Mirip Filem Abang Adik, 'Stand By Me' Inspirasi Dari Kisah Benar

oleh: zizi hashim

Apabila menonton filem ini, ianya banyak mengingatkan saya kepada filem 'Abang Adik' kerana mengisahkan tentang 2 remaja lelaki yang tidak mempunyai pertalian darah tetapi terjebak dalam situasi yang sama. Mereka berkenalan secara tidak sengaja dan sepanjang tempoh mereka bersama, terjalin keserasian dalam pergaulan, lantas akhirnya menjadi rapat laksana adik beradik. Meski pada mulanya Ma Liang (si abang) tidak begitu menyukai Xuan Xuan (si adik) kerana sudah terbiasa melakukan segalanya sendirian, namun lama kelamaan hatinya menjadi cair dengan kesungguhan si adik yang tekad untuk menjalin hubungan baik bagaikan bersaudara.

Berinspirasi dari kisah benar, tentang sekumpulan 'anak-anak jalanan' yang membesar dalam situasi sosial kompleks agak menyedihkan bagi saya apabila mengetahui suasana seperti itu benar-benar wujud dan berlaku di negara China. Terutamanya Ma Liang (Karry Wang) yang membesar tanpa ibu bapa, menjadi pengembara dan pencuri cilik telah dipertemukan dengan seorang kanak-kanak kesunyian, Xuan Xuan (Zixie Guan) yang ditinggalkan ibunya dan tinggal bersama datuk dan neneknya yang sakit. Nasib yang sama telah mendekatkan 2 remaja kesepian ini, lebih dekat dan dekat lagi, lantas di tengah-tengah angin dan hujan, mereka membina sebuah rumah kecil bersama-sama, berpelukan ketika cuaca terlalu sejuk untuk memanaskan badan dan saling melindungi di antara satu sama lain.

Awalnya saya merasakan plot cerita agak mendatar dan biasa sahaja namun apabila mengetahui bahawa kisah 2 beradik ini diangkat dari kisah benar saya mulai tersentuh hati dan akhirnya menangis. Hancur hati melihat kehidupan menyedihkan sebegitu dan merasa buntu tidak dapat memberi sebarang pertolongan kepada mereka. Diberitakan terdapat ramai kanak-kanak jalanan terbiar seperti itu di negara tersebut membuatkan hati terasa semakin sakit. Filem 'Stand By Me' ini tidak terasa terlalu panjang dalam durasi 2 jam 8 minit dan setiap babak dirasakan perlu untuk mewujudkan pemahaman pada jalan cerita yang terhubung-kait. Watak-watak sekeliling terasa sedikit kompleks dan cara mereka mengendalikan situasi dipelbagaikan dalam gaya yang realistik.

Kalau menurut saya, kekuatan filem ini terletak pada lakonan luarbiasa cemerlang oleh pelakon kanak-kanak itu sendiri. Hanya sedikit gagal disebabkan produktiviti yang kurang konsisten dalam menggambarkan inspirasi kisah benar, tetapi berjaya ditebus pada pengakhiran yang baik. Ada babak-babak yang membulat kembali kepada visi kukuh, akhirnya menerima-pakai gerakan yang diperlukan untuk menyampaikan tujuan tematiknya. Penonton ikut terkesan dalam emosi tentang kemistri ikatan keluarga yang teguh, tanggungjawab pra-matang dan tindakan lanjut yang perlu diambil dalam menyelesaikan kemelut anak-anak jalanan yang sangat menyedihkan.

Sebagai filem blockbuster China yang sentimental, bukanlah menjadi satu rahsia dalam membongkar isu sosial, dan kali ini ia mengenai kanak-kanak terbiar, bagaikan satu seruan untuk bertindak mengenai tanggungjawab peribadi ibu bapa. Apa yang tidak dapat dielakkan dari terus berlaku ialah kanak-kanak ini sering terjebak menjalani kehidupan jenayah dalam keterpaksaan untuk bertahan hidup. Sesetengah pihak menggunakan senjata ini dalam eksploitasi yang agak menjijikkan terhadap kelemahan kanak-kanak. Saya puji Karry Wang memegang watak seorang abang yang menguasai ego-nya yang semakin menghalus apabila mengharungi detik-detik penuh emosi. Dan lakonan Zixie Guan cukup mengkagumkan, sebagai seorang pelakon kanak-kanak dalam persembahan natural dan benar-benar menjiwai.

Formula secukup rasa yang ada dalam filem 'Stand By Me' ini merupakan pelaksanaan mantap bagi tema yang diangkat di mana penonton akan benar-benar merasakan empati berlebihan terhadap watak dan nasib yang menimpa mereka. Ada banyak dialog-dialog yang dituturkan begitu meruntun hati saya. Ini diperkuatkan oleh 
latarbelakang realiti sosial, kredibiliti pelakon utama yang benar-benar mantap. Meski isu-isu sosial tidak terlalu diterokai secara mendalam, saya lebih tertarik pada fokus tentang hubungan 'adik beradik' yang bermain dengan emosi hampir 80% isi kandungan filem ini sepanjang tontonan. Saya juga suka pada sinematografi yang cantik dipaparkan begitu realistik. 

Seiring filem terus berjalan, saya yang duduk di kerusi panggung mulai turut sama menangkap rasa tidak berdaya, rasa takut dan trauma serta rasa putus asa yang cuba dipotretkan secara langsung ke layar lebar. Dalam masa yang sama juga terasa hangat. Jujur saya akui, turut terasa bagaikan berada di hujung sana bersama Ma Liang dan Xuan Xuan saat mereka mencari harapan dan jalan untuk terus bergerak ke hadapan. Filem ini menarik penonton menyelami akan naik turunnya sifat manusia, dan melihat sekilas betapa kompleks kehidupan melalui ikatan erat kekeluargaan yang mereka miliki. 

Beberapa babak mencerminkan masa lalu, yang lain berbicara tentang masakini, dan beberapa lagi dimaksudkan untuk masa hadapan. Justeru, sepertinya ini lebih kepada sebuah kisah peringatan untuk masa depan – sebuah peringatan yang terkendali dan bijaksana bagi kita semua. Secara ringkasnya, 'Stand By Me' adalah sebuah karya yang merangsang pemikiran, memaparkan keadaan hidup dan dunia dalaman kanak-kanak di pinggir masyarakat melalui kisah 2 remaja malang, Ma Liang dan Xuan Xuan. 

Karry Wang menghidupkan watak Ma Liang dengan sangat berkesan, menggunakan ketabahan dan kasih sayang seorang abang terhadap adiknya Xuan Xuan, meski bukan adik kandung sedarah daging, untuk menumpang hidup di rumah yang hangat. Begitu halus dan mendalam penghayatan Karry Wang dalam menyampaikan emosi kompleks Ma Liang secara menyeluruh. Diri sendiri hidup terbuang tetap gigih berjuang untuk terus hidup, dalam masa yang sama penuh bertanggungjawab. Melalui ekspresi dan tindakan yang ditunjukkan, membuatkan penonton turut merasai kehangatan dan kekuatan hati watak itu. Zixie Guan juga sama hebatnya, hubungan ikhlas antara dia dan abangnya menambahkan warna yang menghibakan.

Usai menonton 'Stand By Me', tipulah kalau saya tidak menangis. Secara peribadi, saya klasifikasikan filem ini sebagai filem seni yang santai dan menyembuhkan. Saya sangat suka tekstur dan ton warna pada filem ini dengan plot dan susun-atur cerita yang agak mudah difahami. Mereka berdua secara tidak sengaja bertemu dan sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Kemahiran lakonan keseluruhan pelakon adalah pada tahap membanggakan. Separuh pertama filem ini masih agak santai dan gembira, terutama adegan riang ketika berebut sofa dengan gelandangan yang lain. Manakala realiti yang terpaksa dihadam pada separuh akhir adalah sangat tajam dan kejam. 

Dari segi rekabentuk karektor, saya merasakan keseluruhan personaliti dan latarbelakang watak-watak itu cukup kaya emosi dengan naratif yang kuat. Adegan filem juga dirakam indah penuh dramatik seiringan bersama scoring muziknya bertepatan pada timing sesuai dan kebanyakan melodinya yang sangat menyembuhkan. Beberapa adegan kejar-mengejar dirakam dengan sempurna, dan suasananya juga memainkan peranan kuat. Pendek kata, jika kita tidak mencantikkan subjek ini dan mengkritiknya, sudah tentu ia akan berbaloi untuk ditonton. Tajuk 'Stand By Me' dirasakan sudah terlalu overrated kerana kerapkali dipergunakan sebagai judul itu dan ini. Seharusnya sutradara Yin Ruo Xin memilih tajuk lain untuk memberi impak ketara yang lebih berbeza. Mulai ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 24 Oktober 2024.