Pengalaman Terasa Bak Disedut Puting Beliung Ketika Menonton ‘Twisters’

oleh: zizi hashim 

"You don't face your fears, you ride 'em..."

Selama 122 minit, sungguh, itu lah yang saya rasakan. Realistik sungguh perasaan terasa ditarik dan disedut kencang oleh puting beliung ketika menonton filem ‘Twisters’ baru-baru ini. Naskhah yang ditulis oleh Mark L. Smith berdasarkan cerita Joseph Kosinski ini boleh dikatakan memiliki komposisi drama, thriller ala filem bencana dan fiksyen sains yang cukup seimbang. Turut menyelitkan masalah kesihatan mental yang trending pada zaman moden ini pada karektor Kate, mencipta watak wanita yang ‘bijak membaca alam’ dalam masa yang sama mengalami ketakutan dan trauma.

Aspek humanisasi ini menjadi semakin kental dengan stail sutradara Lee Isaac Chung yang pernah memukau dengan semi-autobiografi, Minari (2020). Tampak jelas Chung memang faham bagaimana ‘memanusiakan’ imej bergerak. Tidak perlu menangis kuat untuk tunjuk sedih, atau bibir dan sorot mata gementar demi menampilkan ketakutan. Chung sudah arif benar untuk mencari angle tepat yang membuat manusia merasa kecil di hadapan alam semesta dan ikut menyebarkan rasa merinding sampai kepada penonton di luar layar. 

‘Twisters’ mengisahkan tentang sekumpulan ‘pengejar ribut’ yang mempunyai misi untuk mengkaji puting beliung. 28 tahun adalah jarak beza dua filem mengguna tajuk serupa, pertama pada tahun 1996 dan kemudiannya pada 2024, langsung tidak mempunyai hubung-kait diantara satu sama lain. Tiada sambungan cerita, ianya adalah standalone sequel yang tiada kena mengena. Kate Cooper, seorang ahli meteorologi yang mempunyai masa lalu tragis berkaitan bencana puting beliung. Benci dengan kemusnahan yang diakibatkan oleh angin kencang itu, Kate pada mulanya cuba menjauhkan diri dari terlibat apa-apa, namun akhirnya memiliki ambisi untuk mencegah puting beliung dari melakukan lebih banyak kerosakan dan huru-hara.

Sajian visual dari efek bencana yang menjadi elemen penting bagi filem bencana dipaparkan begitu sempurna tanpa cela dalam ‘Twisters’, kalau menurut saya. Tidak ada putaran angin yang terlihat palsu hasil dari kepintaran teknologi. Semuanya kelihatan realistik, seolah-olah benar-benar terjadi. Pasukan produksi yang mantap merekabentuk pelbagai props dalam usaha menunjukkan kerosakan akibat terjangan puting beliung, dipaparkan sebegitu lengkap, jelas memberi konfirmasi skala bajet AS$200 juta yang dilaburkan dalam filem ini. 

Secara peribadi, saya anggap keputusan untuk tidak terlalu menonjolkan kecanggihan alat moden yang digunakan sebagai keputusan yang bijak. Ini kerana apabila tampak terlalu canggih, justeru akan terlihat sangat palsu dan tidak masuk akal. Selain itu, tambahan perisa bumbu romansa yang lebih banyak kali ini menjadikan elemen drama lebih menyerlah. Jelas sekali, pemilihan Daisy Edgar-Jones dan Glen Powell sebagai bintang utama mewujudkan elemen itu secara semulajadi.

Dengan formula hero kacak dan heroin jelita, dibaluti kisah romansa acah-acah dan rempah ratus emosi yang rangup, kemudian digoreng dengan amukan alam semesta bervisual indah, harus saya akui bahawa filem ‘Twisters’ adalah filem bencana dan fiksyen sains paling umami yang saya nikmati pada tahun 2024 ini. Daisy Edgar-Jones sukses membawa wataknya dengan baik, tidaklah hanya sekadar sedap mata memandang. Setidaknya, dia memberi keseimbangan kepada lakonan standard Glen Powell, walaupun ianya sangat menarik dari perspektif visual.

Meski saya berpendapat lakonan Glen Powell biasa-biasa saja dalam filem ini, dia memang sangat sesuai membawakan watak seorang yang rambang mata dan selamba, sama seperti lakonannya sebelum ini dalam Top Gun: Maverick (2022). Saya suka dengan konflik dan ketegangan intense yang sentiasa bermain dalam setiap minit filem ini. Ditambah pula dengan keegoan premis Saintis lawan YouTuber, menjadikan plot cerita lebih segar, terkini dan menyeronokkan. Efek visual puting beliung dalam ‘Twisters’ terlihat sangat menyakinkan, juga mencipta teruja. Rekabentuk produksi dan sinematografi yang tepat, memberi pengalaman terasa bak disedut puting beliung ‘sebenar’ yang sangat menakutkan. Berkat kualiti visual yang optimum, saya dapat merasakan ketegangan dan kekacauan bencana puting beliung sepanjang menonton.

Kalau tanya saya, memang adalah satu pekerjaan yang gila untuk menaklukkan ribut. Namun sesuatu harus dilakukan kerana puting beliung adalah penyebab tragedi di Oklahoma khususnya, disebabkan itu Kate bercita-cita tinggi untuk melumpuhkan angin kencang luarbiasa itu. Lagipula Kate bukan seorang yang cakap kosong, dia tahu benar tentang puting beliung dan memiliki kemampuan untuk meneka atau merasai daerah mana yang akan diserang.

‘Twisters’ adalah filem wajib tonton di pawagam kerana ianya memberi sensasi berbeza. Skrin besar berhasil membuat saya terasa berada di tengah-tengah pusaran puting beliung, melihat kenderaan, haiwan ternakan dan rumah terbang bagai debu melintasi layar lebar, memberi impak yang tak terluahkan. ‘Twisters’ adalah hiburan kelas berat yang tidak boleh anda ketinggalan.

"Maybe if you feel it, you should chase it!"