Memahami Terminologi Kufur Dan Kafir Dari Filem 'Taghut'

oleh: zizi hashim

Sekali lagi dunia perfileman Indonesia bikin filem seram berasaskan agama (selepas Siksa) yang mengundang kontroversi heboh namun mujur tidak sampai diharamkan tayangan di Malaysia. Sepertinya jualan tiket pasti pecah panggung di Indonesia khususnya, andai hal isu agama dengan berani di angkat sebagai daya tarik utama. Justeru orang-orang jahil seperti saya yang sering ingin belajar memperbaiki diri tentang ilmu agama, jika tidak kuat iman di dada, menonton filem ini memberi dua 'rasa takut' yang berbeza tapi berjalan seiring. Takut pada kesan spiritual yang digambarkan sebegitu realistik sudah tentu satu hal, namun yang paling ditakuti ialah terpesong akidah.

Kalau di Malaysia, isu yang paling besar ialah apabila ia melibatkan sensitiviti agama dan kepercayaan, ekoran dari Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum, bangsa dan agama. Sama juga halnya dengan  di Indonesia apabila Majlis Ulama Indonesia (MUI) mula bersuara menegur pembikinan filem 'Taghut' yang sewaktu awalnya diberi judul 'Kiblat'. Bila permasalahan adalah soal frasa kata, saya merasakan 'Kiblat' lebih mewakili mesej dari jalan cerita untuk filem yang ditulis oleh Lele Laila dan digarap oleh Bobby Prasetyo ini. Namun judul 'Thaghut' juga sesuai dengan kisah filem berdurasi 1 jam 42 minit ini. Bahkan, judul itu mungkin lebih menggambarkan kisah seram agama di sebalik seorang tokoh masyarakat.

'Thaghut' itu sendiri bermaksud 'melampaui batas'. Dalam konteks agama, ini membawa makna melampaui batas kepercayaan kita dan menyesatkan diri kita. Meski begitu, yang nyata filem ini masih bermain di jalur yang sangat aman dan selamat, malahan cenderung kepada nuansa dakwah. Filem dibuka dengan kematian Abah, seorang dukun sakti maha hebat yang digambarkan kebolehannya mengubati orang sakit yang sudah tersohor di merata tempat. Anak Abah, Ainun (Yasmin Napper) yang merupakan gadis sekolah pondok yang lurus dan solehah, memutuskan untuk menghadiri pemakaman Abah. Dia tidak pulang sendirian, melainkan ditemani oleh dua sahabatnya, Bagas (Arbani Yasiz), dan Rini (Ria Ricis).

Sisi bagus dari filem ini adalah, ia 
tidak berdegup kencang untuk sampai ke intinya. Belum separuh jalan pun, kita sudah tahu di mana masalahnya. Lingga, orang kanan Abah, ingin sekali menunaikan wasiat terakhir Abah iaitu menjadikan Ainun sebagai pengganti pertapaannya dan mewariskan kuasanya kepada anak perempuannya. Masalahnya, Ainun harus mengikuti serangkaian ritual mengerikan yang menjauhkan dirinya dari Islam. Bagas dan Rini mulai merasa tidak selesa dan ingin segera membawa Ainun keluar dari situ. Lebih-lebih lagi Lingga melarang Bagas melaungkan azan. Keadaan menjadi lebih teruk selepas mereka berhadapan dengan banyak keganasan misteri. Apatah lagi, ada Rahmat (adik Ainun) dan Ajeng (ibu tiri Ainun) yang memberi amaran tentang kesesatan berlaku di kampung itu.

Perjuangan Bagas dan Rini untuk membawa Ainun kembali ke jalan yang benar sangat berliku. Abah memang sudah mati, tetapi kuasa syaitan-nya merasuki Ainun, menjauhkan Ainun dan para warga desa dari jalan yang lurus, serta mengancam lebih banyak nyawa lagi buat dijadikan korban. Seperti dalam kebanyakan filem seram Indonesia, di dalam filem ini juga terselit adegan gangguan entiti saat ketika sedang solat. Namun, semuanya masih di batas wajar dan tidak mengganggu kesucian ibadah itu. Bahkan, solat dan azan menjadi kekuatan untuk melawan syaitan yang buat penduduk desa jadi gelap mata dan memuja Abah sebegitu rupa. Hal ini direpresentasikan oleh Bagas yang benar-benar khusyuk setiap kali solat dan berdoa, sentiasa percaya bahawa keyakinan kita kepada Tuhan dapat melawan segala kuasa jahat dan syirik di dunia.

Syaitan yang dihadirkan dalam 'Taghut' ini adalah syaitan sombong yang merasa tinggi dan hasutannya bikin orang emosi. Misalnya, syaitan ini pernah dengan sinis menyindir Rini (yang selalu setia menemani Ainun) bahawa Rini adalah anak broken-home kesepian. Hal semacam ini seolah merepresentasikan sifat dasar “syaitan” yang suka mengusik sisi paling gelap manusia dan membangkitkan sifat buruk dalam diri manusia. Banyak juga jumpscare dan elemen-elemen seram muncul tiba-tiba. Beberapa kali memang ada momen di mana Rini sendirian, tetapi momen itu tidak lama. Bagas kerap selalu hadir menemani dan Bagas adalah hero yang tidak mudah terintimidasi.

Plot cerita 'Taghut' tidak memerlukan warm-up yang panjang dan juga tidak memerlukan laluan berliku untuk sampai ke penghujungnya. Kalau menurut saya, filem ini sangat mudah untuk difahami. Penonton tidak perlu banyak berfikir untuk menikmatinya. Hanya duduk, lihat dan pasti akan faham apa yang cuba disampaikan dan apakah penyelesaian kepada masalah tersebut. Lakonan Yasmin Napper terlihat lebih cemerlang apabila membawa karektor kerasukan syaitan, serius. Bagi saya, dia lebih bersemangat melakonkan babak itu, lebih-lebih lagi dengan pasukan solekan dan kostum yang benar-benar bekerja dengan baik untuk mempersembahkan Ainun versi jahat. 

Sutradara Bobby Prasetyo cukup pandai menggabungkan bahan-bahan sedia ada untuk menggarap 'Thaghut' bermula daripada pilihan nada, pencahayaan, sinematografi, sehinggalah perincian yang tersaji di layar. Jika ingin mencuba menonton filem seram Indonesia tetapi tidak mahu paranoid sepanjang masa, 'Thaghut' boleh menjadi pilihan yang baik. Daripada seram tulen, filem ini mempunyai nuansa dakwah dan pengembaraan mengenal Tuhan yang kental. Meski watak Rini yang dilakonkan oleh Ria Ricis hanya biasa biasa aja, setidaknya penonton berasa lega dengan kehadiran Bagas, hero handalan yang dilakonkan dengan cukup baik oleh Arbani Yazis.

Kalau tanya saya, kekuatan filem ini terletak pada atmosfera desa terpencil yang penuh misteri dimana kesetiaan kepada ajaran mistik dan kuasa ghaib menjadi inti cerita. Secara visual pula 'Thaghut' memikat dengan sinematografi yang menghadirkan suasana kelam dan mencengkam. Setiap sudut desa dan pertapaan digambarkan dengan terperinci yang memicu rasa tidak nyaman, seolah ada kekuatan tersembunyi yang selalu mengintai. Kombinasi antara pencahayaan gelap dan muzik latar yang menghantui membuat pengalaman menonton terasa intens.

Dari suara langkah yang tiba-tiba hingga bayangan samar yang bergerak cepat, setiap elemen dirancang untuk memicu adrenalin dan membuat penonton terlonjak dari kerusi. 'Thaghut' berjaya mengangkat isu yang relevan dalam masyarakat, di mana masih banyak orang yang terjebak dalam kepercayaan terhadap dukun dan cara-cara instant untuk mendapatkan apa yang diinginkan. Apatah lagi ketika ini isu GISB sedang hangat diperbahaskan, memang tepat pada masanya. Dengan perpaduan antara kisah mistik, mesej moral yang kuat dan elemen seram yang memukau, filem ini memberi peringatan tentang bahaya mengikuti jalan yang salah dalam kehidupan spiritual. 

Akhirnya, pertanyaan besar tetap menggantung: Mampukah Ainun dan teman-temannya keluar dari cengkaman ajaran sesat ini? Jom tonton filem 'Taghut' bermula 26 September 2024 ini di pawagam seluruh Malaysia.