Romansa Terbang Jauh Ke Bulan Dalam “Fly Me To The Moon”

oleh: zizi hashim 

Kolaborasi perdana buat Scarlett Johansson dan Chaning Tatum membintangi filem yang sedikit aneh tetapi menghiburkan, merupakan konstelasi genre yang berpadu dengan romansa komedi bertemakan NASA. Fly Me To The Moon (FMTTM) rasanya adalah retro romkom pertama yang pernah saya tonton bertemakan antariksa luar angkasa sekitar tahun 1960-an yang terjadi antara Amerika Syarikat dan Uni Soviet ketika itu. Ini adalah kisah cinta, teknologi sains dan komedi digarap sekaligus, tapi sungguh, ia dipersembahkan dalam versi aneh dari misi Apollo 11 dengan kesamaran romansa antara dua jiwa yang hidup dalam penafian.

Fiksyen sejarah mungkin cara terbaik untuk mendeskripsikan filem ini. Ianya adalah sejarah alternatif NASA pada tahun 1969, berfokus pada dua ‘frenemies’: Kelly Jones (Scarlett Johansson) seorang Pakar Pemasaran yang otak bergeliga dan licik dengan Cole Davis (Channing Tatum) seorang Pengarah Pelancaran Misi yang tidak banyak cakap dan selalu serius. Kelly terlihat sering membuat tugas Cole bertambah sulit padahal sebenarnya dia sanggup berbuat apa sahaja dalam usaha mendapatkan dana dari kongress bagi menyokong misi ke bulan. Sehingga suatu saat dia telah diarahkan untuk merencanakan pendaratan palsu di bulan sebagai backup plan sekiranya misi tersebut gagal.

Teori Konspirasi pemalsuan ini merupakan konflik utama di dalam plot FMTTM. Kalau menurut saya, terlalu banyak fiksyen atau pseudosains yang membuat filem ini tetap membumi. Agak sukar untuk mengajak penonton mengambil serius tentang perkisahan ini kerana setiap komedi yang diselitkan. Meski bertujuan untuk menghibur, agak dikesalkan kerana tidak tampak realistik dan satu-satunya aspek yang saya kira mencacatkan. 

Dari segi karektoristik pula, Johansson dan Tatum telah menjalin kemistri kuat yang sukses menawan hati penonton. Malahan mereka dikelilingi barisan pelakon pembantu yang hebat dan lucu, terutamanya Jim Rash yang mencuri beberapa babak sebagai Pengarah Diva Lance Vespertine dan Anna Garcia sebagai pembantu bernama Ruby. Saya juga sukakan pesan moral yang ingin disampaikan. Seperti kata-kata Kelly kepada Cole setelah projek berjaya, “Kebenaran tetap benar meski tiada yang percaya; dan kebohongan tetap bohong meski semua mempercayainya.” 

Dengan risiko besar seperti menjaga keselamatan angkasawan dan memelihara kepercayaan masyarakat terhadap teknologi sains, hal ini merupakan prinsip penting untuk difahami. Sayangnya, sebahagian besar momen terbaik telah disia-siakan. Namun begitu, ada juga beberapa babak yang tulus dan editing bijaksana yang menjadikan FMTTM menyenangkan, tidaklah semuanya menjunam.

Mungkin jika plotnya tetap lebih dekat dengan bumi dan tidak terlalu terbang jauh ke ruang angkasa, kawalan kendali misi NASA ini masih boleh ‘menyimpan’ lebih banyak perkara. Dari nada yang berantakan, sutradara Greg Berlanti bermain dengan sindiran politik yang sinis, menjadikan romansa komedi ini sedikit berat. Apa yang paling saya suka tentang filem ini? Sejujurnya, Scarlett Johansson sangat cantik dalam busana era 60-an yang begitu mempesonakan. Wataknya yang lincah, keupayaan membaca minda dan mengetahui perkara yang belum berlaku adalah kelebihan yang memberi markah tambah.

Menonton Kelly Jones berubah dari satu saat ke saat yang lain kepada sesiapa yang dia perlukan untuk mencapai kehendaknya memberikan sumber kegembiraan utama dalam FMTTM ini. Negatifnya – Kelly Jones seorang penipu yang kompulsif? Mungkin, namun dia ekstrim cekap dalam menjalankan apa saja tugasan yang diberi. Bagaimanapun Cole tidak mahu menjadi sebahagian dari penipuan Kelly. Percikan hubungan romantis yang terjalin antara keduanya dilihat sebagai tidak masuk akal. Gurauan tajam adalah krusial dalam romkom ‘bola skru’ ini. Selain itu, saya juga suka watak kucing hitam yang diselitkan.

Pada akhirnya saya jadi keliru sendiri. Apakah ini komedi atau drama? Apakah ini nostalgia atau kritik sejarah? Jika mahu tahu, haruslah segera terbang jauh ke bulan untuk mendapatkan jawapan metafora yang paling tepat.

"I know a lot more about the moon than I know about you..."