Rasa Cinta Negara Semakin Kuat Terpatri Setelah Tonton ‘Takluk: Lahad Datu’

oleh: zizi hashim 

Daya tarikan utama yang buat saya tidak sabar untuk menonton filem berinspirasikan kisah benar ini adalah, terus-terang, elemen sejarahnya dan barisan para pelakonnya juga. Seringkali setiapkali usai menonton filem patriotik dan bersifat kenegaraan berkait-rapat dengan jati diri yang meningkatkan rasa cinta pada negara. Itulah emosi yang kuat saya rasakan ketika menonton filem ‘Takluk: Lahad Datu’, menghadirkan debar dan cemas keterlaluan pada setiap babak, saya akui tidak senang duduk.

Bersempena bulan kemerdekaan, ‘Takluk: Lahad Datu’ diprediksi sebagai filem yang bakal membangkit semangat patriotik dikalangan pelbagai generasi berdasarkan inspirasi yang diceritakan semula tentang peristiwa sebenar Krisis Pencerobohan Lahad Datu pada 2013. Memberikan impak yang sangat besar buat Malaysia, dimana seramai 10 orang wira negara telah terkorban pada krisis pencerobohan itu. Belum lama dan masih segar di ingatan, tragedi berdarah berlaku pada 11 tahun yang lalu pastinya sangat menyentuh hati dan pada masa yang sama memberi apresiasi dalam memperingati keberanian para wira negara yang mempertahankan tanahair.

Meneruskan kesinambungan penghasilan filem kenegaraan, ‘Takluk: Lahad Datu’ adalah fakta sejarah yang disuntik elemen fiksyen bagi mencantikkan alur cerita. Sutradara Zulkarnain Azhar telah dengan kreatif mengolah tema sejarah menjadikannya lebih menarik untuk ditonton. Label patriotik yang dibawa dalam naskhah ini menjadi satu wadah ilmu dalam penyampaian jalan cerita menghiburkan.

Filem aksi peperangan ini membariskan bintang-bintang hebat seperti Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Josiah Hogan, Riezman Khuzaimi, Adam Corie, Fad Anuar dan ramai lagi. Paling istimewa bagi saya adalah keterlibatan seniman Eman Manan yang memegang watak antagonis, satu kelainan dari kebiasaan yang membangkit teruja. Begitu juga dengan seniman Nasir Jani turut memegang peranan antagonis.

Padat dengan semangat perjuangan, keberanian dan airmata yang ditonjolkan, saya sangat terkesan melihat babak-babak ngeri pertumpahan darah yang dibungkus kemas dengan begitu realistik. Adegan tembak-menembak dan letupan, memberi rasa cemas maksima bahkan turut menitiskan airmata kerana terharu melihat betapa kentalnya semangat pejuang-pejuang negara menghadapi musuh demi tanahair tercinta. Proses penggambaran filem ini telah dijalankan di Semporna dan Lahad Datu, Sabah selama hampir dua bulan dan juga di sekitar Selangor. 

Sedikit sinopsis tentang ‘Takluk: Lahad Datu’ mengisahkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013. Dibawah pimpinan Raja Iskandar, kumpulan Gagasan Militan Nusantara (GMN) sebahagiannya bersenjata telah menceroboh Kampung Batu Jugar. Satu rundingan diplomatik secara damai telah diusahakan oleh pasukan pengurusan krisis Polis Diraja Malausia (PDRM) diketuai oleh Datuk Mizan bagi mengelakkan sebarang pertumpahan darah. Pasukan keselamatan Malaysia telah mengepung Batu Jugar sementara rundingan damai masih lagi diteruskan.

Kekecohan mula berlaku apabila pasukan PDRM bertembung dengan militant GMN ketika memindahkan orang awam ke tempat selamat, mengakibatkan rundingan terhenti. Berikutan itu, PDRM telah membuat kepungan dengan menutup jalan keluar, lantas berlakulah pertempuran sengit yang mengorbankan 2 anggota VAT 69 Komando manakala ramai lagi yang lain tercedera. 

Tidak lama kemudian, serangan ke atas Kampung Air turut menyebabkan beberapa anggota PDRM terkorban dan tercedera. Aksi brutal dan ngeri berdarah, dibelasah sehingga mati, yang dipaparkan cukup memberi kesan mendalam pada saya kerana terlalu realistik. Anggota polis yang terbunuh di Kampung Air ditemui dalam keadaan yang sangat tragis dan dipenggal kepala. Perbuatan kejam yang sangat tidak berperikemanusiaan.

Operasi TAKLUK dilancarkan. Paling mendebarkan adalah ketika ibu kepada salah seorang dari Inspektor bertugas telah hilang dari rumah dan apabila ditemui telah menjadi orang tebusan GMN. Tak terbayang jika saya yang berada dalam situasi tersebut. Pasti sudah menangis dan jantung  berdebar tak keruan. PDRM berjaya menyelamatkan anggota dan penduduk yang ditawan serta menumpaskan saki-baki militant GMN akan tetapi ahli tertinggi GMN masih terlepas dan operasi Takluk masih diteruskan bagi membanteras penceroboh dan pengganas GMN. 

Harus saya akui, sepanjang menonton terasa bagaikan turut berada di tengah-tengah medan pertempuran. Acapkali peluru bertebaran bertalu-talu, saya turut ikut berselindung takut-takut terkena peluru. Sementelah lagi ketika babak gore yang kejam mengundang rasa tidak tentu arah dalam jiwa, entah ke mana hendak lari. Meskipun hanya menonton filem, dalam hati saya tidak putus-putus berdoa agar setiap seorang yang berada di situ selamat dan tidak menjadi korban pengganas.

‘Takluk: Lahad Datu’ yang ditayangkan dalam format IMAX® dan Dolby Atmos benar-benar memberikan pengalaman sinematik yang mengasyikkan. Kualiti visual dan audio yang luarbiasa memberi rasa sebenar seolah-olah berada di lokasi kejadian menyaksikan sendiri dengan dua mata keberanian wira-wira negara berjuang habis-habisan sehingga ke titisan darah terakhir. Emosi yang bercampur-baur dikongsi bersama pada babak drama tentang keluarga yang ditinggalkan, berhadapan detik cemas menanti berita tentang setiap yang berjuang samada pulang atau tewas diperbatasan.

Dipersembahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media, serta diedarkan oleh GSC Movies, filem ‘Takluk: Lahad Datu’ turut dipersembahkan bersama oleh CUCKOO dengan pengiktirafan khas kepada ArtiqAir. GSC juga telah melancarkan promosi Merdeka dengan tawaran tiket tayangan awal bernilai RM750,000 bermula 16 Ogos sehingga 18 Ogos di semua pawagam di seluruh negara. Kempen ‘Beli 1 Percuma 1’ ini boleh didapati menerusi pembelian online dan juga aplikasi mudah alih, selagi stok masih ada.

Menjelang 31 Ogos 2024 nanti, genaplah 67tahun negara kita bebas daripada cengkaman penjajah. Berkat kemerdekaan itu, kita dapat hidup dalam suasana aman makmur dan bebas mencorak masa depan tanpa perlu tunduk dengan mana-mana kuasa luar. Sempena sambutan hari yang cukup bermakna, jom kita semarakkan semangat cintakan negara Malaysia dengan menonton naskhah patriotik terbaik ini mulai 22 Ogos 2024 nanti.

"Biar liar, jangan bacul!"