oleh: zizi hashim
Kisah perjalanan penuh inspirasi skuad bolasepak Harimau Malaya ke Piala Asia telah diadaptasikan ke dalam bentuk filem. Bukanlah 100% sama kerana telah diberi suntikan fiksyen, ianya membongkar sedikit sebanyak di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Filem cereka aksi sukan yang bertema kenegaraan ini menyelitkan mesej perpaduan yang mengangkat semangat sukan bolasepak tanahair, sesuai untuk tontonan ‘kaki bola’ yang hidup bola, makan bola, tidur pun bola.
Diproduksikan oleh 4ward Entertainment, mendapat sentuhan sutradara Datuk Afdlin Shauki, mengisahkan tentang perjuangan skuad Harimau Malaya di peringkat kelayakan sehingga menempah tiket ke Piala Asia 2023 secara merit setelah menanti selama 42 tahun lamanya. Meski telah sedia maklum bahawa filem ‘Harimau Malaya: The Untold Journey’ (HMTUJ) ini digarap dari 4 perspektif naratif, namun saya merasakan ianya terlalu hiperbolik.
Selama 120 minit, penonton dibawa meneroka perspektif dari sudut pandang badan pengurusan iaitu FAM, dari sudut pandang Ketua Jurulatih, dari sudut pandang pemain bola itu sendiri dan yang terakhir dari sudut pandang peminat fanatik bolasepak yang menggelarkan diri mereka Ultras.
Perspektif yang menurut saya melimpah-ruah ini telah bertembung ketika skuad Harimau Malaya akhirnya berjaya menamatkan kemarau panjang selama lebih 40 tahun setelah layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas menumpaskan Bangladesh dengan keputusan empal gol berbalas satu. Saya suka pada premis dan idea yang cuba dipaparkan, sangat menarik dan dalam diam saya menyimpan harapan agar HMTUJ memberi nuansa yang sama seperti Ola Bola.
Namun sayangnya tidak kesampaian. Saya akui terhibur dengan elemen komedi yang datang dari Ultras terutama sekali lakonan selamba Hazama, Bell Ngasri dan Douglas Lim. Terus terang, merekalah punca utama saya bertahan menonton sehingga akhir.
Saya bukanlah seorang ‘kaki bola’ tapi kalau diajak menonton perlawanan bolasepak di Stadium saya jarang menolak. Bukan fanatik tetapi lebih kepada penggemar, saya faham benar dengan istilah dalam bolasepak seperti back heel, overlapping run, sliding tackle, curving shot, free kick, corner kick, hat-trick, foul, offside dan banyak lagi. Tidak hanya terhad tahu tentang tendangan penalti dan gelecek bola sahaja. Apabila dibawa oleh gelombang cerita, saya mengharap HMTUJ akan buat saya terasa seperti berada di tengah-tengah keriuhan stadium seperti menonton perlawanan sebenar. Kalau tak banyak, sikit pun jadilah.
Pada awal 70% filem ditayangkan, saya rasa plot sangat bersepah-sepah. Walaupun begitu, saya sangat teruja untuk melihat kemampuan Ketua Jurulatih baru, Kim Pan-gon (KPG) membuat perubahan drastik kepada Harimau Malaya. Sikap KPG yang digambarkan berhasil mencuri rasa suka pada karektor si Ketua Jurulatih baru ini. Baki 30% filem ini barulah terasa not bad bagaimanapun tetap tidak dapat membantu secara keseluruhan. Maaf cakap, CGI dan green screen buat sakit mata. Babak perlawanan yang terakhir itu saja yang saya rasa OK, yang lain semua ke laut. Hampa sangat rasa.
Pertukaran angle yang terlalu banyak buat rasa semak. Muzik latar juga kedengaran kuat sangat, pengulas sukan perlawanan pun tak mampu jadi penyelamat. Drama yang diselitkan antara konflik keluarga Rashdan (Meerqeen) terlalu ringan dan tidak memberi apa-apa kesan. Watak yang berjaya saya rasa terletak pada karektor Aldi selaku wartawan yang saya rasa nak marah sebab memanjang asyik cari salah. Disitu terbukti Namron sukses membawa watak dengan cemerlang. Cameo dari Faizal Halim adalah salah satu dari daya tarikan filem ini.
Mempertaruhkan barisan pelakon muda seperti Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aiman Hakim Redza dan Amelia Henderson selaku teraju utama, turut dibantu bintang terkenal lain termasuklah Vanidah Imran, Erra Fazira, Tony Eusof, Namron dan ramai lagi. Penghasilan filem yang menelan kos RM7 juta ini lebih cenderung memupuk sifat perpaduan serta cintakan kesukanan bolasepak di kalangan generasi muda hari ini. Sebuah filem apresiasi untuk kekal memperingati jasa dan budi KPG.
Saya kecewa dengan HMTUJ kerana ekspetasi berlebihan yang diberikan, dengan harapan paling tidak menyerupai vibes Ola Bola tapi jauh menyimpang. Maaf sekali lagi, saya tak mampu menjiwai filem ini. Tak sampai, sayang seribu kali. Yang dapat saya puji ialah usaha dan inisiatif yang diperlihatkan dalam naskhah ini mencerminkan perjalanan pasukan negara kita mengintai peluang untuk maju ke pentas dunia. Mungkin selepas ini perlu garap dengan alur cerita yang lebih kuat lagi. Oh ya, lupa nak cakap, saya suka lagu soundtrack filem ini nyanyian Hazama berjudul "Bukan Sendiri". Lunak suara Hazama bergabung dengan melodi dan senikata indah menjadikan ianya runut bunyi serasi yang membangkit semangat jati diri.
Telah bermula tayangan di pawagam seluruh Malaysia pada 15 Ogos 2024, anda perlu lihat sendiri. Reviu ini datang dari saya, sekadar luahan hati, namun setiap orang punyai persepsi sendiri. Mana tahu ‘kaki bola’ akan terhibur, pergi tonton dulu baru tahu.