Speak No Evil: Penuh Misteri, Teka Teki Dan Bikin Anxiety

oleh: zizi hashim

Sungguh, sejujurnya filem thriller saspens 'Speak No Evil' (SNE) ini adalah salah satu filem terbaik yang pernah saya tonton sepanjang tahun 2024, setakat ini. Sebuah filem fantastik yang buat saya sentiasa cemas, tidak senang duduk, teringat-ingat dan menimbulkan provokasi fikiran bercampur-baur. Saya tentunya akan menonton lagi dan lagi kerana ianya benar-benar bagus dan menghiburkan meski sering membuat degupan jantung saya berdegup kencang pada babak-babak tertentu. Saya begitu tenggelam dalam filem ini, sehingga saya terasa seperti benar-benar berada di dalam situasi cemas itu dan mula berfikir tentang apa yang akan saya lakukan untuk menyelamatkan diri.

Lama setelah usai menonton SNE, saya masih lagi memikirkan tentangnya. Inilah jenis filem yang saya suka! Filem rollercoaster ride yang membuat saya terjebak berfikir itu ini, meneka itu ini, penuh misteri dan dalam pada masa yang sama bikin anxiety! Meski pada awalnya saya tidak meletakkan ekspektasi berlebihan kerana sedikit slow burning dan banyak basa basi, tapi saya tahu babak itu perlu untuk menunjukkan keakraban di antara 2 keluarga yang berkenalan secara kebetulan pada percutian yang dirancang berasingan. Namun perspektif itu mulai pudar setelah jalan cerita sampai pada babak ketiga, seiring dengan karektor Paddy (James McAvoy) yang mulai terang-terangan menunjukkan taringnya sebagai villain yang sadis. 

'Speak No Evil' menceritakan tentang pasangan suami isteri berasal dari Amerika, Ben dan Louise bersama anak perempuan mereka, Agnes pergi bercuti ke sebuah perkebunan di desa Inggeris milik suami isteri, Patrick 'Paddy' Field dan Ciara. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Ant yang sebaya dengan Agnes tetapi bisu dan tidak boleh bercakap. Konon tujuan datang bercuti kerana mahu healing, alih-alih keluarga Ben justeru mendapati diri mereka berada dalam bahaya seiring dengan sikap Patrick dan isterinya yang mencurigakan. Sangat berbeza dengan imej friendly couple seperti yang mereka temui pertama kali di Itali.

Perilaku agresif Paddy dan Ciara membuatkan Louise merasa semakin tidak nyaman dan meminta pada suaminya untuk pulang. Namun, Ben berkeras untuk menginap selama seminggu dengan alasan menjaga hati. Sehingga akhirnya, sebelum Ben dan Louise pulang, Paddy dan Ciara semakin menunjukkan perilaku aneh yang lantas membuat keluarga Amerika itu dihantui nuansa misteri yang menerbitkan rasa takut. Di sisi lain, Ant berusaha untuk mendedahkan rahsia tersembunyi, namun tergendala disebabkan faktor dirinya yang tidak boleh bercakap.

James McAvoy menjadi bintang utama membawakan watak Paddy, seorang yang karismatik tetapi mengancam, memberikan dimensi performa yang sangat memukau sebagai antagonis. Cemerlang memainkan karektor yang awalnya terlihat ramah dan sangat mesra, tetapi perlahan-lahan bertransformasi dengan menunjukkan gangguan psikologi brutal seorang psychopath yang mengerikan. Performa mantap James McAvoy itu turut dibantu dengan lakonan 'bernyawa' dari barisan pelakon lain terutama sekali Dan Hough (watak Ant), Mackenzie Davis, Scoot McNairy dan Alix West Lefler mampu menghidupkan karektor masing-masing. Kemistri epik James McAvoy dan Aisling Franciosi sebagai pasangan suami isteri psiko juga sangat luarbiasa hebat.

Pembangunan karektor setiap watak dibangun dengan baik, situasi intens dan tegang meningkat adrenalin cemas dengan elemen saspens seram yang tepat sasaran. Saya suka segalanya tentang filem ini. Monolog James McAvoy benar-benar memberi impak ngeri dan tingkat energi yang dibawanya ke SNE cukup luarbiasa. Filem garapan James Watkins ini memang mengusung genre psikologi thriller, namun yang menariknya, filem ini tidak digambarkan dengan nuansa yang gelap. Dalam beberapa adegan, SNE justeru menampilkan gambaran keindahan alam Inggeris dengan pemandangan luas, serta visual yang cukup memanjakan mata.

Kesemua babak mendebarkan dalam SNE turut dirakam secara terperinci. Sudah tentu ini membolehkan segala emosi seram yang ingin disampaikan kepada penonton tersalur secara natural dan tidak dibuat-buat. Rasa stress sepanjang menonton menjadikan tidak sabar untuk mengetahui pengakhiran cerita. Betul-betul tak senang duduk, hendak pergi ke tandas pun tahan dulu. Halatuju penceritaan pada skala makro yang cukup bagus kerana berhasil membina rasa cemas dalam menggerakkan cerita ke hadapan dengan dinamika konflik di antara kedua-dua keluarga.

Elemen-elemen survival horror dalam SNE bekerja dengan baik. Ritma yang dibungkus rapi hingga mencapai kemuncaknya membuat penonton dapat menikmati filem berdurasi 110 minit itu meski memiliki plot yang cukup sederhana. Menawarkan kombinasi menarik antara psikologi thriller dan keganasan brutal, menjadikan SNE tontonan yang tidak boleh dilepaskan bagi para penggemar filem sebegini. Sudah tentu saya memberi rekomendasi tertinggi buat filem 'Speak No Evil' ini pada setiap yang bertanya mengenainya. Gaya filem berputar dan membina saspens, sering membuat hati tertanya-tanya "what happen next?". Di situ lah terletaknya permainan manipulasi emosi mendalam yang saya kira sangat berjaya. 

Filem 'Speak No Evil' memiliki ending yang cukup ikonik. Sebahagian karektor tampaknya tetap berpegang teguh dengan sikapnya yang anti kekerasan, meski nyawanya dipertaruhkan. Namun sebahagian lainnya memperlihatkan sisi ngeri yang belum pernah digambarkan di sepanjang cerita. Adegan kekerasan pada bahagian ending ini juga akan menggoda psikologi penonton, kerana digambarkan secara brutal dan tanpa belas kasihan. 

Saya dapat rasakan situasi dimana saya dan penonton lain tidak diberi ruang untuk menarik nafas lega kerana selain didominasi adegan pertengkaran brutal, yang digambarkan secara tajam, pengakhiran SNE juga dipenuhi darah. Namun tentu saja hal itu menjadi daya tarik tersendiri, khususnya buat pecinta filem thriller. Jangan lupa saksikan filem 'Speak No Evil' tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula 12 September 2024.