oleh: zizi hashim
Awalnya, saya akui agak skeptikal untuk menonton filem yang berlainan genre dari kebiasaan yang sering disogokkan oleh trend perfileman Malaysia. Kalau bukan filem seram, komedi seram atau filem aksi, selalunya jarang-jarang dapat memikat hati penonton tempatan. Meski satu ketika dahulu filem cinta pernah mendapat tempat di hati penonton sehingga mampu mencatat kutipan Box Office, namun kini tidak lagi. Peralihan zaman dan generasi telah menyumbang kepada kemerosotan penghasilan filem cinta atau tema-tema lain yang adakalanya secara kasar dilabel sebagai 'syok sendiri'. Namun saya merasakan ada daya tarik luarbiasa pada filem yang satu ini. Maka saya tonton dengan minda yang terbuka dan mengharap ianya akan berbaloi.
Kalau boleh jujur, seawal pembuka filem lagi, saya sudah terkesima dan merasa kagum. Ianya adalah salah satu sinematografi pengambaran intro paling indah dalam filem tempatan yang pernah saya lihat, untuk tahun 2024 ini. Seiring dengan lagu yang diputar pada latarbelakang, bermula dari situlah saya diperkenalkan dengan segala hal tentang Bario, satu daerah yang sangat terpencil terletak di Sarawak. Sayang sekali disebabkan halangan dari segi faktor geografi, tempat seindah Bario menjadi sangat terasing daripada dunia yang penuh cabaran dengan kesibukan. Untuk makluman, Bario terletak di pertengahan Tanah Tinggi Kelabit di timur laut Sarawak, sangat dekat dengan sempadan antarabangsa Kalimantan di Indonesia, dan 3280 kaki atas aras laut. Ia merupakan petempatan utama di Tanah Tinggi Kelabit dan mengambil masa 15 jam untuk sampai ke Bario dengan kenderaan darat dari Miri.
Babak di mana sebuah pesawat mendarat di landasan udara perkampungan membawa kepada kemunculan Hanafi, dilakonkan oleh Syafie Naswip dari protagonis Yasmin Ahmad dalam Mukhsin, Talentime, dan juga dalam Songlap dan Al Jafree Md Yusop Melur Vs Rajawali (sekadar menyebut beberapa filem lakonan Syafie). Teraju utama 'Tegkang' ini menambahkan kemistri yang aneh ke dalam kombinasi karektor lain tetapi dari sudut yang menyenangkan. Interaksinya dengan protagonis wanita utama, Rinai (lakonan si cantik manis Michelle Lungan), membawa saya menyelami babak-babak cinta biasa (seperti kebanyakan filem cinta sebelumnya) di mana cinta yang secara tidak sengaja terjalin menghadapi tentangan hebat dari pelbagai pihak. Perihal ini sangat tipikal, saling tak tumpah representasi arketaip atau kiasan khusus untuk jalan cerita cinta tempatan sekian lama.
Sebelum pergi jauh, sinopsis filem ini mengisahkan tentang hubungan antara Hanafi, seorang pelancong/jurugambar yang stress mencari inspirasi segar, memutuskan untuk beristirehat di sebuah desa di dataran tinggi Bario, Sarawak. Dia bertemu dengan seorang gadis Bario bernama Rinai yang tumbuh besar di sana. Dengan bantuan Rinai, Hanafi dapat mengenal desa Bario dengan lebih baik. Saat persahabatan mereka semakin rapat, Hanafi dan Rinai merungkai rahsia besar yang dijaga rapi sekian lama dan akan mengubah hidup Rinai buat selamanya. Saya suka apabila filem ini memilih Bario sebagai lokasi penggambaran, memperkenalkan daerah yang tidak pernah saya ketahui kewujudan dan segala keindahan yang datang bersamanya.
Filem 'Tegkang' ini memperlihatkan bagaimana Rinai menerima kehadiran Hanafi dalam hidupnya. Kerja kamera berbicara tentang bagaimana segala sesuatunya tidak akan berjalan sesuai rencana meskipun cerita terungkai pada akhirnya dan 'Tegkang' (bermaksud pelangi) digunakan sebagai simbolik pada janji untuk harapan baru dan masa hadapan yang cerah. Itu seharusnya bererti bahawa Bario adalah syurgawi tempat di mana Rinai berada. Namun Rinai ingin melarikan diri dan terbang menjauh untuk datang ke Semenanjung dan 'melihat' lebih banyak perkara asing buat pertama kalinya. Saya suka pada elemen puitis dan spiritual representasi 'Tegkang', yang juga bertindak sebagai simbol ikatan seperti babak di mana Rinai memberi Hanafi gelang tangan pelangi.
Dinamika 'Tegkang' yang terlahir dari karektor lain yang membina alur cerita tampak begitu bersahaja, dialog yang natural disertai naskhah skrip yang penuh makna dan emosi. Wajar diberi pujian atas lakonan cemerlang untuk first timer seperti Lian Terawe (Guruq), Pun Ratu Aran (Sinak Runa) dan Hezekiah Asim (Ritap) sangat berkesan dalam membangun perkembangan karektor Hanafi dan Rinai. Untuk filem yang sebegini matang, bagaikan tidak percaya ini adalah hasil kerja sutradara baru iaitu Josh Nawan bersama warga kerja berdedikasi yang sukses menjadikan 'Tegkang' sebuah filem cantik dari segi sinematografi tak terbanding, penulisan drama kreatif, lakonan mantap, plot twist tak terduga, ditambahkan lagi sebagai representasi budaya Sarawak yang istimewa digarap begitu sempurna.
Meski suku kaum Kelabit merupakan minoriti di Sarawak dengan sekitar 5,000 orang, tentunya mereka sangat berbangga dengan filem 'Tegkang' yang membuka mata dalam memberikan lebih pendedahan tentang budaya, bahasa dan adat resam Kelabit. Saya juga kagum dengan 'rahsia' yang tersimpan dan 'janji' yang dipegang kerana tidak terfikir ataupun terlepas pandang sehingga memaksa saya untuk menonton sekali lagi bagi mendapat kepastian. Tidak boleh spoiler, kalau nak tahu apa yang saya terlepas pandang itu, mesti tonton filem ini dengan penuh teliti dan konsentrasi supaya tidak jadi seperti saya. Bonus menarik dalam filem ini ialah Hanafi telah berjaya 'menjumpai' apa yang dicarinya di Bario, dalam usaha menggali sesuatu yang mempunyai 'jiwa' dan tanpa disedarinya sudah sedia ada di hadapan mata.
Elemen kekeluargaan dan masyarakat yang bersatu padu juga menyampaikan pesan moral tentang kebersamaan dalam mencapai kemuafakatan. Tidak dinafikan sejurus usai menonton 'Tegkang' ada rasa membara untuk melancong ke Bario dan mengenali lebih dalam lagi tentang budaya dan keindahan suasana desa yang nyaman, indah dan tenang di sana. Begitu juga dengan pengenalan makanan tradisi Kelabit, tarian dan instrument sape yang sememangnya diketahui sebagai alat muzik tradisional Sarawak. Syabas Josh Nawan dan MyContent Distribution kerana berani menghasilkan filem yang menggunakan 99% pelakon tempatan dari suku kaum Kelabit yang jarang diketengahkan dan kurang diketahui komuniti luar.
Selain kisah cinta unik antara Hanafi dan Rinai, 'Tegkang' juga berupaya menjadi platform untuk orang ramai mengenali lebih dekat tentang Bario dan kaum Kelabit. Tahniah 'Tegkang' dan seluruh warga kerja di sebalik pembikinan filem ini kerana memenangi beberapa anugerah yang sememangnya layak dalam masa yang sama memberi jaminan bahawa filem ini berbaloi untuk ditonton. Jom sama-sama teroka kehidupan kaum Kelabit di desa terpencil dan sama-sama bongkar apakah rahsia yang dijaga rapi sekian lama itu.
Filem 'Tegkang' telah berada di pawagam seluruh Malaysia sejak 28 November 2024. Jika anda mahu lari dari menonton lambakan filem seram atau komedi seram yang tidak putus-putus, filem ini lain dari yang lain dan sesuai untuk anda, percayalah!