak mengesankan, saya juga secara peribadi tidak begitu 'restu' akan gandingan keduanya.

Cuba kalau tidak dibandingkan, 'The Crow' versi 2024 ini tampil dengan wajah baju yang segar dan moden, jauh dari nuansa gothik kental dari versi asal. Penggunaan palet warna yang lebih cerah dan sinematografi yang dinamik sukses menciptakan atmosfera kelam dramatik yang tetap mempesona. Bill Skarsgård berjaya membuktikan kemampuan dalam menghidupkan karektor penuh luka batin. Eric Draven versinya adalah sosok yang dingin dan penuh amarah, namun tetap menyimpan sisi rapuh yang membuatnya mudah terhubung dengan penonton.

Berdurasi 1 jam 51 minit, lebih panjang beberapa minit dari versi asal, disebabkan oleh adanya perombakan yang menambah details pada kisah romansa Eric dan Shelly yang menjadi pusat emosi filem ini. Pun begitu tetap terasa agak rushing, sehingga ada beberapa hal pada cerita yang tidak terjawab dan tidak dijelaskan dengan baik. Tiada dialog yang benar-benar menyakinkan penonton bahawa mereka boleh saling jatuh cinta secepat dan sedalam itu. Eric yang telah terbiasa dengan kekerasan dan penganiayaan, menemukan harapan dan kebahagiaan dalam diri Shelly. Kehilangan Shelly membuatnya hancur, dan kemarahannya menjadi 'bahan bakar' bagi misi balas dendamnya.

Balas dendam Eric dipenuhi dengan darah dan kekejaman, sesuai dengan tema gelap filem ini. Namun kalau menurut saya, kekejaman yang dipaparkan tidak terlalu berlebihan dan tetap relevan dengan plot cerita. Penggambaran 'dunia kematian' sebagai stesen kereta api sunyi adalah antara elemen menarik dalam filem ini. Dimensi karakter antihero yang melankolik jelas cemerlang di tangan Skarsgård, dengan syarat 'jangan diperbandingkan' si burung gagak. Sementara Danny Huston sebagai Roeg umpama layaknya syaitan haus darah penguasa kejahatan. Walaupun tidak banyak kemunculan pada setiap babak, Huston memberi kontras yang just nice antara Roeg dan Eric.

Meski ramai yang mengutuk filem ini, termasuk kawan-kawan rapat sendiri, saya kira harus tonton dan nilai sendiri. Jangan termakan cakap-cakap orang. Ada baiknya kalau setiap filem ada pendapat pro-kontra kerana perspektif manusia tidak akan 100% sama. Jika dinilai dari sudut sentuhan moden, 'The Crow' memiliki visual yang memanjakan mata, lakonan hebat yang kuat dan eksplorasi tema universal seperti cinta, kehilangan dan balas dendam yang membuat filem ini layak di tonton. Menawarkan pengalaman sinematik yang intens dan menggugat emosi. Saya tidak melihat filem ini sebagai bencana atau perbuatan ceroboh yang mengubah secara total versi asal, cuma ianya lebih kepada improvisasi yang terpulang pada interprestasi masing-masing untuk menilaikan.

Kalau pada awalnya sebelum menonton, saya juga berasa tidak puas hati dengan watak hero yang berambut pendek. Pastinya tidak boleh, kerana dalam komik 'The Crow' itu dilukis berambut panjang. Itu saja sudah salah untuk versi reboot. Oleh disebabkan terlalu jauh menyimpang dari karektor dalam komik, ia menjadi salah satu aspek yang dispekulasikan. Sama seperti yang lain, saya juga tidak dapat menggantikan Brandon Lee sebagai pewaris legasi waralaba 'The Crow' dengan sesiapa pun, tidak juga Bill Skarsgård, namun saat reviu ini ditulis saya melihat filem ini dengan minda terbuka, menganggap ia sebagai filem yang baru dan bukan versi reboot.

Dari filem perdana pada 1994, 'The Crow' sempat dibuat sekuel sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1996, 1998. 2000 dan 2005, semuanya gagal dan mendapat kritikan teruk. Tetap saja Brandon Lee terunggul dalam carta yang tidak dapat disaingi oleh sesiapa dalam cubaan menjadi karektor ikonik 'The Crow'. Ketika membangun latar belakang romansa Eric dan Shelly, penonton diharapkan ikut menjiwai dan merasa prihatin dengan nasib kedua protagonisnya. Namun entah mengapa, justeru bahagian penting ini terasa hampa. Penekanan kisah cinta belahan jiwa 'true love never dies' mereka tidak terasa meyakinkan, akibatnya jadi membosankan.

Selain itu, soundtrack dari 'The Crow' (2024) menjadi salah satu nilai tambah yang kuat dalam filem ini. Perpaduan muzik Rock dan Elektronik yang mantap dan melankolik pada masa yang sama, menangkap intipati cerita dan karektor Eric Draven. Sutradara Rupert Sanders sukses merubah kota yang suram dan penuh dosa menjadi latar yang estetik dan penuh atmosfera, memanfaatkan palet warna gelap dan sinematografi dramatik. Setiap babak hadir dengan visual terperinci yang mempesona, membuat penonton tidak mampu mengalihkan pandangan dari layar skrin. 

Yang paling menyerlah ialah cara ia mengendalikan tema cinta, kehilangan dan dendam dengan tetap kekal relevan dan menyentuh hati kepada penonton masakini. Meski berlatarkan dunia penuh kegelapan, 'The Crow' (2024) masih menampilkan harapan dan keadilan, menjadikannya lebih daripada sekadar filem balas dendam. Babak ganas sangat gore, dan sungguh memuaskan melihat Eric membelasah puluhan orang dalam pembunuhan beramai-ramai itu. Sesungguhnya, hanya babak aksi yang brutal penuh darah menjadi daya tarik 'The Crow' dan juga kualiti lakonan Bill Skarsgård yang tidak pernah mengecewakan. Filem ini turut dibintangi oleh FKA Twigs, Danny Huston, Isabella Wei, Laura Birn, Jordan Bolger, Josette Simon dan ramai lagi. 

Balas dendam tidak hanya bisa dilakukan oleh mereka yang masih hidup. Dengan bantuan si burung gagak, mereka yang sudah mati juga dapat hidup kembali memperbaiki hal yang keliru. 'The Crow' diklasifikasikan 16 tahun ke atas, bakal ditayangkan pada 29 Ogos 2024 di seluruh pawagam seluruh Malaysia. Jangan sampai ketinggalan!