‘Sengkolo: Malam Satu Suro’ Angkat Cerita Ilmu Hitam Suku Jawa

oleh: zizi hashim 

Saat melihat trailer-nya sahaja, sudah terasa penuh kengerian. Sangat terkesan dengan nuansa seramnya yang digabungkan dengan suspense. MVP Pictures kembali dengan filem seram terbaru berjudul ‘Sengkolo: Malam Satu Suro’ (SMSS). Sama seperti filem mereka sebelum ini ‘Kereta Berdarah’, MVP Pictures menghadirkan kisah seram yang unik. Ternyata filem ini terinspirasi dari kisah benar tentang kematian satu keluarga secara misteri. Dari situ, pasukan produksi mulai bergerak melakukan perkembangan plot cerita.

Apa itu Sengkolo? Dalam klenik Jawa ia dianggap sebagai entiti negatif yang sering menghantui manusia, dianggap membawa sial dan menghadirkan malapetaka. Pada malam Satu Suro, Sengkolo dikatakan sedang mencari beberapa ‘hari kelahiran’ atau weton yang akan menjadi mangsanya. Weton yang dijangka lahir pada Isnin Pahing, Selasa Legi, Khamis Pon, Jumaat Pahing dan Sabtu Kliwon berkemungkinan besar menjadi target utama untuk dijadikan korban.

Elemen tradisional Jawa ini yang membezakan setiap filem seram Indonesia saya kira. Malam Satu Suro sendiri adalah satu konsep yang sudah dikenali meluas dalam budaya Jawa, memberi vibes indo yang autentik. Ritual dan kepercayaan masyarakat yang ditampilkan dalam SMSS memberikan warna tersendiri serta memperkaya cerita. 

Sengkolo: Malam Satu Suro menggabungkan unsur tradisional dengan nuansa moden, fokus kepada kehidupan seorang pemandi jenazah bernama Ibrahim (Donny Alamsyah) yang berubah drastik sejak kemalangan tragis menimpa anak dan isterinya. Sedihnya bukan kepalang harus kehilangan isteri yang sedang sarat hamil dan anak perempuan sulung, meninggalkan trauma mendalam membuatkan dia nekad berhenti kerja. Namun, ketua kampung telah datang meminta pertolongan Ibrahim untuk memandikan satu keluarga kaya yang dipercayai mati akibat sihir. Kematian keluarga yang pernah menjadi majikan isterinya itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Awalnya Ibrahim ragu dan enggan untuk memandikan satu keluarga itu, namun setelah beberapa pertimbangan dia akhirnya bersetuju. Ketika proses memandikan jenazah berjalan, Ibrahim harus berhadapan dengan kekuatan roh jahat yang bersembunyi disebalik kematian misteri itu. Untuk menghadapinya tidaklah mudah kerana harus melawan kekuatan iblis dan berjuang dengan imannya sendiri yang telah lama hilang. 

Filem karya sutradara Hanny R. Saputra ini bertemakan ilmu hitam suku Jawa, memberikan perspektif baru dalam melihat fenomena mistik di sekeliling kita. Berkait rapat dengan budaya Jawa, di sebuah kampung terpencil, sebuah keluarga kaya dan kehidupan terpinggir menjadi mukadimah. SMSS dimulai dengan rentak perlahan memudahkan penonton memahami jalan cerita dan iringan jumpscare yang boleh tahan banyak, dikemas dengan baik. Kedalaman budaya Jawa dalam setiap watak untuk SMSS sudah cukup baik meski perlu ada evaluasi.

Didominasi kegelapan, Sengkolo menyajikan seram psikologi berkaitan peristiwa kecelakaan keluarga Ibrahim dengan keluarga kaya di desa tersebut membuatkan penonton bermain teka-teki. Fokus utama cerita berlaku pada malam satu suro di sebuah desa Jawa. Karektor Ibrahim yang tampil cemerlang lewat lakonan Donny Alamsyah berjaya menjadikan filem ini lebih menarik. Terselit juga lawak jenaka dalam ketakutan lewat si Joko (Rahmet Ababil) berhasil mencetuskan gelak ketawa di tengah-tengah atmosfera intense yang dibangun oleh Sengkolo. Satu panggung pecah ketawa dan satu panggung juga bergema jeritan ketakutan akibat terkejut.

Dari segi kesan bunyi dan visual, SMSS sukses memberi tampilan kemegahan nuansa klenik budaya Jawa dari tahun 90-an hingga 2000-an. Music scoring yang epik ditambah dengan visual hantu yang agak realistik membuat filem ini padat dengan jumpscare yang maksima. Selain itu, tona warna dan kesesuaian lokasi bagi setiap dialog yang dicipta juga berjaya dibungkus kemas dan cenderung ke arah kegelapan. Setiap babak dipenuhi dengan atmosfera mencengkam, membuat penonton terus waspada. Penggunaan latar desa yang gelap dan penuh kelam berhasil menambah ketakutan sedia ada.

Efek visual yang terhasil oleh SMSS tidak terasa keterlaluan, just nice kalau menurut saya. Ini terserlah dari pengalaman beberapa filem seram sbelum ini, Hanny R. Saputra mahir mencipta tampilan mengerikan yang cukup seram selama durasi 1 jam 40 minit untuk filem ini. Komitmen untuk menghadirkan sebuah kisah yang tidak hanya menghibur tetapi juga dapat membangkitkan perasaan dan pengalaman yang dapat berhubung-baik dengan masyarakat. Penekanan tentang pentingnya memiliki iman yang teguh kepada Allah dalam menjalani kehidupan adalah mesej mendalam yang disampaikan melalui filem ini.

Turut dibintangi oleh Fauzan Nasrul, Anantya Kirana, Kenya Nindia, Nesia Weroza Puspa, Dasha March, Dayinta Melira dan ramai lagi, saya meneka akan ada kesinambungan sekuel seterusnya yang dipaparkan pada penghujung cerita. Buat pecinta filem seram yang gemar plot straight-forward dan suapan jumpscare yang bertalu-talu, Sengkolo: Malam Satu Suro adalah wajib tonton. Bermula 8 ogos di seluruh pawagan Malaysia, apa tunggu lagi, jom!