oleh: zizi hashim
Saat hati sedang gundah gulana, datang menonton dengan jiwa kosong, pun masih terburai gelak ketawa kuat sepanjang durasi 2 jam 3 minit filem berjalan. Sumpah tak tipu, dari minit-minit terawal sudah dihidangkan dengan dialog-dialog lucu pelakon komedi Indonesia yang membuat penonton tidak kering gusi melihat telatah mereka. 'Kang Mak: From Pee Mak' (KMFPM) diproduksi oleh Falcon Pictures merupakan filem adaptasi dari filem Thailand yang cukup popular pada tahun 2013 berjudul 'Pee Mak'. Terlihat jelas hampir 90% persis filem remake ini tidak menyimpang jauh dari filem asalnya.
Namun hal ini bukan bererti Kang Mak tak wajar dinikmati. Kang Mak tetap suskes menjadi filem komedi menghibur yang memancing gelak tawa penonton satu panggung dari awal hingga akhir. Apa tidaknya, KMFPM dibarisi bintang-bintang komedi popular Indonesia yang terdiri dari Indra Jegel (Fajrul), Indro Warkop (Supra), Rigen Rakelna (Solah) dan Tora Sudiro (Jaka) yang menjadi sahabat baik kepada Vino G. Bastian (Makmur). Di sebalik tabir, projek bercita-cita tinggi ini telah diamanahkan kepada tangan Herwin Novianto, sutradara terkenal yang telah membuktikan kualitinya melalui pelbagai karya fenomena. Pemilihan Herwin sebagai pengarah menunjukkan kesungguhan penerbit dalam menggarap Kang Mak, dengan harapan dapat mengulangi malah melepasi kejayaan versi asal.
Filem genre seram komedi ini mengisahkan perjalanan Makmur, seorang tentera yang berjuang membela negara, terpaksa meninggalkan isterinya Sari yang sedang sarat hamil. Makmur bersama sahabat-sahabatnya, Supra, Fajrul, Jaka dan Solah, bertekad untuk selamat bertempur dari medan perang demi untuk kembali ke pangkuan keluarga tercinta. Setelah menempuhi pelbagai cubaan berbekalkan semangat persahabatan yang tidak tergoyahkan, Makmur akhirnya selamat pulang. Sekembalinya Makmur disambut hangat oleh Sari dan buah hati mereka, Cipluk.
Namun, kebahagiaan ini tidak bertahan lama. Khabar angin buruk mula bertiup kencang di kampung, memperkatakan tentang perihal Sari telah meninggal dunia dan sosok yang mereka lihat itu adalah roh berkeliaran. Sebagai filem adaptasi, KMFPM membawa mitologi legenda hantu Mae Nak Phra Khanong menjadi konteks seram dengan sentuhan yang lebih segar. Kemistri yang terbina antara Vino dan Marsha Timothy berjaya membuatkan hubungan Makmur dan Sari sebagai pasangan suami isteri kelihatan manis dan sangat emosional secara realistik pada pengakhiran cerita. Marsha berjaya mempamerkan aura anggun dan seram sekaligus sepanjang filem sebagai Sari yang juga menakutkan penonton.
Tak hairanlah apabila KMFPM telah mencatat jualan Box Office di Indonesia. Kalau menurut saya, filem komedi seram yang berjaya adalah pada kedua-dua rasa yang bergabung dan meninggalkan impak terkesan yang mendalam. Saya ketawa terbahak-bahak, merasa seram dan sedih dalam masa yang sama menonton filem ini. Sempat juga berlinang airmata pada babak akhir mengenangkan dua insan bercinta yang berbeza alam dunia dan alam roh utk bersatu. Vino dan Marsha melakonkan karektor mereka dengan sangat baik lewat kemistri solid dalam menyampaikan kisah romantis menyentuh hati, harus terpisah meski saling cinta kerana mustahil untuk sehidup semati apabila seorang hidup dan seorang lagi mati.
Dinamika lakonan mereka juga seronok untuk ditonton. Vino sebagai Makmur yang lebih cerewet dan bising, Marsha sebagai Sari yang tenang (seram juga bila perlu). Seimbang. Ditutup dengan kelainan dalam lakonan ketiga yang bukan sahaja bertujuan untuk menggemparkan malah turut menyumbang kepada peningkatan kekuatan perasaan dalam penyampaian drama romantisnya, KMFPM membuktikan bahawa keputusan untuk membuat semula filem popular dan berkualiti tinggi bukan selalunya 'misi bunuh diri'. Bukan berarti filem ini adalah salinan yang sepenuhnya sama, kerana penulis naskhah Alim Sudio tetap menerapkan modifikasi di beberapa babak, dengan tujuan memberi nuansa budaya Indonesia yang lebih kental.
Interaksi dan dialog perbualan antara Indra Jegel dan Rigen Rakelna dirasakan lebih dominan dan berjaya mengundang ramai orang ketawa berdekah-dekah dari awal hingga akhir filem 'Kang Mak' ini. Sama seperti versi asal, KMFPM juga menggunakan desa terapung sebagai latar tempat berceritanya, nuansa mistiknya begitu terasa sewaktu menonton. Begitu juga dengan penggunaan CGI buat menunjukkan kemampuan Sari sebagai hantu juga terbilang efektif dan terlihat baik. Selain itu, penggunaan scoring yang dihadirkan juga selalu tepat dengan suasananya. Mulai dari muzik dengan tempo dan volume cepat untuk menggambarkan suasana mengerikan, muzik sendu di momen romantis ataupun sedih, ataupun muzik riang buat menambah nuansa kelakar di adegan komedi.
KMFPM sekali-sekala menggunapakai gaya jenaka yang tidak masuk akal, yang sering mengabaikan ketepatan atas nama komedi. Bukan suatu kekeliruan. Kelucuan itu sering menjadi sasarannya berkat persembahan para pelakon, terutama rakan-rakan kuartet Makmur. Indro, Tora, Indra, dan Rigen berbual sesama sendiri, melemparkan jenaka seperti sekumpulan orang yang telah bergurau bersama selama bertahun-tahun. Setiap daripada mereka juga mempunyai peranan yang pasti. Indra dan Rigen adalah peneraju (paling kerap melakukan perkara bodoh), Indro menambah humor yang diungkapkan oleh mereka berdua, manakala Tora sebagai watak yang cenderung lebih serius hadir sebagai pengimbang karektor.
Kalau menurut saya, rasanya pengalaman menonton benar-benar boleh dimaksimumkan untuk penonton yang belum pernah menonton 'Pee Mak' kerana mereka boleh menontonnya tanpa ada harapan atau menunggu babak dari filem asal. Namun begitu, KMFPM pada akhirnya kekal sebagai filem seram komedi sangat menghiburkan, menduduki carta paling kelakar untuk saya setakat tahun 2024 ini. Bermula dari gurauan, hinggalah adegan yang boleh memanaskan hati, masih cemerlang dipersembahkan dengan baik sehingga ke penghujungnya. Turut terselit babak tribute kepada 'Pee Mak' melalui nuansa bercanda yang tersalur dengan sebegitu smooth.
Mesej mendalam berkenaan cinta, komedi yang sangat menggeletek perut dan kebersamaan dengan orang yang kita sayang terkandung dalam filem ini. Memang sangat kelakar, saya tidak boleh berhenti ketawa dan saya ketawa sangat kuat. Namun saya jugalah yang berlinang airmata pada pelajaran tentang cinta yang banyak mengajar tentang kesetiaan. Memang wajib tonton kerana ia sangat mengujakan sehinggakan saya tak percaya dan tak terasa ianya berdurasi selama 2 jam. Jom???