oleh: zizi hashim
Saat kali pertama menonton trailer filem 'Lembayung', hal pertama yang kerap kali terbayang di fikiran ialah senyuman Anna Jobling yang mampu membuat penonton merasa trauma. Hampir mirip menyerupai 'hantu senyum' dalam filem seram 'Smile', terbukti ketika filem ini ditayangkan, penonton dapat melihat secara lengkap setiap adegan mengerikan yang dilakonkan oleh Anna. Memegang watak Tantri, hantu yang tidak memerlukan banyak dialog, senyuman Anna itulah memainkan peranan besar dalam filem ini, menerbitkan rasa seram dan meremang bulu roma. Tidak hanya terlihat mengerikan, senyuman Anna Jobling juga memancing rasa jijik dari titisan air liurnya yang berjatuhan.
Diangkat dari thread viral “Diganggu Jin Poli Gigi” yang ditulis oleh Pica di akaun X @saturnrushx pada tahun 2022, 'Lembayung' juga menjadi filem debut arahan sutradara Baim Wong. Tidak hanya itu, 3 syarikat produksi ternama Indonesia menggarap filem 'Lembayung' meliputi Prime Eagle Studios, MNC Pictures dan Tiger Wong Pictures. 'Lembayung' mengisahkan tentang Pica (Taskya Namya) dan Arum (Yasamin Jasem), pelajar kejururawatan, menjalani latihan praktikal di Klinik Lembayung yang baru dibuka semula setelah sekian lama ditutup kerana khabar angin salah seorang doktornya telah membunuh diri. Pada mulanya, Pica dan Arum tidak merasakan apa-apa yang ganjil sewaktu mereka mula bertugas. Rutin bekerja seperti biasa di klinik yang dipenuhi pesakit dan memerlukan rawatan.
Namun semakin berlalunya masa, keanehan mulai menyelubungi hari-hari mereka. Peristiwa mistik yang tidak masuk akal perlahan-lahan menghantui mereka. Setiap gangguan yang terjadi semakin menghilangkan fokus mereka dan memberi tekanan kepada Pica, terutama sekali Arum. Hari-hari biasa yang mereka lalui berubah menjadi mimpi ngeri. Segalanya bermula pada suatu malam, mereka secara tiba-tiba dikunjungi seorang pesakit misteri berambut panjang yang namanya tidak ada dalam senarai pesakit. Wanita itu datang dengan tingkah laku aneh di klinik pergigian sehingga menimbulkan rasa seram dan takut dalam diri kedua sahabat itu. Pica dan Arum terus dihantui kehadiran wanita misteri itu hampir setiap malam.
Dalam durasi 2 jam 3 minit, 'Lembayung' dipenuhi jumpscares yang efektif memicu rasa takut di benak penonton. Meski begitu, ada beberapa adegan yang alurnya terlalu lama dan terasa membosankan, membuat saya beberapa kali menguap dan hampir terlena. Kematian tragis beberapa pembantu klinik terjadi satu demi satu lantas mencipta suasana huru-hara apatah lagi Arum mulai kerasukan, Pica bertekad untuk merungkai misteri yang menyelubungi Klinik Lembayung. Menghidangkan beberapa plot twist yang membuat alur cerita semakin menarik untuk diikuti, tanpa diduga klinik itu ternyata menyimpan rahsia gelap yang berkait rapat dengan sosok hantu wanita itu berhubung sebuah kisah tragis yang menghantui sejak sekian lama.
Tidak hanya menakutkan, filem ini juga menampilkan adegan gore yang cukup tajam, dengan framing dan teknik pengambilan gambar yang tepat sehingga setiap momen gore terasa nyata dan brutal. Rasanya 'Lembayung' jelas menjadi tontonan wajib bagi penggemar filem seram. Baim Wong berjaya menyelitkan pelbagai teka-teki yang mendorong penonton berteori tentang dalang utama di sebalik peristiwa mistik yang berlaku dalam filem ini. Dengan cerdik, dia juga menghadirkan plot twist yang tak terduga, menambahkan keterujaan pada setiap babak. Menghadapi kondisi itu, Arum dan Pica harus memecahkan teka-teki yang sebenarnya terjadi di klinik berhantu tersebut.
Sebagai pelakon terkenal yang kini mencuba nasib di sebalik tabir, Baim Wong memberitahu proses pembikinan filem 'Lembayung' mengambil masa lebih setahun, membuktikan dedikasi Baim dalam projek pertamanya sebagai pengarah. Baim bukan sahaja mengarahkan, malah turut terlibat dalam penulisan lakon layar bersama Gemati Rahayu, menambah nilai peribadi kepada projek ini. Salah satu fakta menarik filem 'Lembayung' yang paling mencuri perhatian adalah sumber inspirasinya dengan adaptasi cerita viral ke skrin layar lebar ini menunjukkan trend baru dalam industri perfileman Indonesia yang memanfaatkan konten popular di media sosial.
Penglibatan model dari negara kita, Anna Jobling bermula apabila Baim Wong secara peribadi menemui Anna di Malaysia untuk melakukan casting. Kehadiran Anna Jobling menambah dimensi bertaraf antarabangsa pada filem ini dan berjaya menarik perhatian penonton, terutama setelah penampilannya dalam trailer yang menampilkan senyum mengerikan mendapat pujian dari netizen. 'Lembayung' menawarkan pengalaman menonton yang intens dan mendalam. Durasi yang panjang ini memungkinkan perkembangan karektor dan plot yang lebih kompleks, yang tidak biasa untuk filem seram pada umumnya.
Tidak hanya tertumpu pada jumpscares, tetapi juga memperkaya cerita filem dengan menambahkan rempah drama yang kuat. Meski banyak konflik, jalan cerita dalam filem ini terlaksana dengan kemas, malah penonton juga mudah memahami plot cerita walaupun menggunakan konsep maju mundur. Selain itu, teknik framing dan penggambaran yang betul membuatkan setiap adegan gore terlihat realistik dan brutal seperti sebuah filem thriller yang mengusik psikologi penonton. Sayangnya, pembangunan cerita yang lambat dan perlahan membuat penonton kehilangan fokus sehingga ketakutan penonton tidak terpancing secara natural.
Tersenarai di dalam 10 filem Indonesia paling banyak ditonton, Baim Wong tidak menjangka akan sambutan hebat yang diberikan terhadap filem pertamanya. Manakala Anna Jobling yang menggalas watak sebagai Tantri dalam karya berdasarkan kisah benar ini, kebanyakannya teruja untuk menyaksikan penampilan Anna yang disifatkan sebagai pengganti watak hantu yang pernah dilakonkan oleh Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam. Anna ketika ditemui memanjat rasa bersyukur dengan respons positif yang diterima selain tidak menyangka kemunculan sulungnya dalam filem Indonesia itu akhirnya membuka pintu rezeki untuk memperkukuhkan lagi kedudukan dalam industri perfileman di negara jiran itu.
Filem seram di Indonesia kini terus berkembang, tidak kurang juga dengan Malaysia yang sememangnya dari dulu dipenuhi pawagam dengan antusias filem seram. Salah satu filem yang berjaya memberi kesan meremang dan digemari ramai penonton di negara jiran itu ialah 'Lembayung'. Nuansa tegang mencengkam menambahkan lagi kejayaan menguasai emosi penonton dan membuatkan penonton semakin ingin tahu sehingga ke penghujung cerita. Bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula dari tarikh 5 Disember 2024, siap sedia untuk merasakan vibrasi seram, ngeri, intens dan menakutkan bersama 'Lembayung'.