oleh: zizi hashim
Sememangnya tidak dinafikan, Pontianak 200KG merupakan filem komedi seram paling 'berat' abad ini kerana mengisahkan tentang bukan 1 tetapi 2 Pontianak 'comel' yang sentiasa kelaparan sebagai karektor utama. Cuba lari dari kebiasaan stereotype, kedua-dua Pontianak ini hanya lapar dan suka mengusik orang kampung dengan mencuri makanan mereka. Tercetusnya idea untuk menghasilkan filem ini adalah berikutan kejayaan luarbiasa telefilem 'Pontianak 100KG' yang menjadi pilihan nombor 1 di Tonton. Primeworks Studios dan Metrowealth dengan bangganya mempersembahkan filem terbaru yang dihasilkan untuk menghiburkan penonton dengan penceritaan yang lebih menarik dan lebih lucu. Ini sekaligus memperlihatkan kemajuan industri perfileman tempatan melalui kerjasama yang erat antara produksi.
Filem dibawah arahan sutradara Suhaimi Lua ini menampilkan Aya Amiruddin sebagai teraju utama bergandingan bersama Dottie. Buat pertama kali Aya Amiruddin diberi tanggungjawab memegang peranan utama dalam filem pertamanya yang pasti sangat dinanti-nantikan oleh para peminatnya. Pontianak 200KG turut membariskan pelakon hebat seperti Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, Hairul Aziz, Malia Baby, Shaf Naufas dan ramai lagi. Apich Lo juga diperkenalkan sebagai salah satu watak utama, serta penampilan istimewa primadona Ziana Zain, yang pastinya akan mencuri tumpuan ramai setelah sekian lama tidak beraksi di layar perak.
Latarbelakang cerita berkisar dalam masyarakat Kampung Terbalik yang menjadi mangsa serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi yang mencari makanan kerana sentiasa kelaparan. Situasi menjadi semakin huru-hara apabila penduduk kampung menyangka mereka adalah pontianak yang menghisap darah hingga menyebabkan ramai penduduk kampung koma. Pak Akad, selaku ketua kampung menjadi semakin buntu dan tertekan untuk menghentikan jumlah penduduk yang semakin ramai koma. Kemunculan Bilal atau Lee Min Ho, seorang jejaka ala Korea (yang juga anak kepada Pak Akad) telah membuatkan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi jatuh cinta dan mula bersaing untuk menarik perhatian Bilal. Namun keadaan masih belum reda dan penduduk kampung masih menjadi mangsa serangan pontianak.
Filem Pontianak 200KG telah menjalani proses penggambaran yang cukup teliti, dengan kebanyakan lokasi penggambaran bertempat di Ijok, Selangor. Lokasi ini dipilih untuk memberikan latar yang tepat, sesuai dengan elemen seram komedi yang menghidupkan suasana kegelapan dalam filem ini. Jika dilihat pada kajiselidik yang pernah dilakukan, rata-rata penonton filem di Malaysia memang cenderung gemarkan filem seram komedi ringan yang menghiburkan dan boleh menghilangkan stress dengan gelak ketawa maksima. Oleh sebab itu, konsep genre pemilihan filem ini diharap dapat memacu perkembangan landskap perfileman tempatan.
Apa yang membezakan antara kedua-dua sekuel Pontianak 100KG dan 200KG sudah tentunya dari segi berat 1 pontianak dan 2 pontianak. Hal ini ketara kerana gandingan tagteam Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi lebih suka memburu makanan, bukannya membunuh manusia. Tidak pula diceritakan darimana asal usul Pontianak Mewangi yang secara tiba-tiba menjadi BFF kepada Pontianak Melati. Bagaimanapun menurut saya, perbezaan terletak pada perkembangan cerita, pembangunan karektor serta tema yang diketengahkan. Lebih positif dan berusaha untuk menyampaikan pesan tentang perasaan, kepelbagaian dan penerimaan. Turut menunjukkan bahawa pontianak juga boleh datang dalam pelbagai bentuk dan saiz serta memiliki emosi.
Namanya juga filem seram komedi, sudah tentu sepatutnya ia mengundang gelak ketawa dan rasa seram pada masa yang sama. Namun sayangnya saya tidak dapat merasakan kedua-dua elemen itu sepenuhnya. Ada terselit beberapa dialog lucu, terutama yang datangnya dari mulut Ropie tapi selain dari itu saya tercari-cari dimana datang lawak jenaka. Satu panggung juga tidak terdengar gemuruh dengan gelak ketawa cuma segelintir saja yang tergelak kecil. Jujur saya rasa harus diberi penekanan lebih terhadap faktor ini kerana filem komedi yang tidak mampu membuat penonton ketawa perlu segera dibedah siasat.
Mungkin terlalu banyak dialog yang meleret-leret dan tidak perlu, eloklah digantikan dengan lebih banyak komedi yang lebih menjadi. Tidak boleh hanya mengharapkan kelakar datang dari Ropie seorang. Terus-terang sedari awal menonton, saya lebih khuatir memikirkan bagaimana menyelesaikan masalah daripada berhibur santai sama-sama merasakan nuansa humor seram yang terlalu minor dan tidak sampai. Maaf cakap, ada sesetengah dialog kalau saya boleh fast forward adalah lebih baik supaya tidak mengantuk. Meskipun begitu, saya suka plot twist pada penghujung filem. Saya juga sukakan lakonan Ziana Zain yang mendominasi 2 karektor berbeza, mantap seperti biasa.
Kredit harus diberikan kepada runut bunyi filem Pontianak 200KG ini. Hasil kerjasama dengan Shiha Zikir Empire dan menampilkan buat pertama kalinya Aya Kamaruddin dalam dunia nyanyian. Lagu tema filem ini berjudul "Naik Hantu" yang dicipta sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, bakal menjadi daya penarik yang memikat hati penonton. Dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin, telahpun dilancarkan di semua pelantar digital sejak 24 Julai 2024, manakala versi rock oleh Buck dan Awas akan menyusul pada 15 Ogos 2024. Pastikan anda tidak terlepas untuk menyaksikan muzik video "Naik Hantu" di YouTube Alternate Records & Talent tidak lama lagi.
Pontianak 200KG akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 5 September 2024 dengan pembukaan 75 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei. Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem yang pasti akan mencuit hati anda ini!