Kisah Gangster ‘Wanna Be’ Sarat Aksi Dan Komedi Dalam Filem 'Sahak Gangster'

oleh: zizi hashim

Dalam dunia perfileman yang penuh warna, di mana aksi dan komedi berpadu, lahirlah sebuah karya yang menjanjikan hiburan dan tarikan tersendiri. 'Sahak Gangster' hasil tangan syarikat produksi Millennium Megamas Sdn. Bhd., adalah sebuah filem yang bakal memikat hati penggemar filem tempatan. Sang sutradara, Dr. Ahmad Idham, dengan antusias menyatakan, “Rencana pembuatan filem ini datang dari produsernya sendiri. Saya tertarik dengan konsep cerita yang menjurus kepada istilah ‘Gangster Wanna Be’, yang sarat dengan humor dan aksi. Lagipun, sudah lama saya tidak menghasilkan filem berkonsepkan komedi aksi. Jadi, saya sahut cabaran ini dengan penuh rasa teruja.”

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 9 Januari 2025, 'Sahak Gangster' menampilkan 2 bintang yang sedang mencipta nama, Hariz Hamdan dan Neliisa Nizam, sebagai teraju utama. Ahmad Idham menegaskan bahawa filem ini memiliki kelainan yang tersendiri berbanding karya-karya sebelumnya. “Karektor Sahak adalah intipati cerita ini. Dia adalah seorang yang ingin terlibat dalam dunia gangster, tetapi hakikatnya, dia tidak sesuai untuk berada di sana. Terjebak dalam satu insiden yang membuatkan dia diburu, dari situ bermula konflik satu demi satu.” ujarnya, menggambarkan perjalanan penuh liku yang akan dilalui oleh watak utama.

Mengisahkan tentang Sahak (Hariz Hamdan), seorang lelaki yang terpaksa melarikan diri dari buruan ahli kumpulan dan polis setelah dituduh membunuh ketuanya sendiri. Dalam usaha menyelamatkan diri, dia terpaksa bersembunyi dalam kereta seorang gadis, Suriani (Nelissa Nizam), yang tanpa sedar turut terjerumus dalam masalah yang dihadapi Sahak. Mengenai pemilihan Hariz dan Nelissa, Ahmad Idham melihat potensi dan bakat mereka yang mampu mencipta nama dalam industri. “Saya akui ini adalah risiko besar, tetapi saya percaya mereka berdua akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Untuk mengurangkan risiko, saya juga menampilkan pelakon-pelakon popular seperti Yana Samsudin, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Razak Ahmad, dan Chiwan Raja Lawak.” tambahnya.

Setiap pelakon yang dipilih bukan sekadar pelengkap, tetapi masing-masing membawa karektor yang unik. Ahmad Idham juga menjelaskan bahawa elemen ‘spoof’ iaitu memasukkan elemen filem-filem lain yang dalam naskhahnya itu, bagi menambah keseronokan kepada penonton. “Contohnya, Yana Samsudin memegang watak Kak Yong yang sudah dikenali ramai, dan saya juga memasukkan elemen dari filem 'Bad Boys' dengan menggandingkan Razak dan Chiwan sebagai anggota polis.” ujarnya. Dengan ramuan aksi, romantik, dan komedi yang padat, Ahmad Idham berharap 'Sahak Gangster' akan menghiburkan penonton dan meninggalkan kesan yang mendalam di hati mereka.

SINOPSIS

Sahak dibesarkan oleh Pak Andak, seorang gangster yang ditakuti. Dia adalah harapan utama Pak Andak untuk menerajui Geng Bunga Merah. Namun, harapan itu hancur apabila Pak Andak ditangkap polis ketika menyelamatkan anak saudaranya, Maya, dari musuh tradisinya, Geng Pak Man. Setelah lima tahun, Pak Andak dibebaskan, tetapi pada hari kebebasannya, dia ditembak dan meninggal di pangkuan Sahak. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Pak Andak meninggalkan amanat untuk Sahak mencari pembunuhnya dan membalas dendam. Kini, Sahak menjadi buruan polis, terperangkap dalam dilema antara menyerah diri atau melaksanakan amanat terakhir Pak Andak.

Saksikan perjalanan penuh aksi dan komedi ini di pawagam berdekatan anda! Tandakan kalendar anda pada 9 Januari 2025, dan bersiaplah untuk terhibur dengan kisah yang sarat dengan aksi dan gelak tawa.