oleh: zizi hashim
Harus diakui kombinasi duo komedi Johan dan Zizan Razak sejak tahun 2007 masih terus unggul sehingga kini. Setiap kali mereka berdua bergabung menjadi JOZAN, pastinya suasana bertukar menjadi huru-hara dengan kegilaan lawak jenaka mereka yang tidak pernah gagal membuat ramai pecah perut ketawa. Saya juga salah seorang darinya, yang datang menonton disebabkan JOZAN. Tak sabar rasanya setelah sekian lama duo hebat ini tidak menggegarkan arena seni komedi dengan membawa haluan masing-masing, Namun hubungan di antara keduanya masih sangat akrab dan diibaratkan Zizan bagaikan 'airdrop', asalkan berjumpa akan terus auto-vibrate. Sampai begitu sekali...
Kemistri JOZAN dipergunakan sebaik mungkin oleh sutradara Dato' Afdlin Shauki untuk mengekplotasikan 'nama besar' Johan dan Zizan Razak sebagai daya tarik utama yang meransang kepada keberjayaan filem 'Baik Punya Ah Long'. Buktinya, teaser comeback mereka telah mendapat lebih 9.8 juta tontonan di platform digital sejak dilancarkan. Pendapat saya, untuk filem komedi muzikal, jika satu panggung pecah gamat dengan gelak ketawa bererti formula yang digunapakai telah berjaya. Disitulah terletaknya kekuatan JOZAN, meski saya sedikit kecewa dengan storytelling dan konten yang tidak kuat. Namun apabila memikirkan filem ini adalah untuk for fun bersama JOZAN, saya cuba untuk tidak meletakkan ekspektasi yang terlalu tinggi.
Dipertemukan kembali di layar perak, JOZAN tampil berbeza dengan watak 'Ah Long' yang menjalankan perniagaan pinjaman wang dengan konsep perniagaan 'lain macam' dan luar dari kebiasaan normal. Mengangkat kisah 2 beradik iaitu Aloy (Zizan Razak) dan Aley (Johan), yang secara tak terduga mendapati diri mereka menjalankan perniagaan pinjaman wang, selepas dipaksa oleh bapa angkat mereka. Meski tidak berpengalaman, Aloy dan Aley tetap menyahut cabaran dan memulakan perniagaan pinjaman wang. Perniagaan mereka itu bagaimanapun telah menggugat bisnes Lan Panda yang berhasrat jahat ingin menghapuskan Aloy dan Aley.
Gabungan komposisi di antara komedi, muzikal dan momen-momen menyentuh hati, menjadikan 'Baik Punya Ah Long' sebuah filem yang menyegarkan dari kiasan sinematik pinjaman wang di Malaysia. Satu lagi filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Petra Vision Works dan Golden Screen Cinemas, yang digembar-gemburkan bakal mencatat rekod memberansangkan dengan lawak humor eksentrik, keunikan dan alur cerita yang mengesankan.
Pada awal filem bermula, jalan cerita secara mengejutkan dikembangkan dengan baik untuk komedi seperti ini. Hubungan antara karektor, terutama adik-beradik dan ayah mereka (lakonan Chew Kin Wah), mejadi tulang belakang emosi pada filem ini. Interaksi mereka menambah lapisan kehangatan yang mewujudkan keseimbangan jenaka slapstick. Beberapa babak terbaik bagi saya adalah pada babak yang menunjukkan dinamika bonding ayah dan anak. Chew Kin Wah menghadirkan kekuatan halus dalam peranannya, yang mendasari naratif kacau bilau. Meski ramai yang pro-kontra tentang filem ini, saya rasa JOZAN masih belum hilang sengat. Setiap dialog yang dituturkan tidak pernah gagal membuat saya ketawa, bukan dipaksa-paksa.
Sejujurnya, dari segi komedi, filem ini mengundang banyak momen yang membuat penonton tertawa terbahak-bahak, terutama di babak-babak awal cerita. Sepanjang waktu, memperlihatkan gaya signatur Dato' Afdlin Shauki iaitu kombinasi antara tuturkata yang lebih lembut dan komedi fizikal. Tidak dapat disangkal kemistri Johan dan Zizan; mereka saling melengkapi dengan sangat baik sehingga lawak jenaka mereka selalu menghiburkan. Namun seiring berkembangnya plot, saya berasa terganggu dengan elemen muzik yang terlalu banyak, sedikit sebanyak telah menutupi elemen komedi. Ini agak mengecewakan sebilangan penonton termasuk saya sendiri yang mengharapkan lawak jenaka tanpa henti. Jangan salah faham, lagu-lagu semuanya sedap dengan melodi dan senikata yang ngam, cuma terlalu melimpah sehingga komedinya tenggelam.
Selain Jozan, 'Baik Punya Ah Long' membariskan gandingan mantap pelakon handalan tanahair seperti, Liyana Jasmay, Adlin Aman Ramlie, Mia Sara, Allahyarham Adibah Noor, Chew Kinwah dan Dato' Afdlin Shauki sendiri juga turut memegang watak antagonis. Penampilan istimewa oleh Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Carmen Soo, Aziz M Osman, Shashic Iewan, Anas Ridzuan, Ileana Matin Shauki, Riezman Khuzaimi, Nizam Jentik-Jentik, Sid Mahmud, Sanjna Suri dan Sazali Abd Samad menambah perisa ke dalam filem ini. Sinonim dengan karya-karya komedi seperti filem Baik Punya Cilok, Papadom, Buli dan Buli Balik, Dato' Afdlin Shauki cuba memaparkan sifat ‘brotherhood’ yang kuat dan JOZAN adalah pasangan yang paling tepat untuk mendefinisikan makna persaudaraan itu.
Asalnya 'Baik Punya Ah Long' dibangunkan dan ditulis untuk Afdlin Shauki dan Din Beramboi sebagai versi panjang ciri lakaran popular mereka ‘Ah-ha’ daripada Ah Long Bukit Beruntung. Bagaimanapun, Afdlin Shauki memutuskan untuk mengolah semula skrip untuk Zizan dan Johan, yang membawa kemistri dan jenaka unik mereka sendiri ke dalam filem itu. Duo JOZAN benar-benar bersinar dalam memainkan peranan masing-masing, memberi secukupnya nuansa gila-gila. Satu pilihan yang sangat tepat. Saya ketawa tidak kering gusi dengan gelagat JOZAN bukan sahaja ketika menonton filem, malahan ketika sesi sidang media berlangsung pada 10 September 2024, Johan dan Zizan telah menggamatkan suasana panggung. Semuanya yang hadir telah ketawa besar dan terhibur.
Pada akhirnya, 'Baik Punya Ah Long' adalah filem yang berjaya mencapai matlamatnya iaitu untuk menghibur. Ia tidak bertujuan untuk menjadi terlalu mendalam atau kompleks, tetapi ada cukup intipati dan humor untuk menjadikannya tontonan berharga yang berbaloi. Dinamika antara Aloy dan Aley adalah teras emosi bagi filem ini, dan ikatan 'brotherhood' merekalah yang menjadikan 'Baik Punya Ah Long' lebih dari hanya sekadar komedi muzikal.
Meski temponya sedikit berlebihan kerana terlalu banyak muzikal, filem ini tidak pernah kehilangan pesonanya. Tidak kira samada anda penggemar JOZAN, Afdlin Shauki, atau hanya mencari sesuatu yang ringan dan mesra keluarga untuk dinikmati sambil layan makan popcorn, "Baik Punya Ah Long" adalah pilihan yang mantap. Ia adalah kisah yang menyeronokkan dan mudah dihadam dengan hanya keseimbangan jenaka, muzik dan sedikit huru-hara. Ada plot twist yang mengejutkan juga (maaf tak boleh spoiler).
Tidak hanya menjual elemen komedi yang sangat mencuit hati, filem ini turut menyelitkan elemen kekeluargaan, persaudaraan dan aspek sosial masyarakat. Menggunakan tagline ‘Semua Boleh Settle’, filem ini mempertaruhkan 18 buah lagu yang dinyanyikan oleh semua barisan pelakon menggunakan suara sebenar mereka tanpa sebarang auto-tune.
Saksikan filem ini di pawagam seluruh negara bermula 12 September 2024. Bagi yang ingin menemui barisan pelakon, boleh turut serta sesi jelajah di Terengganu pada 13 September dan 14 September di Johor.