Sonic The Hedgehog 3: Lebih Cepat, Lebih Kuat, Lebih Hebat!

oleh: zizi hashim

Di sebalik dingin sel tahanan, Shadow the Hedgehog - hasil eksperimen rahsia ketenteraan G.U.N. yang terbeku selama 5 dekad - akhirnya bangkit dari tidur panjang. Kebangkitannya memaksa G.U.N. mencari bantuan trio hebat: Sonic yang pantas (Ben Schwartz), Knuckles yang gagah (Idris Elba), dan Tails yang bijak (Colleen O'Shaughnessey). Namun, kuasa Shadow ternyata mengatasi kehebatan para Wira Sonic. Tersepit dalam dilema, mereka nekad mendapatkan bantuan musuh tradisi - Dr. Robotnik (Jim Carrey). Namun, pakatan rapuh ini tidak kekal lama apabila takdir mempertemukan semula Robotnik dengan datuknya, Gerald Robotnik (turut dilakonkan Jim Carrey). Bersama Shadow (Keanu Reeves), mereka menyimpan dendam yang mendalam terhadap manusia, menganyam rancangan pembalasan yang bakal menggoncang dunia.

Filem-filem Sonic memang terkenal dengan jenaka ringan untuk tontonan keluarga. Ini menciptakan satu cabaran unik apabila perlu memaparkan kisah tragis Shadow yang memerlukan pendekatan lebih dewasa. Namun, trio penulis skrip - Pat Casey, Josh Miller, dan John Whittington - bijak mengolah tanpa mengorbankan unsur-unsur penting dari bahan asal. Mereka berjaya mengimbangi antara kesedihan mendalam dengan kelucuan yang sudah sinonim dengan filem-filem terdahulu. Menariknya, filem-filem Sonic membawakan versi 'Si Kilat Biru' yang berbeza dari media lain. Di sini, dia digambarkan sebagai watak yang sangat prihatin terhadap perasaan orang lain, walaupun hiperaktif. 

Para penulis dengan bijak mengekalkan teras penceritaan yang mengusik jiwa - perihal kehilangan, kedukaan dan ikatan kekeluargaan yang telah menjadi nadi siri ini sejak permulaan. Skrip yang matang ini mengangkat francais ini ke tahap yang lebih tinggi, melampaui batas naratif sumber asalnya. Perbandingan antara Sonic dan Shadow digarap dengan halus, bukan sekadar membandingkan rupa fizikal mereka yang serupa, tetapi meneroka dimensi yang lebih mendalam tentang bagaimana kasih sayang Tom (James Marsden) dan Maddie (Tika Sumpter) telah membentuk jati diri Sonic. Persoalan "bagaimana jika" yang ditimbulkan memberikan lapisan kompleksiti yang menarik kepada perwatakan kedua-dua watak ini.

Sutradara Jeff Fowler mencurahkan segenap jiwanya dalam mengarahkan kemunculan Shadow ke pentas realiti. Tak hairanlah, kerana beliau pernah mengasah bakatnya menganyam pergerakan Shadow dalam permainan video yang menjadi asas legasi watak ini. Dalam medan animasi, watak-watak Sonic menari dengan keanggunan yang mengkagumkan, namun Shadow membawa dimensi baharu yang memukau. Di bawah tongkat Fowler dan pasukan kesan khasnya, Shadow bangkit bagai ribut hitam yang tidak terbendung, menguasai setiap sudut skrin dengan kehadiran yang menggetarkan dalam setiap babak aksi yang dirajut dengan teliti.

Namun, di sebalik topeng kegelapannya, Shadow juga dipersembahkan bagai anak kucing yang mengundang simpati - terutamanya dalam babak kilas balik yang ditenun dengan halus bersama Maria (Alyla Browne). Para juruanimasi menghadiahkan "makhluk agung" ini dengan jiwa yang begitu mendalam, sehingga air mata kesedihan dan kemarahan yang dipaparkan menandingi bintang-bintang layar perak Hollywood. Suara Keanu Reeves terdengar begitu sempurna meresapi ke dalam jiwa Shadow. Setiap kata yang dilontarkan membawa gema kesakitan purba yang menusuk kalbu penonton. Sesungguhnya, perwatakan Shadow yang dipaparkan adalah bagai cermin yang memantulkan segala kesempurnaan yang diimpikan peminatnya.

Lakaran lakonan Jim Carrey yang menakjubkan sebagai Ivo Robotnik merupakan highlight utama. Setiap baris dialog yang diucapkan tidak putus-putus mencurah gelak ketawa. Beliau menjelmakan diri sebagai ancaman yang mengerikan namun menghiburkan. Saya sendiri gelak terbahak-bahak di setiap kemunculan Jim Carrey. Apabila pengumuman dibuat bahawa Gerald Robotnik, datuk kepada Ivo, akan terus bernafas dalam *'Sonic 3', satu anjakan berani dari naskah asal, keraguan mula menyelubungi. Namun, persembahan berganda Carrey membuktikan kebijaksanaan keputusan ini. Beliau menghadiahkan kepada penonton 2 watak yang begitu berbeza namun saling melengkapi. 

Carrey kekal menjadi permata yang paling berkilau dalam francais ini, dengan raut wajahnya yang tidak terjangka dan cara penyampaian dialog yang penuh bersahaja menyerlahkan kredibilitinya dalam memegang 2 peranan. Walaupun Schwartz mengisi suara watak utama yang pantas ini, Carrey adalah bintang sebenar yang mencuri perhatian, memberikan 2 kali ganda keseronokan dan kelucuan.  'Sonic 3' membuktikan bahawa Carrey masih belum kehilangan sentuhan ajaibnya dalam dunia komedi. Dalam era di mana kebanyakan filem keluarga terlalu serius, kehadiran Carrey yang tidak dapat dijangka memberikan satu kelainan yang amat diperlukan.

Sebagai Gerald, beliau mengukir watak yang sama menghiburkan tetapi membawa kegelapan yang lebih mendalam, mengangkat filem ini ke aras yang lebih tinggi. Sebagai sekuel, filem ini meneruskan jalinan hubungan Robotnik dengan dunianya dan Ejen Stone (Lee Majdoub) yang setia. Walaupun ada ketika filem berhenti sejenak untuk membenarkan Carrey bermain dengan kamera, kelucuannya yang nakal dan memikat tidak membenarkan sebarang rasa kecewa menyelinap masuk. Sesungguhnya, filem ini membawa peningkatan yang ketara melalui perhatian yang teliti terhadap perwatakan, ketepatan dalam formula, dan babak-babak aksi yang dijalin dengan indah. Ia adalah bukti bahawa sebuah sekuel boleh matang dan berkembang tanpa kehilangan cahaya ajaib yang menjadikannya istimewa pada asalnya.

Di sebalik keceriaan yang dibawa oleh Carrey, 'Sonic the Hedgehog 3' kadangkala melangkah ke wilayah yang lebih gelap. Shadow dipacu oleh hasrat membalas dendam atas kematian sahabatnya - satu tema yang terasa agak janggal apabila dipadankan dengan lawak jenaka Carrey, dialog-dialog humor Schwartz, dan humor kasar dari Knuckles yang disuarakan oleh Elba. Plot dan motivasi watak tidak pernah menjadi kekuatan utama siri ini.  Jalan cerita bukanlah daya tarikan utama di sini. 

Tiba-tiba ada permata ajaib, kunci misteri, dan babak tarian yang seakan dimasukkan tanpa sebab yang jelas, seolah-olah para penulis memutuskan "why not?".  Percampuran tona yang tidak sekata ini, antara kesedihan mendalam Shadow dengan unsur-unsur komedi ringan, adakalanya menghasilkan pengalaman tontonan yang agak tidak seimbang. Ia seakan cuba menari di antara dua dunia yang berbeza: satu yang ingin meneroka tema-tema gelap tentang kehilangan dan dendam, dan satu lagi yang masih ingin mengekalkan keceriaan filem keluarga. 

Di sebalik kerancakan pengembaraan ini, saya akui 'Sonic 3' telah mengangkat siri ini ke tahap yang tertinggi setakat ini. Filem ini tetap berdiri megah sebagai hiburan keluarga yang unggul, mengatasi filem-filem terdahulu dengan jalinan cerita yang lebih kukuh, keseimbangan nada yang sempurna, animasi yang memukau, dan sudah tentu, persembahan Carrey yang sangat mengkagumkan. Meski jelas kelihatan bahawa siri ini masih jauh dari penghujungnya, saya tidak dapat menahan rasa teruja untuk melihat kelanjutannya. 'Sonic 3' membangkitkan semula rasa keseronokan yang tidak pernah saya rasai sejak zaman-zaman awal MCU, atau ketika 'Fast & Furious' membawa masuk Jason Statham dalam F7 - satu tahap keghairahan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Berlangsung dalam durasi 1 jam 50 minit, filem ini bagai angin segar yang meniup ke dalam dunia francais, membawa bersama-samanya janji akan masa depan yang lebih gemilang. Ia membuktikan bahawa sebuah siri filem boleh terus berkembang dan matang tanpa kehilangan semangat dan keajaiban yang membuatkan penonton jatuh cinta pada mulanya. Masih ditayangkan di pawagam sejak 26 Disember 2024, jom tonton cepat!!!