oleh: zizi hashim
Saya pernah dan selalu terfikir bagaimana jika sebahagian kecil dalam hidup saya diadaptasikan menjadi buku atau filem, bagaimana kesudahannya ya? Menonton filem The Architecture of Love (TAOL) ini, secara tidak sengaja, saya merasakan kuat relatif pada plot ceritanya. Seolah-olah melihat di cermin sekilas apa yang pernah berlaku dalam hidup saya atau mungkin dalam ‘mimpi’ saya, di hadapan mata dalam bentuk filem.
Asalnya saya teruja untuk menonton TAOL kerana si ‘Rangga’ siapa lagi kan? Nuansa aura Nicholas Saputra begitu kuat mengheret saya datang ke pawagam tanpa mengetahui jalan cerita sama sekali. Pendapat saya kalau si ‘Rangga’ yang berlakon, mustahil filem itu biasa-biasa saja. Antisipasi saya adalah pada skala hebat. Namun dalam 2-3 minit pertama, saya terpikat dengan pengalaman yang dilalui Raia, lakonan hebat Putri Marino. Cukup terkesan, mungkin kerana sama-sama berprofesi seorang penulis dalam filem ini meski di cabang yang berbeza. Namun dua-dua tetap ‘gila bahasa’ dan ‘gila kata-kata’.
Saya bukan Raia Risjad; tidak sama seperti dia. Namun ketika duduk menonton di bangku panggung, terasa seperti melihat cermin. Hampir setiap babak yang dilalui Raia, pernah saya lalui satu ketika dahulu. Macam deja-vu, menyenangkan tapi dalam masa yang sama, menakutkan juga kerana diajak kembali jalan-jalan meneroka ke masa lalu. Masa lalu yang sudah sekian lama saya tinggalkan. Dari mana mereka dapat cerita tentang saya ini? Saya malah tidak pernah cerita ke siapa-siapa pun.
Dari hati yang terdalam, saya rasa Raia ‘nampak’ saya. Buat seketika, satu sisi lain yang sering saya sembunyikan ‘kelihatan’.
The Architecture of Love menghadirkan kisah cinta sederhana, tetapi begitu ‘masuk’ dalam jiwa, mengenai 2 karektor utama sedang sama-sama berproses untuk menyembuhkan trauma masa lalu. Berlatar-belakangkan kota New York yang dipenuhi bangunan-bangunan tinggi, di mana wujudnya ilham ‘Setiap Gedung Ada Cerita’, membawa penonton mengikuti dinamika romansa tak terduga antara Raia dan River. Meski alur cerita berjalan cukup santai, tiada langsung rasa bosan yang muncul, serius.
Kisah cinta dari seorang penulis Best Seller dengan seorang Arkitek ini membuat penonton terhanyut dalam lautan emosi yang mengadun perasaan. Kadang-kadang senyum sendiri, sesekali tertawa, tidak lari juga rasa mahu marah, geram, kecewa dan macam-macam lagi. Lakonan hebat Putri Marino dan Nicholas Saputra menghidupkan watak membawa kepada storytelling yang berkesan. Kedua-duanya begitu menjiwai sehingga visualisasi karektor Raia dan River terasa natural dan tidak dipaksakan. Kombinasi keduanya terasa sangat dekat di hati.
Saya pernah berjumpa dengan manusia sama spesis seperti si Alam dan saya juga pernah bertemu dengan replika cerminan si Bapak Sungai. Manusia begitulah seadanya, tidak sempurna. Bertemu dengan si Bapak Sungai yang sebenar bagaikan bangun dari tidur yang singkat tetapi nyaman. Namun realiti saya jauh dari filem ini, penghujungnya juga belum tertulis. Kadang-kadang pandai rindu dengan si Bapak Sungai, seorang yang terlalu baik tetapi suka hilang-hilang sampai timbul rasa sakit. Seorang yang entah di mana, mungkin ada mungkin juga tiada.
Seiring berjalannya filem TAOL, ada banyak sekali pembelajaran tentang kehidupan yang boleh dipetik. Romansa di antara Raia dan River tumbuh seiring dengan perjalanan mereka menelusuri berbagai gedung di kota New York. Tanpa disedari, penjelasan River tentang sejarah gedung-gedung tersebut sekaligus menjadi pengetahuan baru bagi para penonton. Seronok juga mengelamun berada di tengah kota manis yang menciptakan senario delulu meski pada hampir penghujungnya terketar-ketar menangis ketika Raia mempersoalkan “Mau kamu apa, Riv?” Tidak seperti awal ketika River menyambung senandika Raia dengan kata bantu ingatan “English Man in New York” yang memutik buih-buih cinta.
Filem ini memang fokus kepada lakonan Putri Marino dan Nicholas Saputra, namun turut dibantu oleh yang lain dengan sangat bagus dan membantu terbitnya cinta yang terbina dari ‘seni’ – Seni Sastera dan Senibina. Hadir dengan colour grading yang enak dipandang mata, sinematografi cantik dan kemistri music scoring yang yang sangat serasi. Sutradara Teddy Soeriaatmadja tetap sukses menciptakan ending yang meninggalkan kesan efek istimewa ‘mahu datang tonton lagi dan lagi’.
Bermula tayangan di pawagam Malaysia pada 9 Mei 2024, jika anda seorang yang hopeless romantic seperti saya, jangan ketinggalan saksikan sendiri filem The Architecture of Love. Banyak adegan romantis, hangat dan buat penonton melting berjemaah. Banyak juga kata-kata cinta atau quotes yang bikin hati cair kembang berbunga-bunga. Jom!