‘Lubuk’ Cubaan Berani, Cabar Tahap Psikologi Penonton

oleh: zizi hashim 

Sejak kebelakangan ini, saya melihat industri filem Malaysia telah meraikan kepelbagaian genre dalam penghasilan produk baru. Cubaan yang saya anggap berani berdasarkan perkiraan majoriti penonton di negara kita yang lebih cenderung gemarkan filem bergenre aksi dan seram. Memang ada yang suka filem Psikologikal Thriller, bukan tiada langsung namun tidak ramai. Ini dilihat sebagai downside untuk pulang modal apatah lagi untuk mencapai kutipan Box Office. Meskipun begitu, saya harus memberikan kredit kepada seluruh pasukan tenaga kerja yang diketuai oleh sutradara Mark Lee See Teck kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang memberi sensasi berbeza, sedikit dark dan diselubungi nuansa misteri.

Kalau menurut saya, filem Psikologikal Thriller sebegini sering membuat penonton tak senang duduk. Saya sendiri merasakan sesak otak dengan mind-game mengelirukan, tambahan pula dengan plot twist yang berjaya memberi saspens dan rasa cemas, disitulah uniknya. Alur cerita ‘lambat terbakar’ harus disertai dengan sabar. Dipenuhi dengan watak yang samar-samar, tahap psikologi penonton memang maksima tercabar. Lakonan hebat teraju utama Tony Eusoff didokong kuat bersama barisan pelakon handalan seperti Junainah M. Lojong, Megat Shahrizal, Danish Adam, Amirah Razak, Chew Kin Wah dan ramai lagi, ternyata menjadi.

Syabas buat produksi HUG Pictures di atas kerja keras dan keberanian mengambil risiko untuk menghasilkan kelainan melalui ‘Lubuk’.  Begitu juga Skop Productions yang bertindak sebagai pengedar filem, begitu yakin dengan kemampuan filem ‘Lubuk’ ini. Lebih menarik lagi apabila filem ini telah menjalani penggambaran hanya di sebuah lokasi sahaja dari awal sehingga habis. “Sudah lama saya hendak cuba buat filem di satu lokasi sahaja dan saya rasa inilah masa yag tepat untuk buat. Ianya benar-benar mencabar kemampuan saya sebagai Pengarah dan seluruh perjalanan cerita, bukanlah suatu yang mudah. Selain dari kekangan bajet, saya gembira dapat bekerjasama dengan pasukan yang hebat dan berpengalaman.” ujar Mark Lee ketika ditemui pada malam Tayangan Perdana Filem ‘Lubuk’ di GSC The Starling Mall pada 11 Julai 2024 lalu.

‘Lubuk’ mengisahkan tentang sebuah rumah agam yang menjadi tempat perlindungan dan pusat komuniti bagi gelandangan di sebuah bandar terpencil. Namun, rahsia gelap rumah agam itu dibongkar oleh penghuni yang mengesyaki ada sesuatu misteri tersembunyi disebalik operasi rumah itu, hingga mengancam nyawa mereka sendiri. Syak wasangka timbul kerana Dirwan dan Titi (pengasas pusat komuniti) tidak pernah menuntut sebarang bayaran malahan telah mengambil langkah dan segala usaha terbaik untuk memberi perlindungan sewajarnya. 

Apa yang tidak diketahui, disebalik kebaikan budi bicara yang palsu itu, Dirwan dan Titi telah menjalankan satu sindiket mengaut keuntungan buat mereka selama ini. Mangsa yang tidak berhati-hati akan mudah terpedaya, sementelah lagi rumah agam tersebut terletak di pinggir bandar serta tidak mempunyai line internet atau sebarang talian komunikasi yang dapat merahsiakan kegiatan jahat mereka sekian lama. Saya puji setiap lakonan oleh watak dalam filem ini yang membawakan variasi sisi karektor beragam yang berbeza dari filem-filem mereka sebelumnya. Turut sama dapat merasakan derita dan struggle yang dihadapi oleh Dirwan dalam menjayakan kepelbagaian watak, saya melihat Tony Eusoff menyahut cabaran yang diberi dengan penuh tanggungjawab.

Kalau sudah namanya Psikologikal Thriller, ianya pasti mengekalkan pembunuhan kejam dan ngeri sebagai nukleus cerita. Teknik yang digarap sering mengaburkan garis antara kebaikan dan kejahatan. ‘Lubuk’ menerokai sisi gelap yang mengintai dalam diri manusia melalui watak penting yang antagonis. Dalam pada masa yang sama mengekalkan elemen ketakutan dan seram. 

Gimik menghidangkan ‘bebola daging’ sebelum filem bermula kepada semua penonton yang hadir pada malam Tayangan Perdana itu saya kira sangat menjadi. Walaupun pada awalnya sedikit tercengang-cengang disebabkan tak pernah pula dapat ‘bebola daging’ percuma sebelum ini, namun semuanya terjawab apabila menonton sehingga ke akhir filem. Rasa menyesal pun ada dan hendak muntahkan semula ‘bebola daging’ itu, Kenapa? Saya tidak mahu spoiler, mahu tahu kenapa jangan lupa tonton filem ‘Lubuk’ dan carigali sendiri jawapan anda.

Diklasifikasikan sebagai tayangan PG-16, ‘Lubuk’ akan mula tayangan di seluruh pawagam negara bermula 18 Julai 2024 ini. Amaran dari saya, harus hati-hati menonton filem ini, jangan sampai diri sendiri hampir psiko dibuatnya. Tidur jangan tak tidur...